Wednesday, 5 February 2025

PEMIMPIN ISLAM SALING MENJATUHKAN SESAMA SENDIRI

 
Dunia yang serba canggih dengan teknologi komunikasi menyebabkan kehidupan manusia semakin mudah dan selesa. Istilah dunia tanpa sempadan memperlihatkan betapa mudahnya untuk berkomunikasi pada masa sekarang.
 
Kemajuan dalam aspek ini sepatutnya digunakan untuk faedah diri sendiri dan masyarakat. Pelbagai ilmu pengetahuan, informasi dan berita sama ada dalam atau luar negara mudah diperoleh masa kini.
 
Persoalannya, sejauh manakah umat Islam menggunakan kemudahan ini untuk membangunkan diri sendiri, masyarakat dan negara?
 
Tidak dinafikan banyak yang mengguakan ke arah kebaikan. Namun pada masa sama, menjadi satu kegusaran apabila kemudahan teknologi maklumat disalah guna.  
 
Perbuatan fitnah dan menyebarkan berita tidak benar semakin menjadi-jadi. Dengan sekelip mata perkara tidak benar disebarkan melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Whats­App dan sebagainya.
 
Fitnah dan berita tidak benar boleh mencetuskan huru hara dalam negara. Rakyat hilang keyakinan dan mungkin bangkit melakukan tindakan luar kawal disebabkan percaya kepada berita-berita palsu itu.
 
Umat Islam sepatutnya berhati-hati apabila mendapat sebarang informasi yang kurang pasti kebenarannya supaya mereka tidak terlibat dalam perbuatan fitnah.
 
Setiap maklumat atau berita yang diterima perlu berdasarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh sebelum menentukannya benar atau salah.
 
Pergolakan parti politik yang diterajui oleh umat Islam semakin hari kian ketara menonjolkan kelemahan sesama sendiri sehingga masyarakat sukar untuk menentukan kehebatan kepimpinan parti-parti politik umat Islam.
 
Hari ini umat Islam berbalah sesama sendiri. Keadaan ini pasti melemahkan umat Islam. Pastinya yang gembira adalah musuh-musuh Islam.
 
Mereka gembira kerana tidak perlu bersusah payah untuk mengalahkan umat Islam kerana tugas itu dilakukan oleh orang Islam sendiri.
 
Musuh Islam hanya menanti untuk mengambil alih kuasa apabila keadaan umat Islam benar-benar lemah akibat berbalah sesama sendiri.
 
Dalam usaha meraih sokongan pengundi, perkara yang perlu dilakukan ialah menonjolkan kekuatan diri. Cara itu lebih terhormat, biarpun dituduh masuk bakul angkat sendiri.
 
Menuduh dan menyalahkan pihak lawan bukan satu pendekatan bijak. Kalau kita boleh membuka aib orang, pastinya kita juga mempunyai aib dan kelemahan yang boleh dibongkar oleh orang lain.
 
Daripada situ pula akan lahir fitnah, sedangkan perbuatan itu adalah seburuk-buruk perbuatan.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpa sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Manakala sabda Rasulullah SAW bermaksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment