Monday 23 December 2019

Kedai nasi lemak kopi o Kubang Kerian


Menu nasi yang terkenal di Kelantan sekarang ni nasi berlakuk Nasi Air Dingin. Di mana-mana pun boleh dibeli Nasi Air Dingin yang dijual siap bungkus di restoran, kopitiam bahkan di tepi-tepi jalan.

Tidak semua orang suka makan nasi berlauk. Atau sekali sekala hendak cari menu lain pula. Satu menu yang terkenal dan sesuai dengan selera rakyat Malaysia ialah nasi lemak.

Di mana nasi lemak sedap di Kota Bharu, khususnya di Kubang Krian? Anda boleh mencubanya di di Nasi Lemak Kopi O yang terletak di Kubang Kerian.

Terletak di Jalan Raja Perempuan Zainab 2 atau dikenali juga Jalan HUSM. Lokasinya tidak jauh dari HUSM Kubang Kerian dan pusat perniagaan di Bandar Baharu Kubang Kerian. Kedudukannya betul-betul di jalan utama.

Suasana kedai cukup selesa untuk bersama kawan-kawan dan keluarga. Meja dan kerusi kayu ala-ala warung. Memang menarik.

Kepada yang ingin menikmati nasi lemak sedap, bolehlah datang ke Nasi Lemak Kopi O. 

Wednesday 18 December 2019

Budak jadi jutawan hasil pendapatan Youtube

NEW YORK: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Ryan Kaji, memperoleh pendapatan mencecah AS$26 juta (RM107.6 juta) tahun ini, menjadikannya ‘creator’ di laman perkongsian video YouTube dengan bayaran tertinggi, kata majalah Forbes.

Kaji atau nama sebenarnya Ryan Guan turut mencatat pendapatan tertinggi di platform itu tahun lalu mencecah AS$22 juta (RM91 juta).

Saluran ‘Ryan’s World’ yang dilancarkan ibu bapa Ryan pada 2015 ketika berusia tiga tahun kini mempunyai 22.9 juta pelanggan.

Dikenali pada awalnya sebagai ‘Ryan ToysReview’, saluran itu memaparkan aksi kanak-kanak itu membuka kotak mainan dan bermain dengannya.

Monday 16 December 2019

MAKSUD PERIBAHASA "KALAU KUBUKA TEMPAYAN BUDU"

Ada peribahasa - kalau kubuka tempayan budu bermaksud kalau kubuka rahsiamu tentu akan malu.

Pada masa dahulu, untuk membuat budu, ikan akan diperam di dalam tempayan atau guri selama beberapa bulan. Muka atau mulut tempayan akan tutup menggunakan kain atau plastik dan diletakkan kayu untuk mengelak dimasuki lalat dan serangga lain.

Proses peram itu akan menghancurkan ikan yang diperam sehingga menjadi budu berbentuk cecair.

Sepanjang proses itu akan terbentuk wap yang agak berbau. Kalau dibuka penutupnya, maka bertambah-tambahlah baunya tersebar di kawasan berhampiran. Orang berdekatan akan mengetahui bahawa mulut tempayan telah dibuka.

Berdasarkan kepada situasi, maka ada peribahasa yang dicipta berkaitan dengan tempayan budu.

Kalau kubuka tempayan budu bermaksud kalau kubuka rahsiamu tentu akan malu. Rahsia itu mudah dikesan oleh orang lain sepertimana bau budu yang kuat tersebar.

Friday 6 December 2019

Nampak alim tetapi rodok belakang kawan

Setiap peristiwa adalah sejarah dan pengajaran. Maka, kita perlu melihatnya dari mata hati dan bukan luaran semata-mata. Jangan duduk sibuk ayam menang, sedangkan kampung tergadai.

Catatan seorang pemikir media di FB, Azran Fitri Rahim wajar direnungkan. Baca dan renungkan catatan beliau sebagai pengajaran:

Pemain media sosial pembangkang begitu teruja dengan pergaduhan yang berlaku ketika kongres AMK.

Sebenarnya tidak ada yang pelik atau luar biasa dengan kejadian itu.

‘Keganasan’ adalah lumrah bagi parti yang berusia 20 tanun ini. Mereka masih muda. Darah mudah panas. Itulah sifat pemuda.

