Friday 20 July 2018

KURMA RUTHOB SEGAR KAYA KHASIAT

Kurma ruthob sering disebut juga kurma segar atau kurma basah. Kurma ruthob dipasarkan dalam keadaan segar dan belum dikeringkan. Kurma ruthob jarang ditemui di pasaran, kecuali pada bulan Ramadan yang mendapat permintaan tinggi.

Keistimewaan kurma ruthob mempunyai rasa yang segar dan lazat. Memakan kurma ruthob seperti baru memetiknya dari ladang. Memang beza jauh rasa keenakan menikmati kurma ruthob. Jadi, bagi penggemarnya sanggup membayar harga lebih mahal berbanding kurma lain di pasaran.

Menikmati kurma ruthob di Malaysia sama seperti merasinya di ladang kurma di tempat asalnya. Tidak perlu pergi ke ladang untuk menikmati kurma ruthob, sebaliknya ada boleh mendapatkannya dari pengedar kurma ruthob.   

Kurma ruthob tidak tahan lama pada sifat asalnya. Apabila disimpan lama, ia akan bertukar menjadi seperti kebanyakan kurma yang ada di pasaran.

Kandungan kurma ruthob kaya dengan berbagai jenis Vitamin (A, B, C dan K), zat besi dan kalsium.

Monday 16 July 2018

CENDAWAN KELAPA SAWIT

Cendawan atau dipanggil kulat mudah tumbuh di medium sesuai mengikut jenis cendawan itu. Ada cendawan tumbuh di atas tanah gambut, tanah busut, batang pokok mati dan sebagainya. Ada sejenis cendawan tumbuh di atas atau di celah-celah pelepah dan tandan kelapa sawit.

Di kawasan ladang kelapa sawit, cendawan kelapa sawit ini tumbuh dengan subur secara semulajadi. Kulat kelapa sawit menjadi pilihan kepada peminatnya.

Kulat kepala sawit boleh tumbuh sepanjang tahun, asalkan medium tempat tumbuh iaitu tandan kelapa sawit berada dalam keadaan lembab. Sebab itu, jika ingin cendawan kelapa sawit sentiasa tumbuh, kenalah disiram atau dibasahkan selalu tandan kelapa sawit itu.

Rasa cendawan kelapa sawit seakan-akan bebola ikan tetapi mempunyai tekstur yang lebih pejal dan padat serta manis. Cendawan kelapa sawit kaya dengan protein dan merupakan sejenis cendawan yang paling tinggi kandungan vitamin serta mineral.

Cendawan kelapa sawit juga bebas karbohidrat dan sangat sesuai bagi mereka yang sedang mengamalkan diet atau ingin menjaga bentuk badan.

Friday 13 July 2018

JALAN PERSISIRAN PANTAI MELAWI

Jajahan (daerah) Bachok di Kelantan terkenal mempunyai kawasan pesisir pantai yang cantik. Ini bertepatan bandar Bachok dikenali sebagai Bandar Pelancongan Islam. Kawasan pantai yang menjadi tumpuan sekarang ialah dari Kampung Melawi di utara, menganjur ke selatan sehingga ke sempadan Jajahan Pasir Puteh

Untuk menggalakkan perkembangan dan kemajuan pelancongan sepanjang pantai tersebut, kerajaan telah membina jalan baru persisiran pantai sejauh kira-kira 13 kilometer dari Kampung Pantai Melawi sehingga ke Kampung Air Tawar. 

Jalan persisiran pantai itu memudahkan dan mendekatkan jarak dari jalan utama untuk masuk ke satu-satu tempat resort atau chalet. Sebelum ini penggunjung melalui Jalan Melawi Tok Bali yang memerlukan pengunjung dari jalan utama terpaksa melalui jalan sempit sebelum sampai ke tempat dituju.

Sekarang terdapat berpuluh resort dan chalet yang dibangunkan di sepanjang pesisir pantai itu. 

Antara nama resort dan chalet (sekadar diingati atau diketahui penulis) yang terdapat di persisir pantai yang mudah ditujui menggunakan jalan persisiran pantai ialah Bayu Melawi Chalet, Permai Resort, Sudara Beach Resort, Villa Danialla Beach Resort, Pantai Perkasa Chalet, Long Beach Chalet, Pantai Kandis Chalet, Sri Melawi Chalet, Anak Rhu Chalet, D Rhu Chalet, Damai Melawi Chalet, Redwan S Beach Resort Melawi, D Aur Beach Resort dan Sri Aur Chalet.

Tuesday 10 July 2018

BALA KESAN FITNAH MEDIA SOSIAL

Penyebaran berita melalui media sosial kini menjadi pilihan banyak pihak yang mengambil kesempatan perkhidmatan yang dianggap murah, cepat, meluas dan mudah. Namun begitu, kelebihan ini sering disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita dan gambar serta video berbaur fitnah, perkauman dan menyentuh sensitiviti agama. Berita seumpama itu mudah mendapat perhatian orang ramai untuk disebarkan kepada penerima lain.

Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu. Natijah akibat perbuatan tersebut boleh tercetusnya persengketaan antara pihak yang dilibatkan dalam fitnah itu.   

Berita fitnah mendatangkan kesan amat buruk terutama dalam soal penting dan sensitif melibatkan individu berkedudukan, keselamatan negara dan soal agama. Di negara kita yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama anutan, isu-isu berkaitan bangsa dan agama amat sensitif.

Justeru itu, masyarakat perlu dididik agar memastikan kebenaran sesuatu berita agar tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Setiap berita yang diterima perlu diperhalusi agar tidak terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah.

Sebarang berita yang diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.     

Banyak pihak yang turut terlibat menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang diburuk-burukkan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar suka-suka dan untuk menunjukkan tanda prihatin terhadap sesuatu perkara.  

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat bahawa berita itu belum sahih telah hilang dan kemudian disebarkan seperti satu berita benar.

Malah, ada yang menyebarkan berita fitnah dalam bentuk pertanyaan. Kononnya, berita itu disebarkan untuk mendapat kepastian daripada pihak lain. Sedangkan hakikat sebenarnya, pertanyaan itu bukan ditujukan kepada pihak yang boleh memberi jawapan.

Soalan itu sebenarnya berbentuk provokasi bertujuan menimbulkan unsur keresahan dan inginkan kepastian daripada pihak lain pula. Lantas, berita itu disebarkan kepada orang lain pula agar mendapat jawapan mengenainya. 

Kita mempunyai pihak berkuasa berkaitan sesuatu bidang untuk mengendalikannya. Pihak berkenaan mempunyai kepakaran dan maklumat yang lengkap untuk dijadikan tanda rujuk yang tepat.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan daripada mana sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita tersebut.  

Jangan terlalu mudah melatah dan merasa seperti satu tanggungjawab untuk menyebarkan berita yang belum pasti kebenarannya. Banyak orang mudah terpengaruh mempercayai berita yang dikaitkan dengan kepentingan agama. 

Banyak yang berpendapat tindakan menyebarkan berita sedemikian sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad untuk agama. Tindakan itu dianggap satu pahala dan kebajikan untuk kepentingan semua. Kita tidak sepatutnya terperangkap dengan agenda buruk yang dirancang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sunday 8 July 2018

MUZIUM ISLAM KELANTAN

Di Jalan Sultan, Kota Bharu, berhampiran Masjid Muhammadi Kota Bharu di sebelah matahari terbenam terdapat sebuah bangunan bersejarah. Bangunan tersebut kini dikenali Muzium Islam Kelantan. Bangunan unik itu pernah menjadi milik Menteri Besar Kelantan, Hassan Muhd Salleh ketika mula dibina pada tahun 1902. Bahan binaannya terdiri kayu cengal terpilih manakala atap diperbuat bata diperolehi dari Senggora di Selatan Thailand.

Bangunan tersebut dianggap tercantik pada zamannya sering dijadikan tempat meraikan tetamu negeri seperti Maharaja Chulalongkon dari Thailand. Ketika itu Kelantan masih di bawah naungan Thailand.

Bagaimanapun, pada tahun 1917 bangunan itu kemudian menjadi milik MAIK untuk dijadikan pejabat dan menjalankan aktiviti pendidikan agama serta aktiviti lain demi kepentingan rakyat dan penyebaran agama Islam. 

MAIK ditubuhkan pada 24 Disember 1915 amat memerlukan bangunan bagi menempatkan pejabat dan melakukan aktiviti berkaitan fungsinya. Ia dibeli dengan harga RM15,00 menggunakan wang kutipan zakat. 

Bertitik dari situlah di bangunan tersebut semakin terkanal dan berjasa. Banyak aktiviti dilakukan di banguan itu demi kepentingan agama dan bangsa Melayu. Di situ sering dijadikan medan para cerdikawan Islam bertemu berbincang, bermusyarat, berpidato dan sebagainya.

Tingkat atas bangunan dua tingkat itu dijadikan pejabat MAIK. Manakala di tingkat bawah dijadikan kelas Madrasah Muhammadiah sehinggalah kelas tersebut berpindah ke tempat lain pada tahun 1956.

MAIK menduduki bangunan tersebut sebagai pejabat pentadbiran selama 72 tahun sebelum berpindah ke bangunan baru di Kompleks Balai Islam di Lundang pada 16 Febuari 1990.

Sehingga sekarang bangunan tersebut masih mengekalkan keaslian seperti ketika mula dibina dahulu. Kayu cengal yang digunakan masih elok dan tahan. Hanya sedikit bahagian yang rosak diperbaiki dari masa ke semasa mengikut keperluan tanpa mengubah rekabentuk asal.

Bangunan tersebut sesuai dilawati bagi mereka ingin menyelami senireka Melayu Islam yang unik dan menyimpan makna yang tersirat dan tersurat. Untuk melawat bangunan tersebut tidak sukar kerana terletak berhampiran Masjid Muhammadi yang menjadi tumpuan umat Islam.

Friday 6 July 2018

GUNA HARTA KEKAYAAN SELAGI MASIH HIDUP

Kita perlu guna harta kekayaan selagi masih hidup. Manfaatkan harta dan apa yang dimiliki agar memberi kebaikan menambah bekalan pahala. Jangan kedekut dan sayang harta membelanjakan wang untuk jalan kebajikan. Ingatlah, kekayaan hanya mendatangkan manfaat jika digunakan ketika hayat masih ada. Tidak ada orang membawa harta ke kubur.

Sesiapa bersikap tamak mengumpul harta, kecelakaan akan menimpa dirinya di dunia dan akhirat. Mereka mendustakan janji Allah tentang kebaikan orang menggunakan harta untuk jalan kebaikan. Sikap kedekut dan sayang harta membawa kebinasaan pada diri sendiri.   

Firman Allah bermaksud: “Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang baik (syurga), maka Kami akan menyediakan baginya (jalan) yang susah. Dan apabila dia telah binasa, hartanya tidak akan bermunafaat baginya.” – (Surah al-Lail, ayat 8 – 11).

Salah satu cara membelanjakan kekayaan ia dengan bersedekah. Sesungguhnya bersedekah adalah tanda seseorang itu bersyukur dengan apa dikurniakan Allah kepadanya. Sebab itu, biarpun bersedekah hanya ibadat sunat, tetapi ganjaran pahala bersedekah amat besar. Allah telah menjanjikan nikmat melimpah ruah kepada sesiapa bersyukur.   

Bersedekah dapat membersihkan harta daripada sumber yang kotor dan tidak subur. Ia juga dapat menjadikan harta lebih diberkati dan memberi manfaat kepada pemiliknya. Harta yang kotor akan menyebabkan pemiliknya hidup tidak tenteram dan membebankan akibat tidak mendapat keberkatan.

Harta tidak subur dan kotor samalah seperti dahan pokok berpenyakit. Jika dahan itu tidak dipotong, lama kelamaan akan merosakkan keseluruhan pokok. Sebaliknya jika dipotong, maka akan tumbuh tunas lain yang subur dan tiada berpenyakit. Pokok dapat terus hidup dan mengeluarkan hasil lebih baik.

Amalan bersedekah bukan menghalang umat Islam daripada mengumpulkan harta. Keinginan kepada kekayaan dan kemewahan hidup merupakan fitrah dalam diri manusia. Justeru, Allah lebih memahami kepada kejadian tersebut membenarkan hamba-Nya merebut kekayaan dan kemewahan hidup selagi ia tidak menyalahi syariat.

Beruntunglah golongan kaya yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Sesungguhnya Allah meletakkan kemuliaan lebih tinggi kepada golongan kaya berbanding golongan miskin. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Sifat lupa diri boleh memudaratkan hubungan manusia dengan Allah dan manusia dengan manusia. Individu lupa diri merasakan kemewahan dan kejayaan dikecapi hasil usaha sendiri. Mereka lupa segala kurnia itu datang daripada Allah. 

Penyakit lupa diri dan tamak perhiasan dunia telah menyebabkan individu atau kaum beriman menjadi kufur. Kisah Qarun menjadi pengajaran mengenai akibat sifat lupa diri. Qarun pengikut setia Nabi Musa ketika miskin, bertukar kufur apabila menjadi kaya raya.

Akibat sikap kufur Qarun, Allah menurunkan bala memusnahkan Qarun dan seluruh harta kekayaannya. Qarun adalah orang paling kaya di dunia yang akan mendapat pembalasan maha pedih di akhirat. Harta kekayaan Qarun tidak dapat menebus dirinya daripada menerima pembalasan siksa Allah.    

