Friday 22 November 2019

ETOK DIGEMARI PENDUDUK KELANTAN

Etok atau etak begitu sinonim dengan masyarakat Kelantan. Etak dijadikan kudapan mahupun 'lauk' penambah selera kerana rasanya yang lemak manis.

Biasanya etok disalai atau dijemur sebelum belum dimakan. Selain itu etok dimasuk sebagai sayur lemak atau dicampur dengan sayur untuk digoreng.

Etok salai tradisional biasanya digaul atau bersalutkan rempah sebelum disalai atau dijemur. Namun, kini makanan eksotik itu mengalami evolusi dengan pelbagai perasa seperti BBQ, tomyam, paprika dan ‘cheese’ (keju).

Menurut Kamus Dewan, perkataan etok diambil dari dialek Kelantan yang diganti dengan perkataan "etak" yang merujuk kepada kerang sungai.

Manakala Kamus Dewan Edisi Keempat, merujuk etok sebagai sejenis kerang sungai, gayam, Asaphis spp.

Etok umumnya boleh dijumpai di kawasan sungai air tawar yakni pada dasar sungai atau terusan. Ia boleh juga dilihat hidup dikawasan hampir ke muara sungai yakni berdekatan dengan delta atau laut.

Etok merupakan haiwan sungai yang dilihat suka pada kawasan yang tenang aliran airnya dan berlumpur.

Kulit kerang etok biasanya terdapat dalam dua warna, iaitu coklat kehitaman dan warna kuning cerah.

Etok bercengkerang warna coklat kehitaman sering dijumpai dikawasan sungai air tawar yang berlumpur, manakala berwarna kuning cerah pula di kawasan berpasir.

Etok boleh ditangkap atau kutip menggunakan tangan di sungai yang cetek. Di tempat air yang dalam, etok ditangkap dengan menggunakan pengaut atau jaring yang diperbuat daripada kerawat besi.

No comments:

Post a Comment