Sunday 25 August 2024

KERJASAMA UMNO DENGAN DAP

 
Kerjasama UMNO dengan DAP melalui kerajaan Perpaduan diselar dan dihina oleh golongan musuh politik UMNO. Maka lahirlah gelaran UMDAP yang diratip dan digunakan sepanjang kempen memburukkan UMNO.
 
Kempen memburukkan parti lawan dalam politik memang sudah perkara biasa. Parti yang memburuk-burukkan parti lain sudah pasti ingin mengaut laba agar parti lawan itu dibenci oleh pengundi dan rakyat. Maka, apabila berlaku pilihan raya, tidak kiralah pilihah raya umum (PRU) pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya kecil (PRK), parti yang dibenci itu akan kalah.
 
Namun, tidak selalunya strategi membenci dan memburuk-burukkan itu berjaya. Di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dimenangi Barisan Nasional (BN) biarpun UMNO diserang hebat dengan gelaran UMDAP. Seluruh kampung dan segenap ceruk desa isu UMDAP dilaungkan oleh Pas untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap BN.
 
Pada PRK DUN Nenggiri, BN menang besar biarpun isu UMDAP dijadikan senjata utama oleh Pas. Di setiap pentas ceamah Pas, “penuh mulut” diratip UMDAP. Bekas pemimpin UMNO yang sudah lama berkubur dari dunia politik turut dibangkitkan kembali semata-mata untuk bercerita tentang buruknya DAP.
 
Pas lupa, UMNO dan DAP bukan gabungan parti seperti yang dilakukan Pas dengan DAP dahulu. UMNO dan DAP hanya berkerjasama dalam kerajaan Perpaduan. Saling membantu dalam soal untuk mempertahankan kerajaan Perpaduan.
 
Pas dan DAP pernah melaksanakan kerjasama politik sebelum ini dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).
 
Pas pernah bersama DAP dalam tiga siri PRU 1999, 2008 dan 2013 telah membuahkan hasil apabila Pas beroleh kemenangan tertinggi.
 
Pada 2008, Pas bergabung dengan DAP dan PKR bagi membentuk kerajaan negeri Perak. Walaupun terdapat usaha untuk membentuk kerajaan dengan kerjasama antara UMNO dan Pas, Pas memilih untuk bergabung dengan DAP dan PKR.
 
Ketika itu Pas menyatakan bahawa bersama DAP itu adalah anugerah Allah kepada mereka. Tetapi apabila UMNO bersama DAP mereka tuduh kafir.
 
Masalah sekarang apa hukum kerjasama Pas dengan parti Gerakan sedangkan Gerakan juga adalah parti kaum Cina dan sejarah Gerakan adalah pencetus Perisiwa 13 Mei 1969 dan parti yang terlibat menyaman hudud Kelantan?
 
DAP yang dahulu dan sekarang tidak berubah. Kalau ada pun perubahan hanya pemimpin tertingginya, yang pastinya sedikit sebanyak ada perbezaan gaya kepimpinan. Sedangkan dasar parti DAP masih sama.
 
Jadi, kalau dahulu Pas boleh bergabung dengan DAP, mengapa sekarang dihina dan dikeji kerjasama UMNO dengan DAP. Janganlah mengharamkan sesuatu yang pernah Pas halalkan dahulu.
 
DAP hari ini juga berjanji untuk menghormati perlembagaan negara seperti mana DAP pernah berjanji ketika bersama Pas.
 
Zahid Hamidi (Presiden UMNO), Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Dr Zambry (Setiausaha Agung Barisan Nasional) antara tujuh individu yang bertemu pemimpin DAP sebelum kerajaan Perpaduan dibentuk.
 
DAP berjanji bahawa pimpinan baharu DAP akan patuh dan setuju dengan segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk empat perkara yang mereka akur dan janji ketika Pas bersama DAP.
 
Dan, Annuar Musa pernah keluarkan kenyataan beberapa bulan selepas BN kalah PRU14, bahawa UMNO boleh bekerjasama dengan mana mana parti walaupun DAP asalkan DAP berjanji hormat dan patuh kepada empat perkara yang terdapat dalam perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment