Monday 25 June 2018

GUNUNG LEDANG PENUH MISTIK DAN CERITA DONGENG

Gunung Ledang dengan ketinggian 1276 meter dari aras laut adalah gunung tertinggi di Johor. Gunung Ledang banyak menyimpan sejarah lagenda Puteri Ledang yang dikaitkan dengan syarat peminangan yang cuba ditunaikan oleh Sultan Melaka kecuali semangkuk darah puteranya sendiri. Gunung Ledang juga dikenali Mount Ophir.

Diselubungi lagenda mistik dan cerita dongeng, Gunung Ledang terus mempesona dan menimbulkan rasa ingin tahu penduduk tempatan dan pelancong. 

Menurut legenda Puteri Gunung Ledang, Sultan Melaka mahu mengahwini Puteri itu tetapi dia tidak mahu berkahwin dengan Sultan lalu meminta Sultan mempersembahkan tujuh balang air mata wanita, tujuh dulang hati nyamuk serta tujuh mangkuk darah anak Sultan. 

Sultan tidak dapat memenuhi permintaan mustahil ini, lalu Puteri itu melarikan diri ke gunung serta terus hidup di dalam gua yang tersembunyi, hingga ke hari ini.

Gunung ini sangat ideal untuk pelbagai aktiviti luar dengan denai gunung yang mencabar, air terjun yang dingin, serta flora dan fauna eksotik termasuk berbagai-bagai spesis burung. 

Melalui puncak yang agak rata, 1.276m di atas paras laut, pemandangan panorama Selat Melaka dan juga pesisiran pantai Sumatera dapat dilihat pada hari yang cerah. Air Terjun Sagil di kaki gunung juga merupakan tempat perkelahan yang popular.

Nama Gunung Ledang dipercayai mula digunakan pada zaman empayar Majapahit yang bermaksud 'gunung yang jauh'. Di kalangan pelayar dari China pula memanggilnya 'kim sua' atau Gunung Emas.

Gunung Ledang kini termasuk satu satu kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara (Johor) dan dilindungi sepenuhnya sebagai kawasan kawalan melalui Enekmen Perbadanan Taman Negara (Johor) Tahun 1989.

Taman Negara Johor Gunung Ledang meliputi kawasan seluas 10,022 hektar. Kira-kira 13 peratus kawasannya terdiri hutan simpan dara.

Gunung Ledang merupakan antara gunung yang paling diminati para pendaki untuk menawan kemuncaknya. Setiap tahun kira-kira 50,000 orang berusaha mendaki ke puncaknya. Pendakian biasanya mengikut dua laluan utama iaitu mengikut pekan Sagil di Johor dan Asahan di Melaka.

Laluan Sagil lebih dekat untuk sampai ke puncak dan terdapat banyak sumber air diperoleh sepanjang laluan, tetapi terpaksa melalui banyak tebing curam yang menyukarkan pendakian. 

Manakala laluan Asahan pula lebih landai, kecuali beberapa tempat yang curam, tetapi lebih jauh dan hanya terdapat satu tempat sumber air sepanjang pendakian ke puncak.

Masa mendaki untuk kedua-dua laluan antara tiga hingga lima jam mengikut keupayaan fizikal pendaki dan bilangan ahli kumpulan yang menyertainya.

Bagi setiap 10 orang pendaki diwajibkan disertai oleh seorang penunjuk jalan yang berdaftar dengan Taman Negara Johor Gunung Ledang.

Selain mendaki ke puncak, orang ramai juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti lain di kawasan Taman Negara Johor Gunung Ledang seperti paragliding, memerhati burung, merentas hutan, berkhemah dan beberapa aktiviti lain yang dikendalikan oleh pihak perbadanan. 

Sunday 10 June 2018

HUKUM UCAP SELAMAT PERAYAAN BUKAN ISLAM

Membina dan menjaga hablum minan nas atau hubungan sesama manusia satu perkara perlu dititik beratkan untuk menjamin kehidupan dalam keadaan aman dan selamat terutama hidup dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Satu perkara perlu diamalkan adalah menghormati kedudukan agama lain.  

Setiap agama ada perayaan dirayakan penganutnya. Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat kepada penganut agama lain yang menyambut perayaan sudah menjadi amalan atau budaya. Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka, tetapi sekadar satu bentuk hubungan kemanusiaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. 

Muzakarah memutuskan bahawa:
- Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
- Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
- Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain. Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada agama lain pada hari raya mereka.

Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual khusus agama lain yang menjadi amalan khusus bagi penganut agama berkenaan.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa, ayat 86).

Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan. Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka. Jangan pula kita yang lebih-lebih menyambutnya seperti menjadi sebahagian daripada mereka.

Sesungguhnya, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.

Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn Abbas menyebut: Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Hadis riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Orang Islam terutama pemimpin, orang yang mempunyai kedudukan, pengaruh dan contoh tauladan tidak boleh sama sekali menyertai atau melakukan apa-apa aktiviti perayaan agama orang bukan Islam yang bersifat kepercayaan bagi penganut agama berkenaan.

Mengadakan jamuan atau acara keramaian sempena hari raya dan hari-hari kebesaran semua kaum diharuskan. Ia memperlihatkan sikap saling menghormati antara penganut agama.

Friday 8 June 2018

PANDUAN MEMILIH PAKAIAN WANITA MUSLIMAH

Panduan memilih pakaian atau fesyen wanita agar penuhi tuntutan agama. Tidak salah wanita berfesyen, namun hati-hati agar tidak melakukan dosa. Peraturan atau etika berpakaian menutup aurat perlu dipatuhi dan menjadi matlamat berpakaian. Berpakaian sempurna itu sebahagian ibadah.    

Beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh ramai Muslimah samada mereka sedar atau tidak:
- Berpakaian ketat dan menampakkan beberapa bahagian anggota tubuh.
- Menyerupai pakaian lelaki seperti berseluar panjang dan berkemeja.
- Menyerupai pakaian wanita-wanita kafir seperti fesyen-fesyen terkini yang jelas bercanggah dengan cara berpakaian Muslimah.
- Tidak menutup sebahagian anggota tubuh. Ada yang nampak telinganya, nampak lehernya, nampak rambutnya, nampak lengannya, nampak kakinya dan sebagainya.
- Pakaian tersebut penuh dengan perhiasan.
- Kainnya nipis sehingga boleh dilihat walaupun kain tersebut menutup auratnya.
- Pakaian yang dipakai mempunyai ciri-ciri kemahsyuran, ke’glamour‘an dan nilai-nilai kesombongan orang yang memakainya.

Pakaian Muslimah yang betul dan tepat dengan kehendak syariat Islam ialah:
- Menutup semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan.
- Pakaian tersebut tidak mempunyai ciri-ciri perhiasan yang boleh menarik perhatian.
- Mestilah kainnya tebal. Mestilah tidak tembus cahaya dan tidak boleh nampak anggota tubuh.
- Mestilah longgar (tidak ketat), supaya tidak menampakkan bentuk tubuh.
- Tidak berwangi-wangian.
- Tidak menyerupai pakaian lelaki.
- Tidak menyerupai pakaian wanita kafir.
- Pakaian tersebut mestilah tidak melambangkan kemasyhuran atau kesombongan.

Berpakaianlah dengan sempurna dan semoga terhindar dosa. Islam itu indah dan mudah.

Wednesday 6 June 2018

KELEBIHAN LAILATULQADAR

Malam Lailatul qadar cukup istimewa kerana ‘nilai’ disamakan dengan 1,000 bulan atau lebih 83 tahun. Sesiapa melakukan ibadat dan kebaikan pada malam itu disediakan ganjaran sama seperti dia melakukannya berterusan selama 1,000 bulan. 

Justeru, ganjaran malam Lailatulqadar perlu direbut setiap muslim yang berusaha menempatkan dirinya pada kedudukan lebih baik di sisi Allah SWT. Amat beruntunglah sesiapa yang mendapat keberkatan Lailatulqadar.

Anugerah Lailatulaqadar hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Daripada Anas meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku Lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka." (Hadis riwayat Ad-Dailani).

Anugerah itu berkaitan dengan para sahabat yang mengadu bahawa mereka tentu tidak dapat menandingi ibadat umat nabi-nabi terdahulu yang usia mereka hingga ratusan tahun. Sedangkan usia umat Nabi Muhammad SAW sekadar 50 hingga 70 tahun sahaja. Rasulullah SAW wafat pada usia 63 tahun. 

Dengan adanya malam Lailatulaqadar, peluang beribadat lebih ‘lama’ dapat dicapai oleh umat Nabi Muhammad SAW. Malah jika seseorang itu berulang-ulang kali mendapat Lailatulqadar sepanjang hidupnya, maka bertambah-tambahlah kebaikan yang dikumpulkan untuk dibawa mengadap Allah SWT di akhirat nanti.

