Apabila timbul isu buang sampah di tepi
jalan di kawasan antara Kuala Lipis, Pahang dengan sempadan Kelantan yang
didakwa dillakukan oleh perantau semasa pulang berhari raya, maka ada yang
mengatakan ia bukan dilakukan oleh perantau, sebaliknya oleh pemandu lori.
Memang banyak pihak tidak percaya itu
dilakukan pemandu lori, tetapi ada juga yang mempercayainya. Mereka ingin
meletakkan kesalahan pada pihak lain. Inilah dikatakan lempar batu sembunyi
tangan.
Itu bukan angkara pemandu lori. Pada musim
perayaan, operasi lori dihentikan buat sementara waktu untuk mengelak
kesesakan. Urusan penghantaran dilakukan awal sebelum perayaan atau selepas
perayaan. Kalau ada sebuah dua yang terus beroperasi, itupun ada sebuah dua
sahaja.
Jadi, kalau operasi lori sudah tiada pada
masa perayaan, mana mungkin sampah sarap itu dibuang oleh pemandu lori?
Kepada pencipta kandungan di media sosial
kena berhati-hati dan bijak agar tidak timbul fitnah. Sepatutnya apa yang
dilakukan ialah menasihatkan kepada perantau agar tidak melakukan perbuatan
buruk yang memalukan itu.
Perkara ini sudah banyak tahun berlaku dan
bukan kali pertama ia dipaparkan dan mendapat perhatian di media sosial. Jauhi
sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.
Jadilah individu yang beriman kerana
menjaga kebersihan itu sebahagian daripada iman.
No comments:
Post a Comment