Malay bashing bolehlah diertikan sebagai
'menggodam Melayu' atau 'menyerang, mencerca dan mengutuk Melayu. Perbuatan Malay
bashing itu dilakukan secara terang-terang atau secara berselindung bukan
sahaja oleh orang bukan Melayu, malah sesetengah orang Melayu sendiri.
Kita perlu sedar akibat perbuatan bukan Melayu mengungkit-ungkit apa yang
dianggap sebagai 'keistimewaan Melayu' dalam sistem politik dan pemerintahan
negara.
Turut digodam dan diserang ialah Dasar
Ekonomi Baru yang mempunyai matlamat serampang dua mata "membasmi
kemiskinan dan menyusum kembali masyarakat."
Secara berkias atau berterus terang
perbuatan Malay bashing itu juga turut mempersoalkan beberapa
peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Negara. Juga dipersoalkan status bangsa
Melayu sebagai penduduk asal negara ini.
Antara perkara yang dipersoalkan ialah
penggunaan istilah 'ketuanan Melayu' yang oleh sesetengah pihak telah diberi
pengertian yang menyeleweng dan mengelirukan, apa lagi bila diterjemahkan ke
dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan istilah Malay supremacy atau Malay
dominance atau Malay hegemony.
Penggunaan ungkapan-ungkapan Inggeris itu
sebagai terjemahan untuk ungkapan 'ketuanan Melayu' telah menimbulkan
kekeliruan di kalangan bukan Melayu yang mentafsirkannya (atau menyalah
tafsirkannya?) dalam konteks hubungan 'tuan' dan 'hamba' atau lord vs
serfs/ slaves.
Lanjutan daripada takrifan yang menyeleweng
itu, apa saja yang berlabel Melayu terus digodam dan diserang dan dituduh
sebagai 'perkauman.' Ini termasuklah perjuangan politik Melayu, pemerkasaan
bahasa Melayu, pembaikan ekonomi Melayu dan penggunaan simbol-simbol budaya
Melayu seperti keris.
Malah beberapa Perkara dalam Perlembagaan Malaysia yang dianggap 'memihak'
kepada Melayu juga turut dipersoalkan secara langsung atau secara
berkias.
Demikianlah implikasi dari tafsiran yang
salah itu diheboh-hebohkan untuk memberi justifikasi Malay bashing dengan
melakukan pelbagai tuduhan yang tidak munasabah terhadap bangsa Melayu serta
mengungkit-ungkit isu sensitif yang menimbulkan ketegangan hubungan kaum.
Terjemahan istilah 'ketuanan Melayu' itu ke
dalam bahasa Inggeris yang menggambarkan bangsa Melayu itu sebagai racist yang
seakan-akan menyamai puak pelampau Klu Klux Klan di Amerika Syarikat yang
mengaku kaumnya sebagai sangat istimewa dan memandang rendah kepada bangsa atau
kaum-kaum lain.
Lanjutan daripada takrifan yang salah
terhadap ungkapan 'ketuanan Melayu' itu beberapa pihak, termasuk pimpinan
tertinggi negara terpaksa mencari ungkapan alternatif yang diperkirakan akan
membawa maksud dan makna yang lebih tepat.
Semuanya secara tidak langsung mengingatkan
supaya polemik ketuanan Melayu itu dianggap sebagai 'loceng peringatan'
atau wake up call.
Loceng peringatan itu memberi amaran bahawa
musuh Melayu sekarang bukan sahaja hendak menggodam dan menyerang dari luar
tetapi sudah semakin banyak musang berbulu ayam atau ular menyerupai belut yang
hendak mematuk dari dalam.
No comments:
Post a Comment