Dan kalau dilihat dari sejarah. Parti ini lahir dari atas jalan raya. Jalan Tunku Abdul Rahman, Sogo dan PWTC habis ‘jahanam’ pada tahun 1998. Disambung pula dengan Bersih. Kereta polis dan polis kena ‘sauk’.

Jadi tidak ada salah kalau anak-anak muda mereka bergaduh berdarah-darah. Mereka hanya mewarisi DNA nenek moyang mereka. ‘Only the strong will survive’.

Makanya, janganlah buat-buat terkejut kalau seorang berdarah kepala. Tumbuk menumbuk. Itu memang sifat semula jadi mereka.

Satu perkara yang dapat belajar daripada parti ini, walau bergaduh sesama sendiri tetapi bila berhadapan dengan musuh mereka bersatu hati, cuma sehari dua ini sahaja seperti mahu terpecah dua. Dulu-dulu mereka kekal istiqomah.

Tidak seperti sebuah parti ‘keramat’. Bila bermesyuarat atau berhimpun punyalah tertib tetapi pusing belakang saja, terus pegang pisau masing-masing rodok belakang kawan.

Kalau kalah rebut jawatan parti lagilah teruk. Terus bawa ke pilihan raya, berkempen untuk lawan demi pastikan kawan jahanam. Padan muka kau!. Akhirnya, 9 Mei 2018, padan muka semua.
Justeru, apalah sangat dengan seorang yang berdarah di kepala.

Catatan FB
Azran Fitri Rahim

Wednesday 27 November 2019

MENGAPA BANYAK UBI TIMBUL MUSIM HUJAN

Pada musim hujan banyak jenis ubi dijual di tepi jalan, selain di pasar. Antara jenis ubi dijual pada musim tengkujuh ialah ubi kayu, ubi keledek, ubi itik, ubi badak dan ubi takrok.

Mengapa jenis ubi tersebut 'timbul' pada musim hujan? Sebenarnya ia berkaitan dengan tempoh matang dan keadaan yang memaksa ubi-ubi tersebut dicabut atau dituai.

Tempoh matang ubi-ubi berkenaan adalah antara 6 hingga 10 bulan. Ia biasanya ditanam selepas musim banjir. Kalau di Kelantan biasanya antara bulan Mac hingga April.

Maknanya, jenis ubi berkenaan sudah matang sekitar bulan November atau Disember. Jadi, sudah boleh dicabut atau dituai pada bulan-bulan berkenaan.

Namun, satu lagi faktor mengapa ubi kayu, ubi keledek, ubi itik, ubi badak dan ubi takrok perlu dituai pada bulan-bulan berkenaan adalah untuk mengelak daripada menjadi rosak.

Sebenarnya jenis ubi berkenaan 'manja' dengan air. Jika kawasan tanaman ubi berkenaan digenangi air dua atau tiga hari secara berterusan, isinya boleh menjadi rosak atau busuk.

Keadaan ini dalam dialek Kelantan dipanggil 'carak'.

Untuk mengelak ubi rosak dan menanggung kerugian, maka ubi berkenaan terpaksa dicabut walaupun setengahnya belum matang sepenuhnya. Ubinya masih kecil dan muda.

Friday 22 November 2019

ETOK DIGEMARI PENDUDUK KELANTAN

Etok atau etak begitu sinonim dengan masyarakat Kelantan. Etak dijadikan kudapan mahupun 'lauk' penambah selera kerana rasanya yang lemak manis.

Biasanya etok disalai atau dijemur sebelum belum dimakan. Selain itu etok dimasuk sebagai sayur lemak atau dicampur dengan sayur untuk digoreng.

Etok salai tradisional biasanya digaul atau bersalutkan rempah sebelum disalai atau dijemur. Namun, kini makanan eksotik itu mengalami evolusi dengan pelbagai perasa seperti BBQ, tomyam, paprika dan ‘cheese’ (keju).

Menurut Kamus Dewan, perkataan etok diambil dari dialek Kelantan yang diganti dengan perkataan "etak" yang merujuk kepada kerang sungai.

Manakala Kamus Dewan Edisi Keempat, merujuk etok sebagai sejenis kerang sungai, gayam, Asaphis spp.

Etok umumnya boleh dijumpai di kawasan sungai air tawar yakni pada dasar sungai atau terusan. Ia boleh juga dilihat hidup dikawasan hampir ke muara sungai yakni berdekatan dengan delta atau laut.

Etok merupakan haiwan sungai yang dilihat suka pada kawasan yang tenang aliran airnya dan berlumpur.

