Saturday 13 June 2020

POKOK LIDAH JIN ADA RACUN

Pusat Racun Negara (PRN) menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan pokok lidah jin kerana ia mengandungi racun yang berbahaya untuk kanak-kanak dan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

Diketahui bahawa tumbuhan ini mempunyai bahan aktif Saponin. Jika termakan dalam kuantiti yang banyak berkemungkinan boleh menyebabkan gejala-gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam.

Namun, ia mungkin menyebabkan gejala yang lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Antaranya pengeluaran air liur yang berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

Oleh itu, dalam keghairahan menanam pokok tular ini di rumah anda, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil yang mungkin bermain atau mematahkan pokok ini. 

Mereka mungkin terdedah pada bahan aktif saponin yang berisiko menyebabkan keracunan.

Pokok lidah jin atau nama saintifiknya "Sansevieria trifasciata"  merupakan  pokok hiasan yang telah lama ditanam di halaman rumah di negara kita. Kalau tak percaya, cuba tanya mak atau nenek ketika balik kampung nanti.

Pokok lidah jin mudah ditanam dan mudah membiak. Tidak perlu kerap disiram dan boleh hidup subur biarpun kurang mendapat pancaran sinar matahari. Sesuai ditanam di dalam pasu mahupun di atas tanah.

Selain nama pokok lidah jin, ia juga dikenali dengan nama lidah mak tertua. Tidak pasti apa kaitan lidah jin dengan lidah mak mertua!

Pokok lidah jin mendapat perhatian apabila tular dalam media sosial kerana diiktiraf oleh agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) sebagai tumbuh-tumbuhan yang berupaya  menghilangkan toksin dan menapis udara di dalam rumah. 

Sejak itu, pokok ini diburu sehingga menyebabkan harganya naik berlipat ganda. Pokok yang diletakkan di luar rumah menjadi sasaran pencuri atau peminatnya yang tidak mampu membelinya kerana harga sehingga mencecah lebih RM100 satu pasu yang hanya mengandungi beberapa pokok.

Walau bagaimanapun, Public Health Malaysia (PHM) menyanggah kenyataan mengatakan pokok lidah jin mampu menghilangkan toksin dan menapis udara di dalam rumah seperti yang tular dalam media sosial.

Sebenarnya, penemuan kajian oleh NASA hanya untuk ruang tertutup di dalam kebuk udara makmal. 

Sebaliknya, dalam ruang pejabat atau bilik bersaiz 3.1m x 3.1m x 2.4m, anda memerlukan 1,000 jenis tumbuhan untuk bertindak untuk menapis udara secara berkesan!

Ini bermakna jika sekadar ada dua tiga pasu pokok lidah jin dalam bilik, anggap sahaja ia tidak memberi apa-apa kesan untuk menapis udara dan toksin.

Namun, walaupun tumbuhan dalam rumah tidak berkesan sebagai penapis udara, niat untuk menanamnya tidak seharusnya terbantut. Pokok hiasan dan persekitaran yang baik terbukti dapat meningkatkan mood yang positif dalam aktiviti seharian.

Jadi, jika hendak memiliki atau menanam pokok lidah jin sekarang ini sukar mendapatkannya, pilihlah pokok lain yang tidak kurang juga cantiknya.

No comments:

Post a Comment