Friday 31 January 2020

Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah Chendering

Cita-cita mahu melahirkan generasi ulama dan membantu anak yatim serta golongan kurang berkemampuan menimba ilmu mendorong Wan Muhammad Mizan Wan Abdul Latif, membuka sebuah madrasah di Kampung Ketapang, Chendering, Kuala Terengganu.

Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Kompleks Anak yatim dan Tahfiz Darul Hijrah, Chendering yang dibangunkan sejak 2013 bersama isteri, Nurul Solehah Ismail menjadi nadi kepada Wan Muhammad Mizan menggerakkan impian dakwahnya.

Muhammad Mizan pernah menjawat jawatan korporat bagi membangunkan pusat dakwah di ibu negara selepas pulang dari Yaman pada tahun 2012. Namun, demi merealisasikan impian mengurus sendiri  pusat dakwah, dia hanya bertahan selama setahun lebih bertugas di sana.

Bermula dengan menyewa sebuah rumah di Pengadang Baru yang mampu menempatkan 10 pelajar, kini madrasah itu mampu menampung kira-kira 200 orang pelajar yang apabila beroperasi di kawasan tanah pusaka ayahnya seluas setengah ekar di Chendering.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Kompleks Anak yatim dan Tahfiz Darul Hijrah berkata, fokus utama madrasah itu adalah memberikan pendidikan percuma kepada anak yatim dan orang miskin.

Walaupun percuma, beliau begitu menitikberatkan keselesaan pelajar dengan menyediakan asrama sempurna, bilik kuliah berhawa dingin dan kemudahan lain seperti taman permainan, kolam renang, dewan dan tempat memanah.

Fasiliti setaraf institusi pendidikan berbayar itu sebagai usaha menolak persepsi masyarakat umum yang sering kali memandang pusat tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim sebagai kawasan tidak terurus, kotor dan tidak selesa.

Malah, makanan pelajar disediakan sebanyak lima kali sehari juga yang berkhasiat, sedap dan mengikut standard kementerian. Bukan lauk ikan kering yang sering kali masyarakat gambarkan di tempat-tempat begini.

Bukan mudah sebenarnya untuk menguruskan rumah anak yatim dan pusat tahfiz yang seratus peratus milik persendirian tanpa bantuan dari mana-mana pihak.

Sehubungan itu, Wan Muhammad Mizan mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi menyumbang kepada pembangunan Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah, Kompleks Anak yatim dan Tahfiz Darul Hijrah dengan menghubungi beliau di talian 013-9308482.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 13017018294771, Maybank  563064141026, Bank Rakyat 110111001781, Bank Muamalat 13010005494717, Cimb Bank 8602738256  atas nama Tahfiz Darul Hijrah.

No comments:

Post a Comment