Thursday 14 January 2021

IKAN SEPAT SIAM MUDAH MEMBIAK

Ikan sepat siam (trichogaster pectoralis) merupakan sejenis ikan air tawar dari keluarga Osphronomidae yang terdapat di negara kita dan beberapa negara tropika lain di seluruh dunia. 

Ikan ini merupakan ikan darat paling popular dijadikan hidangan bagi masyarakat di negara seperti Thailand, Kemboja, Myanmar, Indonesia dan termasuklah juga Malaysia. Dinamakan ikan sepat siam kerana dipercayai ia berasal dari Thailand atau dipanggil juga Siam.

Baka spesis ikan sepat siam dibawa ke negara berhampiran dan dilepaskan di persekitaran semula jadi seperti sawah, rawa, sungai, tasik dan paya. Ikan sepat siam mudah membiak dan tahan lasak di persekitran semula jadi.

Struktur dalaman organ ikan sepat siam seperti juga jenis ikan haruan dan ikan puyu yang mempunyai labyrinth di ruang insangnya yang membolehkan ikan ini hidup walaupun di kawasan air yang kurang oksigen.

Sebab itu, ikan sepat boleh hidup di persekitaran agak keruh dan ‘mencabar’ seperti di sawah yang dilakukan kerja pembajakan tanah, penggunaan racun dan air sawah dikeringkan pada setiap musim.

Dalam habitat semulajadi selalunya ikan sepat akan makan lumut, tumbuhan air dan anak-anak ikan kecil yang boleh dimasukkan ke dalam mulutnya yang kecil.

Biarpun dikatakan mulut ikan sepat siam agak kecil, tetapi ia lebih besar berbanding dengan sepesis ikan sepat lain seperti ikan sepat ronggeng. Disebabkan mulut ikan sepat siam lebih besar, maka ia boleh ditangkap dengan cara memancing.

Sebenarnya, tidak banyak orang tahu ikan sepat siam boleh dipancing. Kebiasannya, cara menangkap ikan sepat siam ialah dengan cara menjala, menahan lukah atau bubu, memasang pukat atau menimba air di lopak yang mana ikan ini berada.

Warna badan pada daerah punggung hijau kegelapan, sedangkan pada bahagian samping memiliki sisik berwarna lebih terang.

Terdapat garis – garis melintang pada bahagian kepala dan badan. Pada sirip dubur terdapat 2 – 3 garis hitam membujur atau longitudinal.

Ikan betina akan bertelur di bawah buih-buih putih di permukaan air yang tenang di mana ikan sepat jantan akan menjaga telur-telur tersebut sambil mempersenyawakannya.

Setelah menetas lazimnya anak ikan sepat akan diasuh oleh sepat jantan sehingga anak ikan tersebut mampu mencari makan sendiri.

Ikan ini hidup secara berkumpulan dan akan timbul dipermukaan air untuk menyedut udara dan jika lokasi ikan sepat sangat padat maka akan banyak kelihatan ikan dari permukaan air.

Walau pun ikan sepat tahan di lubuk yang kurang oksigen akan tetapi ikan ini mudah atau cepat mati apabila di luar dari air.

Selain untuk dimakan, ikan sepat siam juga dijadikan ikan hiasan.

Memandangkan ikan sepat siam mendapat permintaan tinggi, pembiakan secara komersial kini giat dilkukan.

No comments:

Post a Comment