Saturday, 6 August 2022

REBAB DIGUNA IRINGI PERSEMBAHAN MAKYUNG

 
Rebab sejenis alat bunyi-bunyian (seperti biola) yang bertali dua atau tiga. Perkataan rebab berasal perkataan Arab ‘rubabah’. Alat muzik ini dikatakan berasal dari Afghanistan.

Bunyinya kasar, namun gemersik. Melodi yang terhasil saat penggesek menari di atas tali, menggemakan aura “mistik dan misteri” yang bisa membuat si pendengar asyik dan terpesona lalu terbuai menekuni setiap runut bunyi.

Rebab menggunakan penggesek dan mempunyai tiga atau dua utas tali daripada dawai logam. Rebab dianggap merupakan keluarga kecapi.

Alat ini tersebar ke banyak kawasan dunia Islam melalui perdagangan seperti ke Tanah Arab, Turkiye dan Kepulauan Nusantara, termasuk Malaysia dan Thailand.

Badan rebab lazimnya dibuat daripada kayu nangka dan berongga di bahagian dalam. Bentuk badannya lebar di bahagian atas dan tirus ke bawah. Dadanya ditutup dengan kulit diperbuat daripada perut lembu yang dikeringkan.

Badan rebab terdiri daripada bahagian yang mirip badan manusia, maka sebab itu rebab ini istimewa, seakan-akan cerminan diri kita. Ada kepala, leher, telinga (iaitu tuning peg), tempurung iaitu bahagian yang menghasilkan bunyi dan istimewanya rebab ini kerana ia ada apa yang dipanggil ‘susu’.

Susu pada badan rebab itu ialah satu bahagian, biasanya diletakkan pada bucu kiri badan, bertindak sebagai peredam bunyi.

Susu ini diperbuat dari ‘belalai sarang lebah kelulut’, iaitu lilin dari sarang lebah. Ia berfungsi menghasilkan bunyi rebab yang ‘besar’, kasar tapi merdu.

Dahulu, penggesek ini dibuat menggunakan urat dan serat batang pisang yang dikeringkan. Adakala, orang dulu-dulu turut menggunakan bulu ekor kuda. Tapi kini, kita hanya menggunakan tali tangsi sahaja.

Leher atau papan jari dipasang pada bahagian atas badannya. Pada bahagian atas kepalanya berukiran dan dipanggil `pucuk rebung'. Lehernya memanjang ke bawah menerusi badan dan hujungnya menjadi pancang di bahagian bawah di mana alat itu diletakkan berdiri bila ia dimainkan. Kayu kekuda titian tadi diletak pada tengah dadanya dan boleh diubah kedudukannya.

Rebab diletak berdiri di depan pemain yang duduk bersila di lantai. Rebab digesek dengan busur dan ketegangan tali busur dikawal dengan menggunakan jari. Jari-jari tangan sebelah lagi memetik atau menekan pada tali-tali di bahagian leher untuk mengeluarkan berbagai-bagai pic.

Mainan gesekan alat ini mengiringi persembahan mak yong di Kelantan. Tanpa makyung, tiada rebab dan tiada rebab maka tiada makyung. Begitulah gambaran betapa rapatnya hubungan rabat dengan makyung.

Rebab tonggak utama sesebuah melodi persembahan makyung. Ia memainkan melodi yang lebih lirikal berbanding instrumen lain, seolah-olah alat ini berkata-kata kepada pendengar.

Kelebihan rebab ini, ia mampu mengartikulasikan nada tinggi dan rendah serentak, yang mana ini tidak mampu dibuat dengan alat muzik lain. Maka tak hairan kalau rebab menjadi ‘pembuka’ melodi serta pengenalan dalam persembahan teater makyung.

Makyung lahir di istana Melayu Patani kira-kira 400 tahun lampau dan kemudian tersebar ke negeri di Timur Semenanjung, terutamanya Kelantan. Seiring perkembangan muzik itu, rebab turut muncul bersama makyung, melengkapkan seni itu sebagai satu kesepaduan.

Rebab lazimnya dimainkan bersama lagu-lagu tertentu yang simbolik. Ini termasuk lagu yang kini sudah tidak lagi dimainkan, termasuk ‘Gading Bertimang’, ‘Pandan Wangi’ serta ‘Rimau Soyok’.

Punca kenapa lagu-lagu ini tidak lagi dimainkan, antaranya kerana ia terlalu sukar dibawa oleh generasi muda susulan komposisi, melodi dan kemahiran yang kompleks.

Selain mengiringi persembahan makyung, rebab juga menjadi alat muzik penting ketika persembahan main puteri yang juga terkenal di Kelantan dan Terengganu.

Gambar FB Norisham Nawi

No comments:

Post a Comment