Kulit kerang etok biasanya terdapat dalam dua warna, iaitu coklat kehitaman dan warna kuning cerah.

Etok bercengkerang warna coklat kehitaman sering dijumpai dikawasan sungai air tawar yang berlumpur, manakala berwarna kuning cerah pula di kawasan berpasir.

Etok boleh ditangkap atau kutip menggunakan tangan di sungai yang cetek. Di tempat air yang dalam, etok ditangkap dengan menggunakan pengaut atau jaring yang diperbuat daripada kerawat besi.

Sunday 17 November 2019

KHASIAT UBI JAGA TAMBAH KEINGINAN SEKSUAL


Ubi jaga herba tradisional kaya khasiat dan banyak kebaikan. Ubi jaga tumbuh liar di hutan Malaysia mempunyai batang mudah lentur. Daun ubi jaga berwarna hijau gelap dipermukaan dan hijau muda di bawah daun. 

Ubi jaga tidak memerlukan cahaya matahari yang terik untuk tumbesaran. Dalam keadaan semulajadi, ubi jaga tubuh di kawasan hutan yang redup.

Sebab itu, jika menanam ubi jaga perlu diletakkan di bawah teduhan. Ubi jaga memerlukan tanah yang lembab, kaya dengan humus dan bersaliran baik.

Ubi jaga digunakan secara tradisional sebagai ubat herba untuk menguatkan tenaga lelaki. Ia juga dijadikan tonik umum untuk meningkatkan metabolisme badan dan kekuatan fizikal

Ubi jaga akan membantu meningkatkan keinginan seksual, meningkatkan sensitiviti, menguatkan ereksi dan membolehkan lelaki semua peringkat umur untuk menikmati seks lebih kerap dan lebih tahan lama.

Untuk tujuan ini bahagian akar ubi jaga merupakan paling mujarab untuk digunakan.

Manfaat ini juga termasuk kesan penstabilan mood, promosi tahap tekanan darah yang sihat dan peningkatan tahap tenaga. Ini pasti akan menyumbang untuk prestasi yang hebat di ranjang.

Sains perubatan kini mula menyedari khasiat dan kebaikan herba ini. Usaha untuk menanam ubi jaga secara komersilkan ubi jaga giat diusahakan.  

Friday 8 November 2019

INDIVIDU BERSIFAT DENGKI SENTIASA MENDERITA


Orang yang bersifat hasad (dengki) tidak akan terlepas dari perbuatan memburuk-burukkan orang lain, berdusta, mencaci dan mengumpat. Orang bersifat dengki terhalang dari mendapat syafaat.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidaklah termasuk golonganku, si pendengki, orang yang mengadu domba, orang yang mengamalkan ilmu tenung, dan sayapun tidak dari golongan mereka." (Hadis riwayat Thabrani)

Pendengki sanggup berbuat sesuatu yang akan membahayakan orang lain. Allah SWT menyarankan agar memohon kepadaNya perlindungan dari kejahatan Syaitan dan kejahatan pendengki.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan dari kejahatan si pendengki apabila dia mendengki" (Surah Al Falaq, ayat 5)

Sesiapa mempunyai sikap dengki bermakna hati telah menjadi buta. Seorang yang hasad dengki seakan tidak dapat memahami hukum Allah lagi asalkan dia dapat melaksanakan kedengkiannya seperti tindakan Qabil membunuh Habil.

Berkata Sufyan: "Janganlah engkau menjadi orang yang pendengki serta cepat mengambil kesimpulan."

Tanda adanya hasad dengki dalam diri kita ialah apabila orang lain dapat kejayaan kita sakit hati dan orang lain dapat bencana kita senang hati. Jiwa sentiasa rasa menderita dan terseksa.

Bila wujud hasad dengki dalam diri, akan berlakulah hina menghina, fitnah memfitnah, benci membenci, dendam-mendendam, jahat sangka dan mengadu domba yang semuanya akan mendatangkan dosa-dosa dan menghapuskan kebaikan lainnya.

Mungkin ada sedikit kebaikan yang pernah kita buat, semuanya akan terhapus dengan cepat umpama api membakar kayu api atau rumput.

Seseorang yang melayan hasad dengkinya adalah penjahat dan perosak serta pemecah-belah persaudaraan antara manusia. Juga dia seorang yang paling biadab dengan Allah SWT.

