Wednesday 27 November 2019

MENGAPA BANYAK UBI TIMBUL MUSIM HUJAN

Pada musim hujan banyak jenis ubi dijual di tepi jalan, selain di pasar. Antara jenis ubi dijual pada musim tengkujuh ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi itik, ubi badak dan ubi takrok.

Mengapa jenis ubi tersebut 'timbul' pada musim hujan? Sebenarnya ia berkaitan dengan tempoh matang dan keadaan yang memaksa ubi-ubi tersebut dicabut atau dituai.

Tempoh matang ubi-ubi berkenaan adalah antara 6 hingga 10 bulan. Ia biasanya ditanam selepas musim banjir. Kalau di Kelantan biasanya antara bulan Mac hingga April.

Maknanya, jenis ubi berkenaan sudah matang sekitar bulan November atau Disember. Jadi, sudah boleh dicabut atau dituai pada bulan-bulan berkenaan.

Namun, satu lagi faktor mengapa ubi kayu, ubi keledek, ubi itik, ubi badak dan ubi takrok perlu dituai pada bulan-bulan berkenaan adalah untuk mengelak daripada menjadi rosak.

Sebenarnya jenis ubi berkenaan 'manja' dengan air. Jika kawasan tanaman ubi berkenaan digenangi air dua atau tiga hari secara berterusan, isinya boleh menjadi rosak atau busuk.

Keadaan ini dalam dialek Kelantan dipanggil 'carak'.

Untuk mengelak ubi rosak dan menanggung kerugian, maka ubi berkenaan terpaksa dicabut walaupun setengahnya belum matang sepenuhnya. Ubinya masih kecil dan muda.

Friday 22 November 2019

ETOK DIGEMARI PENDUDUK KELANTAN

Etok atau etak begitu sinonim dengan masyarakat Kelantan. Etak dijadikan kudapan mahupun 'lauk' penambah selera kerana rasanya yang lemak manis.

Biasanya etok disalai atau dijemur sebelum belum dimakan. Selain itu etok dimasuk sebagai sayur lemak atau dicampur dengan sayur untuk digoreng.

Etok salai tradisional biasanya digaul atau bersalutkan rempah sebelum disalai atau dijemur. Namun, kini makanan eksotik itu mengalami evolusi dengan pelbagai perasa seperti BBQ, tomyam, paprika dan ‘cheese’ (keju).

Menurut Kamus Dewan, perkataan etok diambil dari dialek Kelantan yang diganti dengan perkataan "etak" yang merujuk kepada kerang sungai.

Manakala Kamus Dewan Edisi Keempat, merujuk etok sebagai sejenis kerang sungai, gayam, Asaphis spp.

Etok umumnya boleh dijumpai di kawasan sungai air tawar yakni pada dasar sungai atau terusan. Ia boleh juga dilihat hidup dikawasan hampir ke muara sungai yakni berdekatan dengan delta atau laut.

Etok merupakan haiwan sungai yang dilihat suka pada kawasan yang tenang aliran airnya dan berlumpur.

Kulit kerang etok biasanya terdapat dalam dua warna, iaitu coklat kehitaman dan warna kuning cerah.

Etok bercengkerang warna coklat kehitaman sering dijumpai dikawasan sungai air tawar yang berlumpur, manakala berwarna kuning cerah pula di kawasan berpasir.

Etok boleh ditangkap atau kutip menggunakan tangan di sungai yang cetek. Di tempat air yang dalam, etok ditangkap dengan menggunakan pengaut atau jaring yang diperbuat daripada kerawat besi.

Sunday 17 November 2019

KHASIAT UBI JAGA TAMBAH KEINGINAN SEKSUAL


Ubi jaga herba tradisional kaya khasiat dan banyak kebaikan. Ubi jaga tumbuh liar di hutan Malaysia mempunyai batang mudah lentur. Daun ubi jaga berwarna hijau gelap dipermukaan dan hijau muda di bawah daun. 

Ubi jaga tidak memerlukan cahaya matahari yang terik untuk tumbesaran. Dalam keadaan semulajadi, ubi jaga tubuh di kawasan hutan yang redup.

Sebab itu, jika menanam ubi jaga perlu diletakkan di bawah teduhan. Ubi jaga memerlukan tanah yang lembab, kaya dengan humus dan bersaliran baik.

Ubi jaga digunakan secara tradisional sebagai ubat herba untuk menguatkan tenaga lelaki. Ia juga dijadikan tonik umum untuk meningkatkan metabolisme badan dan kekuatan fizikal

Ubi jaga akan membantu meningkatkan keinginan seksual, meningkatkan sensitiviti, menguatkan ereksi dan membolehkan lelaki semua peringkat umur untuk menikmati seks lebih kerap dan lebih tahan lama.

Untuk tujuan ini bahagian akar ubi jaga merupakan paling mujarab untuk digunakan.

Manfaat ini juga termasuk kesan penstabilan mood, promosi tahap tekanan darah yang sihat dan peningkatan tahap tenaga. Ini pasti akan menyumbang untuk prestasi yang hebat di ranjang.

Sains perubatan kini mula menyedari khasiat dan kebaikan herba ini. Usaha untuk menanam ubi jaga secara komersilkan ubi jaga giat diusahakan.  