Sebuah hadis menjelaskan mengenai keberkatan Lailatulqadar yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan qiam dengan penuh keimananan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni baginya dosanya yang lalu, dan sesiapa yang melakukan qiam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Keistimewaan malam Lailatulqadar juga dikaitkan sebagai malam di mana al-Quran diturunkan. 

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmah serta ketetapan yang bakal berlaku (surah al-Dukhan, ayat 3-4).

Al-Quran menjadi anugerah mukjizat kepada umat Nabi Muhammad SAW yang terus berkekalan sepanjang masa. Sedangkan, mukjizat yang dimiliki para nabi lain sekadar wujud semasa hayat nabi berkenaan.

Betapa hebat umat Nabi Muhammad memiliki al-Quran yang menjadi petunjuk sepanjang masa.  

Firman Allah SWT dalam ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan perbezaan (antara yang hak dan batil).”

Hal ini telah dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatul qadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar" (surah al-Qadr, ayat 1-5).

Dalam ayat di atas., Allah SWT secara jelas telah menerangkan berkaitan penurunan al-Quran pada malam al-Qadar. Ini merupakan bukti jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam lailatul qadar yang tiada tolok bandingannya.

Sunday 3 June 2018

CAPAI IMPIAN MELALUI MLM

Banyak bidang menjanjikan kekayaan tanpa perlu kelulusan tinggi. Apa yang penting ialah keinginan dan daya usaha tanpa mengenal kalah. Tiada jalan mudah untuk berjaya. Antara bidang menjanjikan kekayaan ialah pemasaran berbilang tingkat (MLM).

Pepatah Melayu ada menyebut, ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.’ Sememangnya ini menjadi azimat ramai orang untuk mengejar kejayaan. Hakikatnya, kejayaan tidak datang bergolek. Ia akan datang dengan usaha keras dan komitmen yang tinggi. 

Malah, sekarang ini juga semakin jelas, dalam apa jua bidang, pendidikan sahaja tidak mampu menjamin kejayaan seseorang. malah ada sesetengah mereka yang berjaya dalam hidup tidak pandai membaca.

Banyak individu hanya berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi mampu bergelar jutawan selepas terlibat dalam MLM. Pada permulaan menyertai MLM sekadar menerima ajakan kawan, dan tidak bermimpi untuk bergelar jutawan dan mampu memiliki kereta mewah.

Namun peringatan kepada yang ingin menyertai MLM agar tidak terperangkap dengan apa yang sebenarnya ada skim cepat kaya. Banyak aktiviti cepat kaya berselindung kononnya MLM. Disebabkan kejadian itu, banyak orang kecewa dan tidak mahu lagi menyertai mana-mana MLM pada masa akan datang.

Ada juga MLM yang benar dan mempunyai sistem yang betul. Namun, ada pemimpin atau upline yang bertidak secara tidak bertanggungjawab. Mereka 'memaksa' downline agar melabur atau terus membeli barangan dengan jumlah yang banyak semata-mata untuk cepat naik pangkat atau tingkat bonus besar dengan cepat.

Downline dijanjikan dengan macam-macam kejayaan sekiranya membeli produk dengan jumlah tertentu. Kerana tertarik dengan janji, ada yang sanggup membuat pinjaman bank atau koperasi semata-mata untuk memenuhi jumlah yang diperlukan.

Namun, apa yang diharapkan tidak tercapai. Mereka menanggung hutang dan gagal mendapat keuntungan yang diharapkan. Atas alasan inilah banyak yang serik dan tidak mahu menyertai MLM lagi.

Hakikatnya, untuk menyertai MLM hanya perlu modal yang kecil iaitu sekitar bawah RM100 untuk sebarang yuran penyertaan. Ada yang hanya menetapkan RM50 untuk syarat penyertaan dan diberi pula produk yang bernilai sekitar RM30. Dengan kata lain, yuran penyertaan hanya RM20.

Untuk berjaya tidak perlukan modal besar. Yang penting ialah minat dan kesungguhan. Upline akan memberi tunjukajar atau membuat perancangan bagaimana hendak meningkat maju sehingga ke tahap tertinggi.

Menyertai MLM mesti serius dan komited serta bersedia belajar dan bersikap positif untuk mengusahakan perniagaan ini, anda pasti berjaya, tidak kira anda ini berpendidikan tinggi atau rendah.

Dalam MLM, jika anda bersungguh-sungguh dengan kemahuan yang tinggi untuk berjaya, perniagaan ini sesuai untuk anda.