Monday 20 November 2017

DOSA PALSU HADIS

Dr. Syaraf Mahmud al-Qudhah dalam kitabnya al-Minhaj al-Hadis fi ‘Ulum al-Hadis, mengkategorikan periwayatan hadis palsu ini kepada tiga bahagian seperti berikut:

Pertama, meriwayatkan hadis palsu secara sengaja. Ulama bersepakat mengatakan bahawa hukum meriwayatkan hadis palsu adalah haram berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menipu ke atas-Ku secara sengaja maka hendaklah dia sediakan tempatnya dalam neraka.” (Hadis riwayt Bukhari)

Kedua, meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja pula, dia dimaafkan dan tidak mendapat apa-apa dosa berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampunkan maksiat yang dilakukan umatku kerana tersilap, terlupa atau dipaksa.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)  

Ketiga, meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa. Orang yang meriwayatkan hadis palsu secara jahil atau sambil lewa pula, dia tidak dimaafkan dan tetapi akan mendapat dosa menyebarkan hadis palsu walaupun dosa ini tidaklah sama seperti dosa orang yang mengetahui mengenai kepalsuan hadis itu.

Ini berdasarkan beberapa dalil seperti berikut; pertama, Firman Allah dalam surah al-Isra ayat 36 bermaksud: “Dan janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya.”

Dalil kedua, hadis Nabi yang bermaksud: “Sesiapa yang meriwayatkan hadis daripadaku sedang ia diketahui oleh para ulama sebagai tipu, dia dikira salah seorang daripada golongan penipu.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalil ketiga, hadis Nabi SAW yang bermaksud:,“Kadi terbahagi tiga golongan; satu dalam syurga dan dua dalam neraka. Kadi yang di dalam syurga ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum dengannya. Kadi yang mengetahui kebenaran lalu menzalimi dalam hukum, dia dalam neraka. Kadi yang menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula, dia juga dalam neraka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

No comments:

Post a Comment