Sunday 1 November 2020

MELAGAKAN DUA PIHAK UNTUK MENDAPAT KEUNTUNGAN DIRI


Menang jadi arang, kalah jadi abu. Maksudnya perbuatan yang mendatangkan keburukan kepada kedua-dua pihak biarpun ada pihak yang mendakwa menang atau lebih baik daripada pihak lain.  

Pelagaan atau perkelahian sesama sendir tidak mendatangkan faedah.  Amalan laga mendatangkan kerosakan dalam hubungan. Akibat perbuatan laga akan menyebabkan perpecahan, saling benci, dendam, fitnah dan perbuatan keji lain yang disukai syaitan. 

Ada pihak suka menjadi pelaga dua pihak bertujuan untuk keuntungan diri sendiri. Perbuatan itu akan melemahkan kedua-dua pihak dan dengan cara itu dia akan mengambil alih kedudukan sebagai pihak paling berkuasa.

Sepatutnya, jika ingin kuat dan berkuasa, binalah kekuatan sendiri. Jangan sama sekali mengambil kesempatan atas kelemahan pihak lain, terutama mereka yang menjadi mangsa pelagaan.

Jangan kita menjadi pencetus kepada laga melaga. Amat buruk sikap suka melagakan sesama manusia. Ingatlah siksaan Allah SWT kepada mereka yang suka melaga-lagakan orang lain. 

Al-Quran sebagai rujukan utama tamadun Islam sarat pelbagai mesej menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan ummah. Sesungguhnya semangat bersatu padu membentuk umat yang menjunjung dasar persaudaraan.

Allah berfirman bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali-Imran, ayat 103)  

Al-Quran juga menunjukkan kesan buruk persengketaan supaya menjadi pengajaran yang tidak wajar diulangi sama ada melalui bentuk penceritaan atau pernyataan umum.

Dalam sambungan ayat itu, Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa nabi Allah). Dan mereka yang bersifat sedemikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-Imran, ayat 105)

Golongan berpuak dan sering bersengketa diisyaratkan Allah sebagai mencontohi perbuatan golongan musyrik. Ini disebut dalam firman-Nya bermaksud: "Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal bakti) serta bertakwalah kamu kepada-Nya, dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna, dan janganlah kamu menjadi daripada mana-mana golongan orang musyrik. Iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka, mereka berselisih mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (daripada fahaman dan amalan yang terpesong itu)." (Surah ar-Rum, ayat 31-32)

Sesungguhnya kesatuan, kesepakatan dan perpaduan adalah faktor kepada pembentukan umat terbaik. Pengiktirafan Allah bahawa umat Islam adalah umat terbaik dijelaskan dalam al-Quran.

Firman Allah SWT bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad), adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110).

No comments:

Post a Comment