Thursday 15 February 2018

JAGA IMEJ PIMPINAN ISLAM


Pemimpin parti politik sepatutnya menumpukan perhatian kepada perkara berkaitan hal ehwal kenegaraan dan pentadbiran secara berhemah.

Tindakan me­ngutuk, mengherdik dan menghina sesama sendiri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan seumpamanya perlu dielak demi menjaga keharmonian negara dan imej Islam.

Sikap memperkecilkan kebolehan, kepakaran dan jasa pemimpin parti berlawanan tidak sepatutnya dizahirkan dalam bentuk serangan peribadi. Islam melarang mendedahkan keaiban orang lain, lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin. Jika ingin menegur pemimpin ada saluran atau kaedah ditetapkan Islam.

Kematangan dan kewibawaan pemimpin politik boleh dinilai secara mudah oleh masyarakat masa kini melalui ucapan dan tindak tanduk mereka.

Jika ucapan dan tingkah laku pemimpin parti politik boleh menyebabkan rakyat bosan dan benci, maka nasib mereka untuk menjadi pemimpin rakyat akan berkubur dalam pilihan raya umum nanti.

Apabila rakyat berdiam diri dan tidak bertindak bukan bererti mereka tidak mempedulikan pergolakan parti politik. Kemarahan dan kebencian se­cara mendiamkan diri boleh diibaratkan sebagai ‘api di dalam sekam’.

Jika asyik memperlekeh orang lain dan mendabik dada menunjukkan kehebatan diri, rakyat akan mempersoalkan kemampuan pemimpin berkenaan. Rakyat akan bertanya dan menilai apakah ke­lebihannya dalam aspek kepimpinan yang telah berjaya dilakukan sehingga dirasakan dirinya berasa lebih hebat berbanding orang lain.

Dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran, muhasabah diri amat penting. Jangan hanya ghairah untuk mendapat jawatan. Sebaliknya, mushabah diri untuk menilai kebolehan dan kepakaran diri.

Jawatan bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya satu amanah dan tangungjawab besar yang perlu dipikul. Kalau tidak benar-benar mampu, elok berundur diri dan beri laluan kepada orang yang lebih layak.

Rakyat tentu tidak mahu corak kepimpinan dan pentadbiran yang dipertontonkan kepada rakyat boleh diibaratkan seperti ‘tikus memperbaiki labu’ lantaran terlalu gemar dan rakus untuk memegang kuasa tanpa melihat kemampuan diri.

Umat Islam sepatutnya amat berhati-hati dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara kerana kejahilan dan kurang kepakaran dalam aspek ini boleh menyebabkan umat Islam hilang kuasa dan kewibawaan diri dan agama.

Kritikan yang bernas dan berdasarkan kepada fakta adalah senjata utama yang boleh ­me­yakinkan rakyat mengenai sesuatu isu yang diperdebatkan.

Corak pemikiran pemimpin parti politik begini amat diharapkan oleh rak­yat dalam negara membangun dan maju.

Oleh itu, fahamilah tuduhan atau cemuhan yang merendahkan maruah antara satu sama lain bukan sahaja boleh menjatuhkan kewibawaan parti politik malah ia juga boleh menjejaskan maruah agama dan umat Islam.

No comments:

Post a Comment