Thursday 15 February 2018

PENERIMA DARJAH KEBESARAN

Darjah kebesaran adalah satu penghormatan yang boleh dilihat, dikurniakan oleh sesebuah kerajaan, kerabat diraja, negara berdaulat atau organisasi kepada seseorang individu. Penerima darjah kebesaran adalah individu terpilih berdasarkan atas penilaian tertentu.  

Amalan penganugerahan darjah kebesaran menjadi amalan di seluruh dunia sejak tamadun manusia membentuk lapisan masyarakat yang berbeza kedudukan.

Darjah kebesaran membawa bersama-sama gelaran kepada penerimanya. Sedangkan penerima pingat pula tidak membawa gelaran. Darjah kebesaran dan pingat mempunyai pelbagai kelas yang membezakan pengiktirafan terhadap penerimanya.

Penganugerahan darjah kebesaran kepada seseorang individu dinilai berdasarkan sumbangannya terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Namun, dalam mesyarakat yang bergantung kepada persepsi dan impresi orang lain, penerima anugerah yang membawa kepada gelaran tertentu bukan lagi dilihat sebagai jasa yang telah disumbangkan, tetapi tetapi apa gelaran yang dibawa bersama dengan anugerah itu.

Gelaran itu dijadikan asat atau kelebihan untuk penyandang menggunakan gelaran itu untuk keuntungan peribadi, terutama dalam bentuk kewangan dan pengaruh.

Maka, untuk mendapat gelaran itu, individu sanggup melobi mendapatkan gelaran daripada Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Dalam keghairahan itu, ada pihak mengambil kesempatan untuk menawarkan darjah yang sebenarnya tidak wujud atau dari pertubuhan yang tidak layak menganugerahkannya.

Fenomena ini menyebabkan individu yang mengaku menerima darjah kebesaran bertambah. Masing-masing menggunakan gelaran yang membawa kepada individu berkenaan menerima penghormatan dari masyarakat.

Mereka dipandang tinggi dalam masyarakat disebabkan gelaran yang disandang. Seseorang yang mempunyai sosial strata yang tinggi secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pengembangan karier sama ada dalam urusan perniagaan, pertubuhan atau politik.

Individu mengguna gelaran, tidak kira yang sah mahupun palsu, perlu mematuhi etika dan norma-norma yang sepatutnya. Sekarang, terlalu kerap penyandang gelaran yang dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan yang melambangkan kerendahan budi pekerti dan kedudukan mereka.

Berita penangkapan, tahanan reman, pertuduhan di mahkamah sehinggalah kepada dijatuhi hukuman, individu bergelar mendapat liputan meluas di media massa.

Sekarang ini seperti tiada hari yang bebas dari liputan mengenai individu bergelar dikaitakan dengan jenayah. Kekerapan itu secara tidak langsung ia mengikis nilai eksklusif darjah kebesaran tersebut.

No comments:

Post a Comment