Bertaubat menyesali perbuatan mungkar. Sesiapa
melakukan dosa, maka perlulah dia bertaubat. Bertaubat bermaksud menyesali
perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Taubat yang
sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak pernah melakukan dosa
yang berkenaan.
Namun, ini tidak bermakna manusia boleh melakukan dosa dan kemudian bertaubat
secara suka-suka. Taubat yang tidak ikhlas atau hanya di mulut saja tidak
akan diterima.
Allah
SWT sentiasa mengingatkan kepada manusia agar memohon taubat kepada-Nya. Sesiapa
pernah melakukan dosa tidak sepatutnya berputus asa untuk mendapat keampunan
daripada Allah SWT.
Firman-Nya
yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang
melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah
jua yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53).
Melakukan
perbuatan dosa merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri di dunia dan di
akhirat. Kezaliman itu menjadi semakin berat dan berambah jika tidak mahu
bertaubat dengan segera untuk membersihkan diri.
Taubat
boleh dilakukan sepanjang masa tanpa perlu menunggu usia tua atau pada hari
tertentu sahaja. Sebaik-baik taubat ialah yang dilakukan sebaik selepas
menyedari telah melakukan dosa. Tindakan itu dapat mengelak diri terbiasa
melakukan dosa dan seronok mengulanginya hingga tidak mahu bertaubat.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan
jiwanya itu dan rugilah orang yang mengotorinya (dengan kekotoran maksiat).”
(Surah as-Syams, ayat 9 - 10).
Taubat
melahirkan jiwa tenang, bersih dan tidak gusar. Apabila bertaubat dengan
sebenar-benarnya, Allah SWT mengurniakan ketenangan yang abadi dan menjadikan
kita benar-benar beriman. Taubat memperkuatkan takwa dan benci terhadap
perbuatan dosa.
Sebenarnya
amat penting kita melakukan taubat sebaik menyedari melakukan dosa. Cara
itu dapat menyucikan titik hitam yang terbentuk di dalam hati setiap kali
melakukan dosa. Jika tidak dibersihkan segera, titik hitam itu lama
kelamaan menjadi satu tompok hitam yang sukar untuk disuci lagi.
Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya: “Seorang mukmin jika berbuat satu dosa, maka
ternodalah hatinya dengan satu noktah berwarna hitam. Jika dia bertaubat,
meningggalka dan beristighfar, hantinya akan kembali jernih. Jika dosanya itu
bertambah-tambah, noktah hitam itupun turut bertambah hingga menutupi
hatinya. Maka itulah karat yang disebut Allah dalam al-Quran.” (Hadis
riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi).
Semakin
banyak tompokan hitam telah menutupi hati bermakna telah banyaklah perbuatan
ingkar dilakukan.
Manusia yang telah tertutup hatinya sukar menerima kebenaran yang dijelaskan
kepada mereka. Sebaliknya mereka menyalah pihak lain mengapa perkara itu
terjadi.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sekali-kali tidak demikian (ayat-ayat Kami tidak ada
cacatnya), bahkan mata hati mereka diselaputi kekotoran (dosa) dengan sebab
perbuatan (mungkar dan maksiat) yang mereka kerjakan.” (Surah al-Mutaffifin,
ayat 14).
Gambar sekadar hiasan

No comments:
Post a Comment