Wednesday 11 October 2023

UITM CAWANGAN PERAK KAMPUS TAPAH

 
Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dahulunya dikenali Institut Teknologi MARA (ITM) mempunyai cawangan di semua negeri di Malaysia dengan nama UiTM Cawangan (mengikut negeri). UiTM Cawangan negeri pula mempunyai beberapa kampus di daerah berlainan.
 
UiTM Cawangan Perak mempunyai tiga kampus. Kampus induk terletak di Bandar Baru Seri Iskandar yang dirasmikan pada 21 Julai 1998 dengan tapak seluas 285.5 ekar. Sebelum itu, bermula UiTM Cawangan Perak beroperasi di kampus sementara di Bandar Baru Seri Manjung bermula 1 Januari 1985.
 
Kampus kedua ialah Kampus Bandaraya Ipoh yang terletak di Station 18, Jalan Pengkalan, Ipoh, memulakan operasi pada bulan Jun 2002, menumpukan kepada pengajian luar kampus. 
 
Manakala kampus ketiga ialah Kampus Tapah. UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah terletak selepas pekan Tapah Road jika datang dari Teluk Intan. Ia terletak kira-kira enam kilometer dari pekan Tapah dan kira-kira 60 kilometer dari bandar Ipoh dan UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.
 
Kos pembinaan kampus tersebut sebanyak RM285 juta yang dibina melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
 
UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah Fasa Pertama telah mula beroperasi pada 1 Disember 2010. Bangunan kampus Fasa 1 ini hanya terdiri daripada 6 unit bangunan iaitu bangunan pejabat pentadbiran dan akademik, kolej kediaman pelajar siswa, kolej kediaman pelajar siswi, pejabat pentadbiran kolej dan 2 unit rumah Pegawai Pembangunan Pelajar.
 
Bagi pengambilan pertama, seramai 25 orang pelajar telah ditawarkan pengajian di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah bagi program Diploma Sains Aktuari dan Pra Diploma (Sains) pada 26 Disember 2010.

Fasa Kedua mula dibina pada tahun 2011 dan siap pembinaan pada 18 Januari 2014. UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah Fasa 2 beroperasi sepenuhnya pada 21 April 2014 dengan kemampuan menampung kapasiti 5000 pelajar dan 2500 penginapan pelajar.
 
Kemudahan lain merangkumi kompleks pentadbiran, blok fakulti, perpustakaan, pusat pelajar, Pusat Islam, bangunan kafeteria, unit kesihatan, kolej kediaman, serta banyak lagi kemudahan bertaraf moden khusus bagi kemudahan dan keselesaan para pelajar.

No comments:

Post a Comment