Secara umumnya, terdapat 3 golongan
masyarakat yang berbeza pendapat tentang keharusan lagu dan muzik. Pertama
adalah mereka yang membuka pintu yang luas untuk semua jenis hiburan dan lagu
dan menganggap lagu dan muzik merupakan suatu bentuk keindahan dalam hidup yang
dibenarkan oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya.
Kedua, golongan yang mutasyaddid, menutup
terus ruang-ruang untuk berhibur terutama apabila hiburan tersebut disampaikan
oleh golongan wanita. Mereka mendakwa suara wanita adalah aurat, apatah lagi
dengan nyanyian-nyanyian itu sendiri.
Ketiga, golongan yang duduk antara dua
golongan yang sebelumnya, masyarakat yang menanti jawapan daripada golongan
fuqaha dan ulama berkaitan perkara yang berhubung dengan kehidupan mereka
seharian lebih-lebih lagi apabila radio sudah masuk ke rumah-rumah
mereka.
Bagi golongan yang mengharamkan terus
hiburan, nyanyian mahupun muzik sepenuhnya, mereka datang dengan dalil-dalil
yang dipetik daripada Al-Quran, assunnah, dan ijmak, serta menggunakan kaedah
"menutup ruang-ruang membawa kepada haram" dan kaedah menjauhi
subhah.
Namun begitu, majoriti fuqaha antaranya
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjawab bahawa nas-nas yang didatangkan walaupun
ditafsir oleh para sahabat seperti Ibnu Masud dan Ibnu Abbas dalam sesebuah
ayat, ia bukanlah satu-satunya tafsiran yang boleh diambil kira”
Namun terdapat tafsiran-tafsiran lain yang
boleh diguna pakai dalam menafsirkan ayat tersebut. Tafsiran para sahabat untuk
satu-satu ayat tidak dihukumkan dengan marfu melainkan tafsiran yang turun
sebagai asbab nuzul.
Syeikh Wahbah Zuhaili menukilkan kata-kata
Imam Al Fakihani; “Tidak aku ketahui daripada Kitab Allah mahupun sunah suatu
hadis yang sahih dalam pengharaman hiburan-hiburan malah ia adalah zahir dan
umum ayat yang boleh ditakwil tanpa dalil-dalil yang qatie”
Adapun untuk nas-nas daripada assunnah yang
dijadikan dalil pengharaman oleh golongan ini telah pun dihukumkan daif.
Oleh itu, kebanyakan ulama mengharuskan lagu-lagu untuk didengar walaupun yang
datang daripada gambus dan seruling.
Kaedah seterusnya yang dijadikan dalil oleh
golongan yang mengharamkan terus hiburan ialah menutup ruang-ruang yang boleh
membawa kepada haram.
Syeikh Yusuf Qardhwi menjawab bahawa kaedah
ini tidak sepatutnya digunakan secara berlebih-lebihan terutamanya apabila
mengharamkan sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan dan menyempitkan
ruang-ruang yang telah diberi sedangkan kaedah ini terdapat tahap-tahapnya dan
tidak sampai tahap yang ditutup terus jalan ke arahnya.
Manakala kaedah menjauhi perkara-perkara
subhat bukanlah suatu kewajipan, namun ia adalah perkara sunat sahaja yang
digunakan untuk perkara yang samar-samar, bukanlah digunakan antara dua perkara
yang sudah jelas keharusannya.
Mengikut kaedah usul fiqh, asal sesuatu
perkara adalah harus sehingga datangnya dalil pengharaman. Perkara yang sudah
jelas pengharamannya tidak boleh diingkari lagi pengharamannya, namun perkara
yang diikhtilafkan, sesebuah golongan tidak boleh mengilzamkan yang lain supaya
berpegang dengan satu-satu pendapat.
Memetik pandangan Imam Nawawi yang menarik
dalam hal ini; “Setiap mujtahid telah mendapat pahala kerana benar, adapun
mujtahid yang tersalah tidak dipertanggungjawabkan, kerana dosa telah terangkat
daripadanya.”
Sedangkan golongan yang membolehkan hiburan
pula mendatangkan nas-nas daripada ayat Al-Quran, hadis, kata-kata para sahabat
dan kembali kepada maqasid syariah.
Maqasid syariah mengatakan bahawa Islam tidak
pernah mengharamkan suatu yang baik melainkan ia membolehkannya, sebagai rahmat
kepada ummah untuk kebaikan jiwa-jiwa dan akal manusia.
No comments:
Post a Comment