Penggunaan maggot atau ulat (larva) lalat
dalam perawatan luka serius terutama terhadap pesakit kencing manis semakin
meluas diamalkan di negara kita.
Berdasarkan beberapa maklumat yang
didapati, penggunaan maggot untuk penyembuhan luka telah dilakukan oleh
penduduk asli Amerika suku Maya dan suku Aborigin di Australia. Disebut juga
bahawa penggunaan maggot sebagai pengubatan diamalkan pada
zaman renaissance.
Namun di Malaysia penggunaan maggot untuk perawatan hanya diperkenalkan sekitar
awal 2000. Sekarang ini ia semakin berkembang apabila kajian dibuat
mengenainya.
Memandangkan kaedah perawatan atau terapi itu dianggap baru dan belum ada garis
panduan khusus berkaitan hukum berkenaannya, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang
pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Rawatan Terapi
Larva (Maggot Debridement Therapy) Bagi Pesakit Luka Kronik.
Muzakarah telah membuat keputusan seperti
berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan,
Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan
umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami sepertimana sabda
Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat:
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah berdosa jika kami tidak
merawat (penyakit kami)?” Rasulullah bersabda, “Dapatkanlah rawatan wahai
hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci tidak menjadikan sesuatu
penyakit melainkan dijadikan bersama-samanya penawar, melainkan penyakit
tua”. (Riwayat Ibn Majah)
Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan
bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan” .
Muzakarah berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan
babi dan anjing yang jelas hukumnya najis. Pandangan ini adalah selaras dengan
kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:
Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan
lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang
menyatakannya sebagai haram.”
Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak
mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan
semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen
tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah. Justeru, ia tidak menjejaskan
kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.
Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Muzakarah bersetuju
memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot
Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang
dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini
adalah sah.
Muzakarah juga memutuskan bahawa pesakit luka kronik yang menjalani rawatan ini
dibolehkan bertayammum untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil bagi
mengelakkan mudarat apabila terkena air pada anggota yang sakit.
Sebagai panduan melaksanakan ibadah, pesakit boleh merujuk kepada Panduan
Tayammum, Wuduk dan Solat Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM).
No comments:
Post a Comment