Sama ada dia sedar atau tidak, dia benci kepada Allah, serta tidak syukur dan redha dengan pemberian Allah.

Dalam sejarah umat Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya.

Mereka menaruh hasad dengki kepada beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti pengajiannya.

Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara. 

Tetapi dengan izin Allah, Allah SWT membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata dan beliau dibebaskan.

Walau setinggi mana ilmunya, sebanyak mana sekalipun solatnya, puasanya, hajinya dan hebat perjuangannya tetapi di sisi Allah tetaplah dia ahli Neraka, kerana hakikat orang yang berhasad dengki itu orang yang biadap dengan Allah.

Kalau betul kita beriman kepada Allah dan takutkan Neraka, insaflah akan kejahatan hati-hati kita itu dan marilah kita membaikinya dengan melakukan mujahadatunnafsi. Lawanlah sungguh-sungguh sifat mazmumah itu.

Sunday 3 November 2019

TUNAI JANJI ELAK SIKAP MUNAFIK


Sesungguhnya, apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. 

Tanggungjawab adalah amanah. Sesiapa tidak melaksanakan amanah dipanggil pecah amanah. Individu yang mementingkan harga diri sudah tentu tidak mahu dirinya dikenali sebagai tidak amanah. 

Orang yang tidak amanah tidak akan dipercayai untuk diserahkan tugas yang penting. Hal ini sudah tentu merugikan diri sendiri. Sekali identiti tidak amanah terlekat pada diri, sukarlah untuk dibuang daripada ingatan orang lain.  

Sikap tidak amanah, tidak menepati janji dan bercakap bohong mempunyai kaitan rapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan orang tidak amanah layak dipanggil pencuri, seperti kata pepatah, senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.

Individu suka berjanji dan kemudian tidak menepatinya berpunca kerana ramai individu lain yang sanggup menjadi mangsanya. Dia suka berjanji dusta kerana orang lain mudah mempercayainya.

Sebaliknya, jika semua orang sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati, tidak mudah menerima akuan janji (sebagai pihak kedua), kejadian mungkir janji dapat dikurangkan. 

Orang yang hendak menerima akuan janji daripada seseorang perlulah menyelidiki sama ada orang berjanji itu amanah atau sebaliknya. 

Tidak ada gunanya menerima janji dengan individu telah dikenali tidak beramanah. Kemungkinan janji itu tidak ditepati amat besar. Kita hanya perlu menyerahkan amanah kepada individu yang diketahui keupayaan melaksanakan amanah itu.  

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” (Surah an-Nisa, ayat 58). 

Ikatan janji secara dasarnya lahir daripada sikap saling mempercayai dan menghormati  antara kedua-dua pihak yang mengikat janji. Pihak pertama yang mengucapkan janji mempunyai perasaan menghormati pihak kedua yang secara jujur menerima janji, memberi peluang untuknya melakukan sesuatu pada masa akan datang.  

Manakala pihak kedua pula mempercayai pihak pertama akan melaksanakan janji yang diucapkan.   

Berdasarkan kepada sifat-sifat murni terbentuk dalam ikatan janji, maka perlu dilaksanakan agar tidak timbul perkara di sebaliknya.     

Padah tidak menunaikan janji memang buruk. Kerugian yang ditanggung bukan sahaja di dunia, bahkan lagi di akhirat nanti. Orang yang tidak menunaikan janji termasuk golongan munafik.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang berada di dalamnya, maka dia adalah munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim. (Perkara itu ialah) Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Wednesday 30 October 2019

APAKAH HUKUM PILIH PEMIMPIN BUKAN ISLAM


Hukum mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus selagi tidak mengancam Islam dan penganutnya.

Hasil penelitian terhadap ayat al-Quran dan pandangan pelbagai ulama tersohor, tiada dalil muktamad yang melarang mengundi calon bukan Islam.

Ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh ulama untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

Hukum asal mengundi orang bukan Islam dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas.

Bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan itu tidak terpakai.

Semua faktor itu haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Islam yang berkelayakan sahaja.

Tidak dinafikan majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan bukan muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat.

Al-Qadhi Iyadh dalam kitabnya Syarh Shahih Muslim, Ibnu Munzir (Ahkam Ahl al-Dzimmah) dan Ibnu Hazm (Maratib al-Ijma’) misalnya, sepakat bahawa kepemimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 28.