Friday 8 November 2019

INDIVIDU BERSIFAT DENGKI SENTIASA MENDERITA


Orang yang bersifat hasad (dengki) tidak akan terlepas dari perbuatan memburuk-burukkan orang lain, berdusta, mencaci dan mengumpat. Orang bersifat dengki terhalang dari mendapat syafaat.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah termasuk golonganku, si pendengki, orang yang mengadu domba, orang yang mengamalkan ilmu tenung, dan sayapun tidak dari golongan mereka." (Hadis riwayat Thabrani)

Pendengki sanggup berbuat sesuatu yang akan membahayakan orang lain. Allah SWT menyarankan agar memohon kepadaNya perlindungan dari kejahatan Syaitan dan kejahatan pendengki.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan dari kejahatan si pendengki apabila dia mendengki" (Surah Al Falaq, ayat 5)

Sesiapa mempunyai sikap dengki bermakna hati telah menjadi buta. Seorang yang hasad dengki seakan tidak dapat memahami hukum Allah lagi asalkan dia dapat melaksanakan kedengkiannya seperti tindakan Qabil membunuh Habil.

Berkata Sufyan: "Janganlah engkau menjadi orang yang pendengki serta cepat mengambil kesimpulan."

Tanda adanya hasad dengki dalam diri kita ialah apabila orang lain dapat kejayaan kita sakit hati dan orang lain dapat bencana kita senang hati. Jiwa sentiasa rasa menderita dan terseksa.

Bila wujud hasad dengki dalam diri, akan berlakulah hina menghina, fitnah memfitnah, benci membenci, dendam-mendendam, jahat sangka dan mengadu domba yang semuanya akan mendatangkan dosa-dosa dan menghapuskan kebaikan lainnya.

Mungkin ada sedikit kebaikan yang pernah kita buat, semuanya akan terhapus dengan cepat umpama api membakar kayu api atau rumput.

Seseorang yang melayan hasad dengkinya adalah penjahat dan perosak serta pemecah-belah persaudaraan antara manusia. Juga dia seorang yang paling biadab dengan Allah SWT.

Sama ada dia sedar atau tidak, dia benci kepada Allah, serta tidak syukur dan redha dengan pemberian Allah.

Dalam sejarah umat Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya.

Mereka menaruh hasad dengki kepada beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti pengajiannya.

Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara. 

Tetapi dengan izin Allah, Allah SWT membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata dan beliau dibebaskan.

Walau setinggi mana ilmunya, sebanyak mana sekalipun solatnya, puasanya, hajinya dan hebat perjuangannya tetapi di sisi Allah tetaplah dia ahli Neraka, kerana hakikat orang yang berhasad dengki itu orang yang biadap dengan Allah.

Kalau betul kita beriman kepada Allah dan takutkan Neraka, insaflah akan kejahatan hati-hati kita itu dan marilah kita membaikinya dengan melakukan mujahadatunnafsi. Lawanlah sungguh-sungguh sifat mazmumah itu.

Sunday 3 November 2019

TUNAI JANJI ELAK SIKAP MUNAFIK


Sesungguhnya, apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. 

Tanggungjawab adalah amanah. Sesiapa tidak melaksanakan amanah dipanggil pecah amanah. Individu yang mementingkan harga diri sudah tentu tidak mahu dirinya dikenali sebagai tidak amanah. 

Orang yang tidak amanah tidak akan dipercayai untuk diserahkan tugas yang penting. Hal ini sudah tentu merugikan diri sendiri. Sekali identiti tidak amanah terlekat pada diri, sukarlah untuk dibuang daripada ingatan orang lain.  

Sikap tidak amanah, tidak menepati janji dan bercakap bohong mempunyai kaitan rapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan orang tidak amanah layak dipanggil pencuri, seperti kata pepatah, senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.

Individu suka berjanji dan kemudian tidak menepatinya berpunca kerana ramai individu lain yang sanggup menjadi mangsanya. Dia suka berjanji dusta kerana orang lain mudah mempercayainya.

Sebaliknya, jika semua orang sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati, tidak mudah menerima akuan janji (sebagai pihak kedua), kejadian mungkir janji dapat dikurangkan. 

Orang yang hendak menerima akuan janji daripada seseorang perlulah menyelidiki sama ada orang berjanji itu amanah atau sebaliknya. 

Tidak ada gunanya menerima janji dengan individu telah dikenali tidak beramanah. Kemungkinan janji itu tidak ditepati amat besar. Kita hanya perlu menyerahkan amanah kepada individu yang diketahui keupayaan melaksanakan amanah itu.  

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisa, ayat 58). 

Ikatan janji secara dasarnya lahir daripada sikap saling mempercayai dan menghormati  antara kedua-dua pihak yang mengikat janji. Pihak pertama yang mengucapkan janji mempunyai perasaan menghormati pihak kedua yang secara jujur menerima janji, memberi peluang untuknya melakukan sesuatu pada masa akan datang.  

Manakala pihak kedua pula mempercayai pihak pertama akan melaksanakan janji yang diucapkan.   

Berdasarkan kepada sifat-sifat murni terbentuk dalam ikatan janji, maka perlu dilaksanakan agar tidak timbul perkara di sebaliknya.     

Padah tidak menunaikan janji memang buruk. Kerugian yang ditanggung bukan sahaja di dunia, bahkan lagi di akhirat nanti. Orang yang tidak menunaikan janji termasuk golongan munafik.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang berada di dalamnya, maka dia adalah munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim. (Perkara itu ialah) Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).