Menjaga
lidah bukan saja tuntutan agama, bahkan fitrah manusia sukakan tutur kata yang
baik. Sebab itu adab bertutur diamalkan dalam semua masyarakat bertamadun. Aspek
ketelitian percakapan amat dititik beratkan sebagai lambang keperibadian murni.
Tutur kata yang baik diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Ia menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan yang ceria, kagum dan mengiyakan. Penuturnya disenangi dan diterima kata-kata itu untuk tujuan kebaikan.
Beruntunglah sesiapa dapat menjaga kata-katanya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya. Hubungan baik dan mesra mudah terjalin dalam suasana percakapan yang baik yang mana tidak wujud perasaan prejudis atau syak mengenai perkara buruk.
Sesiapa sentiasa berkata yang benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan damai sentiasa. Dia tidak menanggung kerugian hidup akibat perkataan yang tidak baik.
Biasanya, kita mudah terlepas cakap apabila terlalu banyak bercakap. Di dalam mulut kita tidak ada ‘penapis’ untuk menjamin hanya perkataan baik dikeluarkan dari mulut. Sebab itu, cara terbaik untuk menjaga lidah daripada perkataan tidak baik ialah kurang bercakap atau bercakap perkara perlu sahaja.
Memang tidak dinafikan agak sukar berdiam diri terutama ketika berada dikelilingi ahli keluarga, kawan dan rakan setugas, takut nanti pula dikatakan sombong, tidak pandai bergaul dan anti sosial.
Dalam keadaan itu, bercakaplah dengan berhati-hati dan beristighfar di dalam hati agar dijauhkan daripada mengeluarkan perkataaan yang menyakiti hati orang lain. Bercakaplah hanya perkara yang perlu dan mendatangkan kebaikan.
Jika fokos perbualan pada masa itu lebih tertumpu kepada memperkatakan sesuatu yang buruk, elok kita meninggalkan tempat itu. Atau jika berkeupayaan, cuba halang topik itu dari terus diperkatakan. Cuba cari tajuk lain yang lebih mendatangkan kebaikan untuk diperkatakan.
Nenek moyang kita mengajar agar sentiasa berbudi bahasa, biarpun terhadap seseorang yang ingin ditegur kesilapannya atau orang buruk pekertinya. Orang Melayu biasanya menggunakan bahasa kias untuk menegur atau memperkatakan sesuatu tidak pasti.
Bahasa kias bermakna perkataan disebutkan tidak terus membawa maksud kepada apa hendak diucapkan. Maksud tersirat dalam bahasa kias amat kuat kesan di sebaliknya. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.
Sesungguhnya, jiwa orang Melayu cukap sensitif untuk memahami kata kias yang mempunyai maksud yang amat mendalam. Bagaimanapun, disebabkan dikiaskan, orang yang kena tuju perkataan itu tidak begitu tersinggung.
Malah, dalam rasa tidak senang masih boleh tersenyum, membuktikan keberkesanan kata kias menegur orang lain. Ia membuktikan ketelitian masyarakat dahulu dalam berkata-kata agar tidak menyakiti hati orang lain.
No comments:
Post a Comment