Al-Jassas sewaktu menafsirkan ayat 28 Surah Ali Imran berpendapat ia menjadi dalil pengharaman meminta bantuan bukan muslim dan mempercayai mereka dan mereka tidak berhak memperoleh kekuasaan (wilayah) ke atas orang muslim.

Ulama seperti Ibnu Hajar al-Haitami, Imam ar-Ramli dan Imam Khatib as-Syarbini pula berpandangan harus melantik bukan muslim untuk suatu jawatan jika adanya maslahah padanya, jawatan itu tidak mampu dipikul mana-mana orang Islam atau orang Islam mempunyai sifat khianat.

Beberapa ulama Kontemporari termasuk Dr Yusuf al-Qaradhawi senada mengenai keharusan melantik bukan muslim sebagai pemimpin.

Dr Yusuf berpandangan bukan Muslim mempunyai hak untuk menjawat jawatan negara kecuali jawatan lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat.

Jawatan lain harus bukan Muslim menjawatnya jika syarat cekap, amanah dan kesetiaan kepada negara dipenuhi. Bahkan beliau turut berpandangan tiada masalah untuk melantik bukan Muslim sebagai timbalan Presiden sesebuah negara, khasnya jika bukan Muslim membentuk jumlah komposisi penduduk yang besar, seperti Sudan.

Justeru, hukum mengundi bukan Muslim dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus berdasarkan faktor wakil rakyat bukan ketua atau imam; wakil rakyat tidak berkuasa menentukan dasar secara sendirian; kontrak sosial muslim dan bukan muslim serta budaya masyarakat Malaysia dalam sebuah negara demokratik.

- Diambil dari pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

- Gambar hiasan. 

Saturday 26 October 2019

APAKAH HUKUM TERNAK HAIWAN LEPAS BEBAS

Hukum memakan harta orang lain tanpa izin adalah dilarang. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud: "Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah."

Bagi haiwan, tidak mampu berfikir seperti manusia dan tidak menghiraukan dari mana sumber makanannya. Tiada hukum halal haram bagi binatang.

Oleh itu tuan punya haiwan yang bertanggungjawab memastikan sumber makanan haiwan tersebut dan tidak dibiarkan bebas makan di kawasan larangan.

Cara haiwan itu makan dan membesar menentukan harus atau tidak daging dimakan atau digunakan hasil jualannya.

Banyak penternak melepaskan haiwan ternakan merayau yang pasti akan makan apa sahaja yang dijumpai. Lembu dan kembing biasanya akan memakan pokok tanaman orang kampung yang pastinya merugikan pemilik pokok itu.

Menternak dengan cara melepaskan haiwan ternakan adalah tidak harus, melainkan kawasan menternak jauh dari kawasan penempatan.

Maka hasil daging dan jualan ternakan itu juga tidak harus digunakan. Jika dimakan atau diambil manfaatnya, maka ia tidak membawa berkat dan menjadi dosa.

Rezeki daripada hasil haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap suapan makanan yang tidak halal diisi ke perut akan memberi kesan kepada nilai dan kualiti hidup seseorang.

Ajaran Islam amat mementingkan agar setiap penganutnya hanya memakan atau menggunakan sumber yang diperoleh secara halal.

Firman Allah bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).

Tuesday 22 October 2019

APAKAH HUKUM BERHIBUR MENDENGAR MUZIK


Secara umumnya, terdapat 3 golongan masyarakat yang berbeza pendapat tentang keharusan lagu dan muzik. Pertama adalah mereka yang membuka pintu yang luas untuk semua jenis hiburan dan lagu dan menganggap lagu dan muzik merupakan suatu bentuk keindahan dalam hidup yang dibenarkan oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya.

Kedua, golongan yang mutasyaddid, menutup terus ruang-ruang untuk berhibur terutama apabila hiburan tersebut disampaikan oleh golongan wanita. Mereka mendakwa suara wanita adalah aurat, apatah lagi dengan nyanyian-nyanyian itu sendiri. 

Ketiga, golongan yang duduk antara dua golongan yang sebelumnya, masyarakat yang menanti jawapan daripada golongan fuqaha dan ulama berkaitan perkara yang berhubung dengan kehidupan mereka seharian lebih-lebih lagi apabila radio sudah masuk ke rumah-rumah mereka. 

