Timbul di laman sosial status
atau posting bertujuan menghina atau mengaibkan seeorang. Kesannya amat besar
kerana media sosial dicapai tau dilihat oleh orang lain. Dalam tempoh masa
singkat sahaja ia menjadi tular apabila turut dikongsi oleh orang lain.
Menghina termasuk perbuatan
melampaui batas. Mereka berasa megah dan kuat menindas orang lain, sedangkan
apa dilakukan itu bakal menerima pembalasan di akhirat.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim
kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran).
Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)
Iyad bin Himar berkata,
Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh
saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada
orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang
bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)
Ada kala tanpa kita sedar
perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina
disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini
boleh menyebabkan timbul rasa iri hati.
Sebagai hamba beriman, setiap
nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk
bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua
sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang
yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)
Sebaiknya, kita sentiasa
merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana
yang hebat hanya Allah SWT.
Kehidupan hari ini
memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri
serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf
ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa.
Sebenarnya, banyak perkara
dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi
menjaga kemaslahatan manusia.
Hubungan baik sesama manusia
menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada
permusuhan. Sepatutnya kita menambah rakan di laman sosial dan bukannya
mencipta musuh.
Oleh itu, dalam setiap tindakan
dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi
manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan
diri tidak menjadi masalah kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment