Pada 6 April 1966, Menteri Pengangkutan, Datuk
Sardon Haji Zubir dan Menteri Perhubungan Thailand, Leftenan Jeneral Pongse
Punnkanta, merasmikan bangunan Stesen Kereta Api Bersama Sungai Golok yang
terletak di sempadan Malaysia-Thailand.
Bangunan baru yang bernilai RM300,000 itu dibina bagi
menggantikan bangunan lama yang telah berusia 45 tahun. Kerja-kerja pembinaan
telah dimulakan pada bulan Julai 1965 dan siap menjelang Mac 1966.
Kos pembinaan stesen ini dibiayai bersama oleh Keretapi
Tanah Melayu (KTM) dan Kereta Api Negara Thailand. Rancangan pembinaan stesen
kereta api ini dibuat selepas Stesen Kereta Api Padang Besar dirasmikan pada
September 1957. Pembinaan kedua-dua stesen ini adalah selaras dengan perjanjian
yang telah dicapai oleh kedua-dua negara pada tahun 1954.
Perasmian bangunan stesen keretapi Sungai Golok ini dapat
meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sistem pengangkutan disamping mengeratkan
lagi kerjasama kedua-dua buah negara.
Landasan kereta api dari Pasir Mas ke Golok mula beroperasi
pada tahun 1920. Landasan tersebut sepanjang 18.7 kilometer pada awalnya
digunakan untuk mengangkut bijih besi dari Kelantan ke Thailand. Lombong bijih
besi utama ketika itu terletak di Temangan, Machang.
Perkhidmatan kereta api Pasir Mas-Golak dimanfatkan oleh penduduk Kelantan untuk ke utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Ketika itu Jalan Raya Timur Barat belum wujud. Penduduk Kelantan jika tidak mahu melalui Golok, perlu "turun" ke Kuala Lumpur dan kemudian naik di utara.
Dengan adanya perkhidmatan kereta api, penduduk Kelantan naik dari mana-mana stesen di Kelantan menuju ke Stesen Pasir Mas dan seterusnya ke Stesen Golok di Thailand. Dari situ mereka akan menaiki kereta api menuju ke Hatyai dan dari situ akan ke Padang Besar memasuki Perlis dan tempat lain di utara.
Begitu jugalah penduduk dari utara yang ingin ke Kelantan atau perantau Kelantan ingin pulang, menggunakan perkhidmatan kereta api.
Perkhidmatan kereta api Pasir Mas – Golok telah dihentikan
memandangkan kurang mendapat sambutan.
No comments:
Post a Comment