Bagi golongan yang mengharamkan terus hiburan, nyanyian mahupun muzik sepenuhnya, mereka datang dengan dalil-dalil yang dipetik daripada Al-Quran, assunnah, dan ijmak, serta menggunakan kaedah "menutup ruang-ruang membawa kepada haram" dan kaedah menjauhi subhah. 

Namun begitu, majoriti fuqaha antaranya Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjawab bahawa nas-nas yang didatangkan walaupun ditafsir oleh para sahabat seperti Ibnu Masud dan Ibnu Abbas dalam sesebuah ayat, ia bukanlah satu-satunya tafsiran yang boleh diambil kira”

Namun terdapat tafsiran-tafsiran lain yang boleh diguna pakai dalam menafsirkan ayat tersebut. Tafsiran para sahabat untuk satu-satu ayat tidak dihukumkan dengan marfu melainkan tafsiran yang turun sebagai asbab nuzul.

Syeikh Wahbah Zuhaili menukilkan kata-kata Imam Al Fakihani; “Tidak aku ketahui daripada Kitab Allah mahupun sunah suatu hadis yang sahih dalam pengharaman hiburan-hiburan malah ia adalah zahir dan umum ayat yang boleh ditakwil tanpa dalil-dalil yang qatie”

Adapun untuk nas-nas daripada assunnah yang dijadikan dalil pengharaman oleh golongan ini telah pun dihukumkan daif.  Oleh itu, kebanyakan ulama mengharuskan lagu-lagu untuk didengar walaupun yang datang daripada gambus dan seruling.

Kaedah seterusnya yang dijadikan dalil oleh golongan yang mengharamkan terus hiburan ialah menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram.

Syeikh Yusuf Qardhwi menjawab bahawa kaedah ini tidak sepatutnya digunakan secara berlebih-lebihan terutamanya apabila mengharamkan sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan dan menyempitkan ruang-ruang yang telah diberi sedangkan kaedah ini terdapat tahap-tahapnya dan tidak sampai tahap yang ditutup terus jalan ke arahnya.

Manakala kaedah menjauhi perkara-perkara subhat bukanlah suatu kewajipan, namun ia adalah perkara sunat sahaja yang digunakan untuk perkara yang samar-samar, bukanlah digunakan antara dua perkara yang sudah jelas keharusannya.

Mengikut kaedah usul fiqh, asal sesuatu perkara adalah harus sehingga datangnya dalil pengharaman. Perkara yang sudah jelas pengharamannya tidak boleh diingkari lagi pengharamannya, namun perkara yang diikhtilafkan, sesebuah golongan tidak boleh mengilzamkan yang lain supaya berpegang dengan satu-satu pendapat.

Memetik pandangan Imam Nawawi yang menarik dalam hal ini; “Setiap mujtahid telah mendapat pahala kerana benar, adapun mujtahid yang tersalah tidak dipertanggungjawabkan, kerana dosa telah terangkat daripadanya.”

Sedangkan golongan yang membolehkan hiburan pula mendatangkan nas-nas daripada ayat Al-Quran, hadis, kata-kata para sahabat dan kembali kepada maqasid syariah.

Maqasid syariah mengatakan bahawa Islam tidak pernah mengharamkan suatu yang baik melainkan ia membolehkannya, sebagai rahmat kepada ummah untuk kebaikan jiwa-jiwa dan akal manusia.

Wednesday 16 October 2019

Kedai makanan kucing di Bunut Payung

Kepada peminat kucing di Bunut Payung dan kawasan sekitar, mahupun yang melalui Jalan Kota Bharu Kuala Krai kini lebih mudah untuk mendapatkan makanan kucing dan keperluan lain berkaitan dengan kucing.

Kedai makanan kucing kini beroperasi di Bunut Payung. Lokasinya bersetentang atau berhadapan dengan Mawar Food Court.

Jika dari Kota Bharu, kedudukannya sebelum jalan masuk ke Sekolah Kebangsaan Bunut Payung.

Pemiliknya seorang graduan dari UiTM. Sebenarnya beliau bukan baharu dalam peniagaan makanan kucing.

Sebelum ini beliau pernah mengusahakan perniagaan makanan kucing, tetapi menyerahkan kepada sepupunya menguruskan perniagaan kerana beliau mendapat tawaran berkhidmat dengan sektor awam.

Namun, kini beliau memilih untuk kembali menjadi usahawan makanan dan keperluan kucing dengan membuka kedai baharu di Bunut Payung.

Semoga perniagaan beliau berjaya dan terus berkembang.