Monday, 27 November 2017

LATA BERANGIN


Di jajahan Kuala Krai, nama Lata Rex sudah lama dikenali dan ia dianggap satu-satunya kawasan perkelahan di jajahan itu.  Namun sebenarnya, di jajahan itu terdapat banyak jeram dan lata yang sesuai dijadikan lokasi perkelahan yang terkenal.  Kawasan yang berbukit dan banyak aliran sungai membentuk jeram dan lata yang menarik. 

Salah satu lata yang menarik di jajahan Kuala Krai yang semakin dikenali ialah Lata Berangin yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Kuala Krai.  Ia boleh dikunjungi sama ada melalui Guchil - Batu Balai - Kampung Mengkebang - Kampung Sungai Pas atau melalui Kampung Pahi - Kampung Sungai Pas.

Sebelum ini, Lata Berangin lebih dikenali sebagai tapak mini hidro elektrik.  Namun, janakuasa itu kini tidak berfungsi lagi.  Ia sekaligus menjadikan tempat itu terbuka kepada semua pengunjung. 

Malah, aliran air yang dulu separuh daripadanya dialirkan melalui pembentung kini sepenuhnya menjadi air terjun yang mengalir cantik.  Masalah kekurangan air terjun kini tidak berlaku lagi apabila tidak perlu berkongsi’ dengan pembentung.

Beberapa tahun lalu, tapak perkelahan Lata Berangin mula dibangunkan dengan pembinaan jalan berturap, tandas, tampat letak kereta, tangga konkrit turun ke sungai dan beberapa kemudahan lain.  Kemudahan yang disediakan itu menjadikan tempat itu lebih menarik dan memberi keselesaan kepada pengunjung. 

Keindahan Lata Berangin terletak kepada diding batu pejal setinggi kira-kira 100 meter yang menjadi punca air terjun.  Pemandangan cantik itu sudah kelihatan sebaik pengunjung memasuki kawasan itu.  Ia secara langsung menggamit dan rasa tidak sabar untuk pengunjung menghampiri kawasan itu dan menikmati suasana damai lagi mengasyikan itu.     

Sumber air dari puncak tersembur keluar dengan laju turun menghempas batuan pejal membentuk satu pemandangan yang cantik.  Ia melalui satu lurah batu sebagai laluan utama, selain ada laluan kecil dari beberapa arah. Namun, apabila hampir sampai ke bawah, ia bersatu membentu satu laluan air terjun saja dan terus masuk ke satu kawasan.

Sunggupan kawasan itu berada di luruh dalam yang di kelilingi dinding batu pejal dan bukit, suasananya sungguh nyaman dengan tiupan angin.  Mungkin disebab itulah ia dikenali Lata Berangin.

Di tempat di mana berakhir air terjun, terdapat sebuah kolam sederhana besar.  Ia sesuai dijadikan tempat untuk berenang dan melakukan aksi terjun.  Bagaimanapun, dinasihatkan kepada pengunjung yang tidak tahu berenang tidak mandi di kolan itu disebabkan ia agak dalam berbahaya.   

Pun begitu, pengunjung boleh mandi manda di kawasan air cetek yang selamat, termasuk kanak-kanak, asalkan tidak masuk ke kawasan air dalam di tempat air terjun.  Airnya yang dingin, jernih dan mengalir menjadikan aktiviti mandi manda begitu menyeronokkan.  Ia sesuai dijadikan aktiviti berkeluarga kerana semua orang boleh terlibat sama.  

Jika tidak mandi manda, anda boleh beristirahat di kawasan berbatu di tepi sungai.  Rehatkan diri anda bersama keluarga sambil menikmati suasana damai dengan melepaskan pandangan ke air terjun yang berkejaran menghempaskan diri ke batu-batu pejal.

Jika ini berada di tempat yang lebih sunyi dan jauh dari orang ramai, pengunjung boleh memilih kawasan berhampiran sepanjang jalan masuk.  Bagaimanapun, kawasan tebing yang boleh dijadikan tempat duduk agak terhad.

Diharapkan Lata Berangin akan terus dimajukan sebagai destinasi pelancongan terkenal di Kuala Krai. 

No comments:

Post a Comment