Thursday, 14 April 2022

WAKAF AMALAN PARA SAHABAT NABI

 
Wakaf menjadi amalan di kalangan sahabat Rasulullah SAW. Jabir pernah berkata: “Tidak ada seorang pun di kalangan sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan hartanya.”

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, wakaf bermaksud sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma), sesuatu yang diberikan atau diuntukkan bagi keperluan dan sebagainya yang berkaitan dagan agama Islam. 

Harta atau sesuatu yang diwakafkan dapat memberi kebaikan kepada sekelompok orang atau orang ramai yang mana dapat digunakan secara berpanjangan untuk tempoh tertentu atau sehingga ia tidak lagi dapat digunakan. 

Perbuatan sahabat ini menunjukkan kepada kita bagaimana mereka sangat mengerti dalam mengamalkan ajaran Islam yang berkaitan dengan harta di mana ia adalah titipan Allah yang mesti dipelihara dengan sebaik-baiknya.  

Menyedari bahawa faedah yang lahir daripada harta itu akan merangkumi semua pihak dalam masyarakat, dan harta itu pula dapat memenuhi keperluan masyarakat seperti yang kami sebutkan, maka Allah SWT menyandarkan harta itu supaya diambil perhatian mengenai betapa pentingnya harta itu dan kadangkala kepada diri-Nya sendiri.  

Allah SWT juga menjadikan pemilik harta itu sebagai wakil Allah SWT untuk menjaga dan membelanjakannya mengikut cara yang digariskan Allah SWT untuk mereka.

Firman Allah SWT bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikan-Nya yang mana kamu menguasainya sebagai wakil..” (Surah al-Hadid, ayat 7)  

Kadangkala Allah SWT menyandarkan perkataan harta itu kepada masyarakat, dan dengan sandaran itu Allah menjadikan harta sebagai milik masyarakat.

Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu maka (atau mengambil) harta (orang lain dalam masyarakat) di antara sesama kamu dengan cara yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 188)  

Apabila harta itu adalah harta Allah dan seluruh umat manusia itu adalah hamba Allah, maka kehidupan yang menjadi arena pekerjaan umat manusia itu bekerja dengan menggunakan harta Allah ialah juga kerana (mencari keredaan) Allah.

Maka dengan sendirinya harta itu walaupun dikaitkan dengan nama individu tertentu tetapi untuk seluruh hamba Allah yang sama-sama dijaga dan dipelihara serta diambil manfaatnya oleh semua orang.

Allah SWT memberikan panduan mengenai masalah ini melalui firman-Nya bermaksud: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.” (Surah al-Baqarah: 29) 

Islam membawa suatu sistem sendiri, yang bukan bercorak terlalu individualistik dan bukan juga kolektif mengikut kedua-dua makna yang terdahulu (iaitu sistem kapitalis dan sistem komunis) juga bukan berdekatan di antara salah satunya dan tidak juga pertengahan di antara kedua-dua sistem itu.

Malah, ia mempunyai pemikiran sosial yang khusus, yang berasas kepada prinsip bahawa semua hak milik itu adalah kepunyaan Allah. Semua hak itu ditetap dan diatur oleh Allah, dan Allah memberikan kepada setiap individu itu hak mereka masing-masing dan juga kepada masyarakat itu haknya sendiri. Allah juga menentukan bahawa individu untuk masyarakat dan masyarakat itu untuk individu.”

Hal ini digambarkan dengan jelas dan terang sekali dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perbandingan dan perumpamaan orang beriman itu dari segi sikap kasih sayang dan hubungan silaturahim mereka adalah bagai sebuah tubuh manusia, apabila sesuatu anggota itu berasa sakit, maka seluruh tubuh itu akan ikut juga menderita demam dan tak dapat tidur.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selama semua hak itu adalah daripada dan kepunyaan Allah, maka hak itu sentiasa mendidik setiap individu supaya berkhidmat untuk masyarakat, dan Islam mengamalkan dasar memberi hak khusus (untuk individu) sambil memelihara hak umum (masyarakat).

Dengan itu, Islam memberikan hak milik khusus, tetapi dibatasinya dengan hak itu dan menetapkan garis sempadannya yang tidak boleh diingkari.” 

No comments:

Post a Comment