Sabar
paling sukar ialah untuk mengawal kemarahan. Ini kerana perbuatan marah
datangnya dari syaitan yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mencetuskan
keadaan perbalahan sesama manusia. Kemarahan yang tidak terkawal boleh
mencetuskan tindakan yang bukan saja dizahirkan melalui kata-kata kesat, bahkan
boleh merebak kepada tindakan fizikal yang keterlaluan.
Cara
yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk mengawal marah ialah dengan berwuduk. Hal
itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya
marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada
api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah
seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu
Daud)
Ketika
marah tahap kewarasan fikiran seseorang berada pada kedudukan paling rendah.
Sebab itu, ketika marah fikiran akan merancau menyebut perkara bukan-bukan dan
melakukan tindakan seperti hilang akal.
Untuk
mengawal keadaan ini memerlukan kerjasama atau bantuan orang lain. Jika
kemarahan itu ditujukan kepada seseorang, maka orang yang berkenaan perlu
meninggalkan tempat itu. Tindakan itu bukan dayus, tetapi untuk mengelak
keadaan lebih buruk. Jika terus berada di tempat itu, mungkin timbul berbalas
perasaan marah. Apabila kedua-dua pihak tidak dapat mengawal perasaan marah, keadaan
menjadi tidak terkawal.
Ingatlah
pesan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan
terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat
mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Satu
lagi sifat sabar yang perlu diamalkan ialah ketika berdepan dengan musibah atau
malapetaka. Sebagai muslim, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi
dengan sabar dan bertakwa. Ini kerana apa yang terjadi sudah termaktub sebagai
qada dan qadar yang perlu diyakini bahawa ia telah ditentukan oleh Allah SWT. Mempercayai
qada dan qadar menjadi sebahagian Rukun Iman.
Musibah
yang menimpa merupakan sebahagian daripada bentuk ujian yang diberikan Allah SWT.
Mereka yang beriman menerimanya dengan hati terbuka dan sabar menghadapi ujian
itu. Kesabaran menghadapi musibah meletakkan seseorang dalam kalangan mereka
yang beroleh kejayaan sebenar dalam kehidupan ini.
Sesungguhnya
Allah SWT memberi ganjaran berlipat ganda kepada orang yang bersabar. Ini
selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang
sabar sajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira?
(Surah az-Zumar, ayat 10).
Balasan
bagi orang yang sabar dinikmati ketika di dunia, mahupun di akhirat. Mungkin
kita melihat orang yang sabar tidak mendapat apa-apa kebaikan di dunia kerana
musibah yang dihadapi tidak ini hilang, bahkan bertambah-tambah, tetapi secara
rohaninya dia beroleh ketenangan. Orang yang sabar berada dalam keadaan tenang
dan reda ketentuan Allah SWT. Jiwa yang tenang adalah satu nikmat yang tidak
terkira untungnya.
Sebab
itu, orang yang sabar tidak merasakan tekanan untuk berdepan dengan musibah
mahupun ujian hidup. Dia sedar, keadaan yang dihadapi itu ada hikmah yang hanya
Allah SWT mengetahuinya. Sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali mensia-siakan
hamba yang sentiasa bersabar.
Tahap
kesabaran yang jitu memberi pengertian bahawa seseorang itu tidak menolak
ketentuan Allah SWT. Ketaatan dan pengharapan kepada Allah SWT tidak sedikitpun
goyah atau berkurangan. Semakin kuat ujian yang terpaksa diterima,
bertambah-tambah lagi ketakwaan dan keimanannya.
Firman
Allah SWT yang maksudnya: "Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka
dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka
merekalah orang yang rugi" (Surah al-A`raf, ayat 178).
Sesungguhnya,
apa juga masalah atau ujian di dunia ini tidak sehebat kehidupan di akhirat. Matlamat
hidup muslim bukan untuk dunia, tetapi lebih penting ialah di akhirat nanti. Sekiranya,
Allah SWT menguji hidup di dunia dengan musibah dan kegagalan, maka itulah
himpunan pahala yang bakal diraih di akhirat kelak, selagi kita bersabar dan
reda terhadap apa yang berlaku.
No comments:
Post a Comment