Masyarakat yang dipenuhi budaya
fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah
dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat
perbuatan tersebut boleh tercetusnya persengketaan antara pihak yang dilibatkan
dalam fitnah itu.
Berita fitnah mendatangkan kesan amat
buruk terutama dalam soal penting dan sensitif melibatkan individu
berkedudukan, keselamatan negara dan soal agama. Di negara kita yang mempunyai
penduduk pelbagai bangsa dan agama anutan, isu-isu berkaitan bangsa dan agama
amat sensitif.
Justeru itu, masyarakat perlu
dididik agar memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap dengan
berita berunsur fitnah. Setiap berita yang diterima perlu diperhalusi agar
tidak terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah.
Sebarang berita yang diterima perlu
dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting
digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Banyak pihak yang turut terlibat
menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Tetapi,
disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang yang
turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan
memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut
dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang
diburuk-burukkan itu.
Mungkin ramai menyangka perbuatan
menyebarkan berita fitnah sekadar suka-suka dan untuk menunjukkan tanda
prihatin terhadap sesuatu perkara.
Penyebar khabar angin biasanya
menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun,
apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat bahawa berita itu
belum sahih telah hilang dan kemudian disebarkan seperti satu berita benar.
Malah, ada yang menyebarkan berita
fitnah dalam bentuk pertanyaan. Kononnya, berita itu disebarkan untuk mendapat
kepastian daripada pihak lain. Sedangkan hakikat sebenarnya, pertanyaan itu
bukan ditujukan kepada pihak yang boleh memberi jawapan.
Soalan itu sebenarnya berbentuk
provokasi bertujuan menimbulkan unsur keresahan dan inginkan kepastian daripada
pihak lain pula. Lantas, berita itu disebarkan kepada orang lain pula agar
mendapat jawapan mengenainya.
Kita mempunyai pihak berkuasa
berkaitan sesuatu bidang untuk mengendalikannya. Pihak berkenaan mempunyai kepakaran dan
maklumat yang lengkap untuk dijadikan tanda rujuk yang tepat.
Perkara pertama perlu diberi
perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan daripada mana
sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian
orang yang membawa berita tersebut.
Jangan terlalu mudah melatah dan
merasa seperti satu tanggungjawab untuk menyebarkan berita yang belum pasti
kebenarannya. Banyak orang mudah terpengaruh mempercayai berita yang dikaitkan
dengan kepentingan agama.
Banyak yang berpendapat tindakan
menyebarkan berita sedemikian sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad
untuk agama. Tindakan itu dianggap satu pahala dan kebajikan untuk kepentingan
semua. Kita tidak sepatutnya terperangkap dengan agenda buruk yang dirancang
oleh pihak tidak bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment