Kerjasama UMNO dengan DAP melalui kerajaan
Perpaduan diselar dan dihina oleh golongan musuh politik UMNO. Maka lahirlah
gelaran UMDAP yang diratip dan digunakan sepanjang kempen memburukkan UMNO.
Kempen memburukkan parti lawan dalam
politik memang sudah perkara biasa. Parti yang memburuk-burukkan parti lain
sudah pasti ingin mengaut laba agar parti lawan itu dibenci oleh pengundi dan
rakyat. Maka, apabila berlaku pilihan raya, tidak kiralah pilihah raya umum
(PRU) pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya kecil (PRK), parti yang
dibenci itu akan kalah.
Namun, tidak selalunya strategi membenci
dan memburuk-burukkan itu berjaya. Di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri
dimenangi Barisan Nasional (BN) biarpun UMNO diserang hebat dengan gelaran
UMDAP. Seluruh kampung dan segenap ceruk desa isu UMDAP dilaungkan oleh Pas
untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap BN.
Pada PRK DUN Nenggiri, BN menang besar
biarpun isu UMDAP dijadikan senjata utama oleh Pas. Di setiap pentas ceamah Pas,
“penuh mulut” diratip UMDAP. Bekas pemimpin UMNO yang sudah lama berkubur dari
dunia politik turut dibangkitkan kembali semata-mata untuk bercerita tentang buruknya
DAP.
Pas lupa, UMNO dan DAP bukan gabungan parti
seperti yang dilakukan Pas dengan DAP dahulu. UMNO dan DAP hanya berkerjasama
dalam kerajaan Perpaduan. Saling membantu dalam soal untuk mempertahankan
kerajaan Perpaduan.
Pas dan DAP pernah melaksanakan kerjasama
politik sebelum ini dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).
Pas pernah bersama DAP dalam tiga siri PRU
1999, 2008 dan 2013 telah membuahkan hasil apabila Pas beroleh kemenangan
tertinggi.
Pada 2008, Pas bergabung dengan DAP dan PKR
bagi membentuk kerajaan negeri Perak. Walaupun terdapat usaha untuk membentuk
kerajaan dengan kerjasama antara UMNO dan Pas, Pas memilih untuk bergabung
dengan DAP dan PKR.
Ketika itu Pas menyatakan bahawa bersama
DAP itu adalah anugerah Allah kepada mereka. Tetapi apabila UMNO bersama DAP
mereka tuduh kafir.
Masalah sekarang apa hukum kerjasama Pas
dengan parti Gerakan sedangkan Gerakan juga adalah parti kaum Cina dan sejarah
Gerakan adalah pencetus Perisiwa 13 Mei 1969 dan parti yang terlibat menyaman
hudud Kelantan?
DAP yang dahulu dan sekarang tidak berubah.
Kalau ada pun perubahan hanya pemimpin tertingginya, yang pastinya sedikit
sebanyak ada perbezaan gaya kepimpinan. Sedangkan dasar parti DAP masih sama.
Jadi, kalau dahulu Pas boleh bergabung dengan
DAP, mengapa sekarang dihina dan dikeji kerjasama UMNO dengan DAP. Janganlah
mengharamkan sesuatu yang pernah Pas halalkan dahulu.
DAP hari ini juga berjanji untuk
menghormati perlembagaan negara seperti mana DAP pernah berjanji ketika bersama
Pas.
Zahid Hamidi (Presiden UMNO), Tok Mat
(Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Dr Zambry (Setiausaha
Agung Barisan Nasional) antara tujuh individu yang bertemu pemimpin DAP sebelum
kerajaan Perpaduan dibentuk.
DAP berjanji bahawa pimpinan baharu DAP
akan patuh dan setuju dengan segala yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan, termasuk empat perkara yang mereka akur dan janji ketika Pas
bersama DAP.
Dan, Annuar Musa pernah keluarkan kenyataan
beberapa bulan selepas BN kalah PRU14, bahawa UMNO boleh bekerjasama dengan
mana mana parti walaupun DAP asalkan DAP berjanji hormat dan patuh kepada empat
perkara yang terdapat dalam perlembagaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment