Wednesday 29 December 2021

DATARAN KUBU KAMPUNG KUALA GEL MELAWI

 
Kawasan pantai di negeri Kelantan menjadi tempat pendaratan tentara Jepun ketika menyerang Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua.

Pihak British yang mentadbir Tanah Melayu pada ketika itu telah menjangkakan akan meletus peperangan. Jadi, pihak British telah melakukan persiapan dengan membina kubu pertahanan di pinggir pantai dan kawasan strategik bermula di negeri Kelantan sehingga ke Johor.

Namun, kebanyakan kubu dibina lebih banyak di Kelantan kerana menjangkakan serangan akan dibuat bermula dari utara dan jika tentera Jepun mampu mendarat, mereka akan mara melalui daratan ke selatan.  

Kubu konkrit itu memang tahan dan kukuh. Namun, sebahagian kubu tersebut yang terdapat di Kelantan kini telah ditelan air laut apabila berlaku hakisan.

Pun begitu, masih ada kubu yang berada di daratan. Salah satunya ialah di Kampung Kuala Gel, Melawi, Bachok.

Pihak berkuasa tempatan kini telah menjadikan kawasan kubu peninggalan British itu sebagai Dataran Kubu.

Kawasan sekitar kubu dibuat dataran konkrit dan hiasan serta bangku simen untuk keselesaan pengunjung.

Kedudukan Dataran Kubu di persisir pantai dan berhampiran dengan kawasan peranginan, memungkinkan ia menjadi tumpuan pengunjung.

Diharapkan Dataran Kubu akan menjadi satu daya tarikan untuk pengunjung datang ke Kampung Kuala Gel dan kawasan peranginan berhampirannya.


No comments:

Post a Comment