Sekiranya Qarun bersyukur dan membelanjakan kekayaannya untuk jalan Allah, sudah pasti dia terus beriman dan terus menjadi pengikut setia Nabi Musa. 

Sebab itu amat penting menanam sikap bersyukur, dan salah satu tanda bersyukur ialah dengan memperbanyakkan sedekah. Sesiapa bersyukur akan mendapat nikmat lebih banyak daripada-Nya.

Wednesday 4 July 2018

SIKAP SABAR MEMBINA JIWA TENANG

Ungkapan sabar memang mudah diucapkan, tetapi sukar untuk diamalkan. Itulah hakikat mengapa sifat sabar perlu dididik dan diamalkan sepanjang masa. Sikap sabar membina jiwa tenang. Kesabaran diperlukan dalam pelbagai situasi yang berbeza-beza pendekatan untuk menghadapinya. 

Sabar paling sukar ialah untuk mengawal kemarahan. Ini kerana perbuatan marah datangnya dari syaitan yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mencetuskan keadaan perbalahan sesama manusia. Kemarahan yang tidak terkawal boleh mencetuskan tindakan yang bukan saja dizahirkan melalui kata-kata kesat, bahkan boleh merebak kepada tindakan fizikal yang keterlaluan. 

Cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk mengawal marah ialah dengan berwuduk. Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ketika marah tahap kewarasan fikiran seseorang berada pada kedudukan paling rendah. Sebab itu, ketika marah fikiran akan merancau menyebut perkara bukan-bukan dan melakukan tindakan seperti hilang akal. 

Untuk mengawal keadaan ini memerlukan kerjasama atau bantuan orang lain. Jika kemarahan itu ditujukan kepada seseorang, maka orang yang berkenaan perlu meninggalkan tempat itu. Tindakan itu bukan dayus, tetapi untuk mengelak keadaan lebih buruk. Jika terus berada di tempat itu, mungkin timbul berbalas perasaan marah. Apabila kedua-dua pihak tidak dapat mengawal perasaan marah, keadaan menjadi tidak terkawal.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Satu lagi sifat sabar yang perlu diamalkan ialah ketika berdepan dengan musibah atau malapetaka. Sebagai muslim, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan bertakwa. Ini kerana apa yang terjadi sudah termaktub sebagai qada dan qadar yang perlu diyakini bahawa ia telah ditentukan oleh Allah SWT. Mempercayai qada dan qadar menjadi sebahagian Rukun Iman.

Musibah yang menimpa merupakan sebahagian daripada bentuk ujian yang diberikan Allah SWT. Mereka yang beriman menerimanya dengan hati terbuka dan sabar menghadapi ujian itu. Kesabaran menghadapi musibah meletakkan seseorang dalam kalangan mereka yang beroleh kejayaan sebenar dalam kehidupan ini.

Sesungguhnya Allah SWT memberi ganjaran berlipat ganda kepada orang yang bersabar. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sabar sajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira? (Surah az-Zumar, ayat 10).  

Balasan bagi orang yang sabar dinikmati ketika di dunia, mahupun di akhirat. Mungkin kita melihat orang yang sabar tidak mendapat apa-apa kebaikan di dunia kerana musibah yang dihadapi tidak ini hilang, bahkan bertambah-tambah, tetapi secara rohaninya dia beroleh ketenangan. Orang yang sabar berada dalam keadaan tenang dan reda ketentuan Allah SWT. Jiwa yang tenang adalah satu nikmat yang tidak terkira untungnya. 

Sebab itu, orang yang sabar tidak merasakan tekanan untuk berdepan dengan musibah mahupun ujian hidup. Dia sedar, keadaan yang dihadapi itu ada hikmah yang hanya Allah SWT mengetahuinya. Sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali mensia-siakan hamba yang sentiasa bersabar.

Tahap kesabaran yang jitu memberi pengertian bahawa seseorang itu tidak menolak ketentuan Allah SWT. Ketaatan dan pengharapan kepada Allah SWT tidak sedikitpun goyah atau berkurangan. Semakin kuat ujian yang terpaksa diterima, bertambah-tambah lagi ketakwaan dan keimanannya. 

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi" (Surah al-A`raf, ayat 178).  

Sesungguhnya, apa juga masalah atau ujian di dunia ini tidak sehebat kehidupan di akhirat. Matlamat hidup muslim bukan untuk dunia, tetapi lebih penting ialah di akhirat nanti. Sekiranya, Allah SWT menguji hidup di dunia dengan musibah dan kegagalan, maka itulah himpunan pahala yang bakal diraih di akhirat kelak, selagi kita bersabar dan reda terhadap apa yang berlaku.