Setiap
agama ada perayaan dirayakan penganutnya. Dalam konteks masyarakat Malaysia,
ucapan selamat kepada penganut agama lain yang menyambut perayaan sudah menjadi
amalan atau budaya. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama
mereka, tetapi sekadar satu bentuk hubungan kemanusiaan.
Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali
Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam
Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam.
Muzakarah memutuskan bahawa:
- Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan
perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti
mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia
ditegah oleh Islam.
- Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar
kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan
perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
- Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau
alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan
sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah
harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama
bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan
mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
Menjadi
hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang
Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara
kita dan jiran kita yang terdiri daripada agama lain pada hari raya mereka.
Ini
termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang
kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi
kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri
atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Bagaimanapun,
keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam
upacara dan ritual khusus agama lain yang menjadi amalan khusus bagi penganut
agama berkenaan.
Majlis
Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut
membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka.
Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa
perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa, ayat 86).
Pun
begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya
sekadar ucapan sempena perayaan. Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan
segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir
dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka. Jangan pula kita
yang lebih-lebih menyambutnya seperti menjadi sebahagian daripada mereka.
Sesungguhnya,
mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan
dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti
menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.
Islam
juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan
ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama
Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn Abbas menyebut: Jika Firaun berkata
kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”.
(Hadis riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).
Orang Islam terutama pemimpin, orang yang mempunyai kedudukan, pengaruh dan contoh tauladan tidak boleh sama sekali menyertai atau melakukan apa-apa aktiviti perayaan agama orang bukan Islam yang bersifat kepercayaan bagi penganut agama berkenaan.
Mengadakan
jamuan atau acara keramaian sempena hari raya dan hari-hari kebesaran semua
kaum diharuskan. Ia memperlihatkan sikap saling menghormati antara penganut
agama.
No comments:
Post a Comment