Pokok kercut yang
dikategorikan sebagai rumput mempunyai nilai komersial boleh dijadikan
bahan asas untuk menghasilkan kraf tangan anyaman seperti tikar, bakul, bag,
alas meja, hiasan dinding dan sebagainya.
Pokok kercut adalah sejenis tumbuhan akuatik yang banyak tumbuh di kawasan berpaya dan sawah terbiar. Pokok tersebut dianggap rumpai yang tidak berguna dan mengganggu tumbuhan serta menghalang aliran air.
Malah, pokok yang turut dikenali dengan
nama kumbah, mansiang agam, mansiro hitam, rumput kerecut, rumput kumbar atau purun
turut dikaji untuk dijadikan penyedut minuman bagi menggantikan penyedut
plastik.
Penyedut air batang kercut selamat
digunakan dan mesra alam kerana mengambil masa antara satu hingga dua minggu
untuk terurai secara semula jadi seperti yang berlaku pada tumbuhan rumpai. Pokok
kercut berbentuk bulat dan panjang. Jadi ia memang sesuai dijadikan penyedut
minuman.
Dalam perubatan tradisional, pokok kercut
digunakan bagi mengubati berapa penyakit seperti kencing manis.
Pada masa dahulu, pokok kercut memang
dianggap pokok bermanfaat kerana sering digunakan sebagai bahan asas membuat
tikar. Ia sesuai dengan kegunaan tikar yang menjadi keperluan di setiap rumah
untuk dijadikan tempat duduk, termasuk ketika menjamu selera.
Tikar kercut menjadi pilihan kerana ia
tahan lama dan lebih lembut berbanding tikar mengkuang. Batang kercut yang
diproses secara betul tidak mudah patah dan terputus. Sebab itu, kercut turut
digunakan untuk menghasilkan guni dan bakul.
Tikar anyaman kercut tahan lasak dan tahan
lama. Kena air pun tidak ada masalah, boleh dijemur supaya kering dan boleh
digunakan seperti biasa.
Kercut tumbuh tegak membentuk rumput
padat yang kecil. Ciri batangnya yang tegap, keras dan liat dengan
ketinggian mencapai sehingga melebihi satu meter sesuai untuk dijadikan bahan
anyaman.
Batang kercut yang telah dipotong perlu melalui proses sebelum ia dapat dianyam
menjadi produk pilihan. Proses itu perlu dilakukan bagi memastikan ia sesuai
dianyam dan tahan lama.
Untuk memastikan ketahanan dan tempoh
hayat, batang kercut perlu diawet dengan menggunakan lumpur, kemudian dijemur
sehingga kering. Penggunaan lumpur bertujuan menghilangkan warna asal hijau.
Proses menjemur mengambil masa dua hingga tiga hari mengikut cuaca.
Selanjutnya, batang kercut yang telah
kering itu akan diketuk, ditumbuk atau dipukul sehingga menjadi nipis. Biasanya
kayu tembesu digunakan untuk menumbuk helaian pokok kercut kerana ia lebih
keras dan tahan lama.
Proses akhir sebelum boleh dianyam ialah
mencelup atau proses mewarnakan dilakukan dengan warna pilihan. Sebelum
dianyam, helaian pokok itu sekali lagi ditumbuk supaya lebih nipis bagi
memudahkan proses anyaman selain kukuh. Proses ayaman akan mengambil masa
mengikut kemahiran individu tersendiri.
Seni warisan kraf tangan kercut masih diusahakan
di kalangan penduduk di beberapa buah kampung, termasuk di di Kampung Kubang
Keladi, Jelawat, Bachok, Kelantan. Di Kampung Beting Lintang, Setiu,
Terangganu terdapat bengkel anyaman kercut yang turut mengadakan mengadakan
demostrasi bermula dari memotong pokok sehinggalah mengayam.
Hasil aktiviti di kedua-dua kampung
tersebut meningkatkan populariti anyaman kerecut. Semakin banyak pihak
berkaitan dengan kraf tangan, pelancongan dan penyelidik tertumpu di kampung
berkenaan.
Hasil promosi tersebut, kraf tangan kercu
bukan sahaja semakin dikenali, bahkan permintaan terhadapnya juga meningkat. Ia
secara tidak langsung menghidupkan kembali kemahiran anyaman kercut dan memberi
keuntungan kepada yang terlibat di dalam industri berkenaan.
No comments:
Post a Comment