Thursday, 19 January 2023

BUAH PIAH TERKENAL DI KELANTAN

 
Perkataan ‘piah’ yang digandingkan dengan rempah-piah bermaksud berbagai jenis rempah. Jika digunakan sebagai merujuk kepada buah iaitu buah piah, ia sejenis buah atau pokok nadir yang semakin jarang ditemui.
 
Pokok piah terdapat di Kelantan dan pernah mendapat perhatian Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi (Abdullah Munsyi) yang menulis ‘buah piuh’ dalam Catatan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan pada abad ke 18.
 
Biarpun ditulis ‘buah piuh’, ia dipercayai merujuk kepada buah piah kerana di Kelantan tidak ada ‘buah piuh’. Ini membuktikan buah cukup terkenal pada masa itu dan menarik perhatian Abdullah Munsyi untuk dijadikan satu catatan untuk diingati dan dikongsikan dengan orang lain.
 
Pokok piah jenis pokok berbatang tinggi boleh mencecah melebihi 20 meter dan lebih seakan-akan pokok tualang. Jadi, ia sukar untuk dipanjat atau dikait untuk mendapatkan buahnya. Jadi, kena tunggu buah gugur dan dikutip untuk dimakan.
 
Buahnya bulat, lebih besar daripada bola golf. Rasanya lemak manis dan kelat. Tekstur isinya macam buah mentega, buah avocadao atau ubi keledek berwarna kuning. Bijinya keras dan dikatakan mengambil masa yang lama untuk bercambah.
 
Di Kelantan ada sebuah kampung yang diabadikan sempena nama buah ini iaitu Kampung Kedai Piah, Daerah Ketereh, Jajahan Kota Bharu.
 
Rasanya ramai tidak kenal buah piah dan tentu sekali tidak pernah merasai buah piah. Penduduk di Kampung Kedai, pun rasanya tidak ramai yang pernah makan buah piah. Bahkan mungkin tidak kenal buah piah yang namanya diambil menjadi nama tempat itu.   

Cara hendak makan buah piah cukup unik. Buah itu perlu dipukul atau diketuk kepada benda keras. Ada yang melontarnya ke simen atau dinding batu.
 
Tujuan dilakukan begitu untuk ‘melonggarkan’ isinya dari kulit dan biji. Dengan cara melontar juga isinya akan lebih gebu dan lembut. Jika tidak dibuat demikian isinya akan pejal dan tidak sedap dimakan.
 
Isinya berwarna kuning. Rasanya kelat-kelat manis dan isi buahnya yang benar-benar masak akan mudah melekat di gigi.
 
Manakala bijinya yang besar itu biasa tidak dibuang. Ia akan dijemur hampir sebulan. Bila sudah betul-betul kering biji itu akan diketuk hingga pecah dan ada biji benih yang amat enak dan rangup bila dimakan.


No comments:

Post a Comment