Sunday 20 December 2020

Kampung Jerek, Gua Musang semakin maju


Jerek merupakan sebuah mukim di jajahan Gua Musang, Kelantan. Mukim-mukim lain di jajahan Gua Musang ialah Ketil, Pulai, Renok, Bertam Baru, Bertam, Batu Papan, Kuala Sungai, Kuala Betis, Limau Kasturi, Relai Utara dan Relai Selatan. Terdapat sebanyak 13 mukim kesemuanya di jajahan Gua Musang.

Di dalam Mukim Jerek, lokasi tumpuan pembangunan ialah di Kampung Jerek. Biarpun jauh di pedalaman, Kampung Jerek turut menikmati pembangunan disediakan pihak kerajaan.

Kampung Jerek terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Gua Musang. Jarak dari Kota Bharu pula antara 170 kilometer sehingga 190 kilometer mengikut laluan yang dilalui.

Jarak Kampung Jerek ke Kota Bharu melalui Dabong - Jeli - Lalang Pepuyu - Rantau Panjang - Pasir Mas - Kota Bharu ialah 170 kilometer.

Manakala jarak perjalanan melalui Dabong - Jeli - Machang - Kota Bharu sejauh 180 kilometer.

Satu lagi laluan ialah Dabong - Sungai Sam - Kuala Krai - Kota Bharu pula sejauh 190 kilometer.

Pengakutan terawal untuk ke Kampung Jerek ialah melalui sungai dan kereta api. Terdapat stesen kereta api untuk perjalanan antara stesen dalam negeri iaitu Stesen Jerek Baru. Penggunaan kereta api banyak dimanfaatkan oleh pelajar sekolah.

Di Kampung Jerek terdapat kemudahan sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Jerek. Manakala sekolah menengah pula Sekolah Menengah Tengku Bendahara. Terdapat juga sekolah tahfiz iaitu Sekolah Tahfiz Fakir Miskin dan Anak Yatim (SATYATIM).

Kemudahan lain terdapat di Kampung Jerek ialah Klinik Kesihatan Jerek, Perpustakaan Desa Jerek. Turut tersedia ialah masjid, dewan orang ramai, padang permainan dan kemudahan asas lain.


No comments:

Post a Comment