Friday, 13 May 2022

BERHATI-HATI DALAM PENGAMBILAN MAKANAN

 
Berhati-hati dalam mengambil makanan. Perlulah kita lebih berhati-hati jika sudah mengalami masalah kesihatan. Makanan yang bagus bagi orang sihat, tetapi berbahaya kepada orang menghadapi masalah fungsi organ.   

Anda sendiri yang kenal makanan mana yang memberi kesan buruk kepada kesihatan berdasarkan kepada pengalaman masing-masing. Bersederhana dan berpantang adalah langkah terbaik untuk kesihatan.

Dalam bidang toksikologi, terdapat prinsip asas yang dipanggil ‘jumlah tertentu menyebabkan menjadi racun’.

Manakala dalam bidang farmakologi, sebuah subbidang khas dipanggil farmakokinetik yang mengkaji tentang bagaimana tubuh badan manusia memproses setiap bahan khususnya ubat-ubatan.

Setiap tubuh badan manusia secara individu, mempunyai keupayaan tersendiri memproses setiap bahan yang ada. Sebab itu kesan pengambilan sesuatu ubat dan pemakanan tambahan atau memakan sesuatu jenis makanan memberi kesan berbeza kepada setiap individu.

Hal ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengidap penyakit berbahaya. Contohnya, nasi yang menjadi makanan asasi atau ruji kepada rakyat Malaysia, tidak baik untuk pesakit kencing manis jika dimakan dengan kuantiti yang banyak. 

Begitulah juga dengan jenis-jenis makanan lain. Jadi, jangan mudah terpedaya dengan khasiat makanan tertentu kerana mungkin juga berbahaya kepada individu tertentu.

Cara terbaik untuk mengelak penyakit ialah mencegah dari awal. Amalkan cara hidup sihat dan bersederhana dalam soal makan. Jangan asal ada saja ingin makan. Asal sedap saja terus dibedal.

Nafsu makan memang sukar dikawal jika kita tidak berpegang kepada prinsip diajar Rasulullah iaitu makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Punca kebanyakan penyakit ialah berdasarkan kepada apa yang kita makan. Pencegahan awal ialah mengawal perut agar tidak diisi dengan terlalu banyak makanan. 

Perlu diingat sekarang ini banyak makanan, terutama makanan segera dan makanan ringan yang sebenarnya bersifat 'racun' yang jika diambil secara berterusan dan dalam kuantiti banyak akan membahayakan kesihatan.

Jika sudah dikenalpasti mengidap penyakit, lakukan langkah pengubatan secara yang betul. Dapatkan nasihat dari doktor atau pakar pemakanan untuk pulih atau terhindar daripada menjadi semakin buruk. 

No comments:

Post a Comment