Wednesday 12 June 2024

AKTIVITI ICE BREAKING MENGHILANGKAN RASA KEKOK

 
Aktiviti “ice breaking” sering diadakan ketika penganjuran kursus, seminar, orentasi, mesyuarat dan sebagainya.
 
Setakat ini tiada istilah dalam bahasa Melayu bagi kata "ice breaking".  Walau bagaimanapun, dalam Kamus Inggeris Melayu Dewan, frasa "breaking the ice" membawa maksud "menghilangkan rasa kekok". 
 
Padanan yang sesuai  dapat juga  diberikan mengikut konteks. Misalnya, dalam konteks mesyuarat, sesi ice breaking ini lebih sesuai disebut sebagai sesi taaruf.
 
Istilah suai kenal atau orientasi juga boleh digunakan sebagai padanan "ice breaking" bergantung pada konteks dan situasi.
 
Fokus utama ice breaking ini adalah bertujuan bagi mewujudkan suasana yang aktif, meriah dan tidak kekok. Istilah ice breaking ini dari sudut bahasa adalah padanan dua patah kata dalam bahasa Inggeris yaitu ‘ice’ dan ‘breaking’ atau ‘breaker’ yang membawa maksud kepada memecahkan ais.
 
Umum mengetahui bahawa sifat ais adalah beku dan keras. Makanya, ice breaking adalah satu kegiatan atau aktiviti untuk memecahkan kebekuan ais dan mencairkan suasana agar lebih gembira, tidak mengantuk atau membosankan.
 
Perbezaan latar belakang, status, usia, pekerjaan, kebiasaan harian, jabatan dan skop kerja menyebabkan wujudnya ruang pemisah di antara satu individual dengan individual yang lain.
 
Oleh itu, proses meleburkan dinding-dinding ais atau ice breaking di antara individual itu penting dalam memastikan kelancaran dan kelestarian perjalanan program. Hasil dari ice breaking ini membolehkan para peserta lebih mengenal antara satu sama lain dan mewujudkan ruang interaksi yang lebih akrab.
 
Di samping itu, ice breaking membantu ke arah pembentukan kumpulan dan bekerjasama, mencipta suasana yang lebih aktif penyertaannya dan membina rasa selesa di dalam lingkungan rakan-rakan dan suasana yang baru.
 
Terdapat pelbagai modul yang boleh digunapakai bagi tujuan ice breaking ini, sama ada berbentuk di dalam dewan atau tempat tertutup, atau di tempat yang terbuka seperti di padang dan kawasan luar bangunan. Aktiviti boleh dijalankan sama ada menggunakan peralatan atau tidak.
 
Perjalanan ice breaking dikendalikan oleh pembimbing, fasilitator atau individu yang berperanan menentukan aktiviti itu terkawal dan mencapai matlamatnya. Aktiviti ice breaking juga boleh dijadikan sebahagian gambaran awal kepada tujuan keseluruhan kursus.


No comments:

Post a Comment