Saturday, 24 October 2026

ARUAN TASIK HIDUP DI LAUT

 
Aruan tasik hidup di laut.

Banyak orang keliru mengatakan aruan tasik hidup di tasik atau air tawar. Sebenarnya, aruan tasik atau haruan tasik (nama saintifiknya Rachycentron canadum) adalah spesies ikan laut atau air masin.

Ikan aruan tasik semakin dikenali di kalangan pemacing rekreasi dan nelayan komersial. Ikan kategori pelagik yang hidup di kawasan pesisir, unjam, karang, pelantar minyak, dan laut terbuka.

Ikan ini terkenal dengan kekuatan larian dan stamina semasa pertarungan, menjadikannya ikan diminati pemancing rekreasi di seluruh dunia.

Namun, di kalangan nelayan, mendapat ikan ini dianggap bonus kerana ukuranya besar yang tentunya memberi pulangan yang lumayan. Bagaimanapun, harga ikan ini tidak dikategorikan sebagai ikan berharga mahal.

Saiz maksimun boleh mencecah dua meter panjang dan berat lebih 60 kilogram.

Bentuk badannya panjang, torpedo, berotot dengan kepala leper. Rupa macam ikan haruan tapi saiznya besar.

Warna bahagian atas coklat gelap atau kelabu, bahagian bawah putih, dengan jalur putih keperakan sepanjang sisi badan.

Isi ikan aruan tasik berwarna putih, pejal, dan manis, menjadikannya pilihan dalam pelbagai masakan. Ada yang suka membakar atau grill dengan perapan kunyit atau rempah.

Buat sup atau asam pedas juga sesuai kerana isi pejalnya tahan dimasak lama. Jadi, ia juga sesuai untuk dibuat kari mahupun digulai.

Aruan tasik adalah sejenis ikan yang hidup berkumpulan. Sebab itulah apabila seekor terkena pan­cing, selalunya akan ada seekor lagi mengekori di belakangnya.

Ada pemancing yang pandai mengambil kesempatan ketika berlawan dengan aruan tasik tidak terus manaikkan ke dalam bot kerana mengharapkan boleh mencangkuk (gaff) ‘kawan’ ikan tadi.

 

No comments:

Post a Comment