Hubungan kekeluargaan khususnya hubungan
mahram seperti ayah ibu, adik beradik, bapa saudara, emak suadara dan anak
saudara haram diputuskan meskipun berbeza agama. Apatah lagi jika kerana
berbeza parti politik.
Islam tidak pernah mengajar diputuskan
hubungan rahim kerana perbezaan pendirian politik kepartian. Jika berlaku ia
adalah satu sikap melampau dalam berpolitik. Politik sepatut menyatu bukan
memecah.
Hanya Khawarij dalam sejarah Islam yang
memecah belahkan umat dengan mengkafirkan golongan yang berbeza aliran politik
lalu mengkafirkan Khalifah Uthman, Ali dan beberapa sahabat.
Firman Allah SWT bermaksud:"(orang
fasik) adalah mereka yang melanggar perjanjian Allah selepas mementerainya dan
memutuskan apa yang diarahkan oleh Allah untuk disambung.” ((Surah al-Baqarah,
ayat 27)
Sikap ekstrim atau taasub memang banyak
mendatangkan keburukan. Mereka hilang pertimbangan akal yang waras. Apa yang
dilakukan lebih kepada perasaan “tertekan” demi mencapai matlamat.
Isu adik beradik berlainan fahaman politik
satu perkara biasa. Di negara kita ada adik beradik berlainan parti politik
yang menjadi menteri pada era pemerintahan yang berbeza. Mereka boleh berada
dalam aktiviti keluarga tanpa menunjukkan sikap permusuhan politik. Adik beradik
tetap adik beradik.
Bahkan anak kepada pemimpin utama parti berkahwin
dengan ahli politik yang berlainan fahaman politik. Maksudnya, ahli politik itu
bermenantukan ahli politik berlainan parti.
Jadi, apabila ada pemimpin politik
mempertikaikan fahaman politik adiknya, itu satu sikap keterlaluan. Jika adik
sendiri dianggap “musuh”, apalagi orang lain yang memang menjadi musuh politik utama
yang menggugat kedudukannya.
Pemimpin politik sebegini perlu ditolak
pengundi. Jangan biarkan fahaman ekstrim ini menjadi budaya politik di negara
kita.
Kita tentu tidak mahu sejarah ada adik atau
abang yang menjatuhkan hukum kafir kepada adik beradik lain semata-mata
berlainan parti politik.
No comments:
Post a Comment