Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer
Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru dari tiga parti, berbanding lima
penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir akan bertanding mewakili
Barisan Nasional (BN).
Perikatan Nasional (PN) pula menamakan Pengerusi PN Tapah, Abdul Muhaimin
Malek, manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekali lagi memilih Timbalan
Setiausaha Agungnya, Bawani KS, sebagai calonnya pada PRK kali ini.
Senarai calon bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus
Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, pada jam 10.23 pagi selepas
proses penamaan di Dewan Merdeka, ditutup pada jam 10 pagi.
Terdahulu sejurus pusat penamaan calon dibuka pada jam 9
pagi, Abd Muhaimin menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.01 pagi, diikuti
Mohamad Yusri pada jam 9.06 pagi.
Bawani yang menarik perhatian ramai apabila hadir ke pusat
penamaan bersama penyokong dengan menaiki traktor sebagai gimik pula
menyerahkan borang pencalonannya pada jam 9.15 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian
bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22
April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas
pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK diadakan apabila penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal
dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari 2025..
Pada PRU15,
Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088
bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan
(6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti
Sosialis Malaysia (586).
No comments:
Post a Comment