Sunday 13 February 2022

AKAL MEMBEZAKAN MANUSIA DENGAN HAIWAN

 
Sepertimana yang kita semua ketahui, di dunia ini wujudnya pelbagai ilmu yang mana manusia bebas belajar dan mendalami ilmu tersebut tidak kiralah teori dan praktikalnya tetapi apa yang penting boleh membuatkan seseorang itu berilmu dan berpengetahuan. Antaranya ialah ilmu matematik, ilmu fizik, ilmu kimia, ilmu wahyu dan ilmu mantik itu sendiri serta sebagainya.

Pendek kata, semua subjek yang boleh didalami dan boleh menambahkan pengetahuan seseorang dianggap ilmu. Tetapi, di sini akan diketengahkan mengenai ilmu mantik yang sangat diperlukan semua manusia untuk membezakan di antara yang baik dan buruk.

Apabila diteliti tentang konsep keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk lain ialah akal pemikiran.

Berpandukan akal, manusia dapat mencari ilmu serta memandu mereka ke arah yang baik dan menilai mana yang benar dan salah.

Kesesatan manusia juga disebabkan mereka tidak menggunakan akal untuk tujuan yang baik. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika digunakan untuk kebaikan akan menjadikan seseorang itu mulia dan sekiranya pula diarahkan untuk tujuan negatif menyebabkan mereka binasa dan hina.

Akal ialah sesuatu sifat yang boleh membezakan di antara manusia dengan haiwan dan makhluk lain. Melalui akal, manusia mampu menerima segala ilmu yang berbentuk teori serta mampu untuk menyusun idea-idea. Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama kepada fikiran manusia.

Hakikat akal menurut pengertian ini dapat dijelaskan melalui sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang bermaksud: "Tidak ada satu ciptaan Allah yang lebih mulia di sisiNya selain akal."

No comments:

Post a Comment