Thursday 31 May 2018

PETUA HILANGKAN BAU PETAI

Makan petai menyebabkan mulut berbau. Malah, makan petai juga menyebabkan najis berbau amat tidak menyenangkan. Ada petua boleh dicuba untuk menghilangkan kedua-dua masalah itu.

Petua hilangkan bau petai di mulut
- Makan beras mentah dalam 10 biji.
- Kunyah terung mentah.
- Kunyah timun.
- Berus gigi selepas menggunakan dental floss.
- Kunyah chewing gum
- Campur masakan petai dengan terung. 
- Berkumur dengan air garam.
- Minum susu.

Petua hilangkan bau petai di tandas
Untuk mengelak tandas berbau busuk petai, potong terung dan diletakkan di dalam tandas. Terung akan serap bau petai.

KEBAIKAN MAKAN PETAI

Petai kaya khasiat. Itulah menjadikan petai mendapat permintaan tinggi. Banyak kebaikan dan manfaat dengan selalu makan petai. Di antara kebaikan atau rawatan hasil memakan petai ialah:

Kemurungan 
Keputusan kaji selidik di kalangan orang yang mengalami kemurungan, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan petai. Ini kerana petai mengandungi tryptophan, sejenis protein yang badan bertukar kepada serotonin, yang yang dapat menjadikan orang lebih relaks, gembira dan menjadi emosi lebih stabil.

PMS (sindrom pra-haid) 
Vitamin B6 petai membantu mengawal atau meneutralkan paras gula dalam darah dan membantu wanita yang mengalami mood tidak stabil ketika berdepan sindrom premenstrual.

Anemia 

Zat besi yang tinggi di dalam biji petai boleh merangsang pengeluaran hemoglobin dalam darah dan seterusnya membantu dalam kes-kes anemia atau pesakit kekurangan darah. 

Tekanan darah tinggi 
Kandungan kalium dalam petai dengan kandungan rendah garamnya baik untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangi risiko strok.
US Food and Drug Administration telah hanya menyenarikan petai sebagai buah yang mampu mengurangkan risiko tekanan darah dan strok.

Kuasa  minda 

Khasiat petai lain ialah kemampuannya di dalam meningkatkan kekuatan tenaga minda. Ini  berdasarkan laporan di USA yang dijalankan di mana petai diberikan kepada pelajar semasa sarapan sebelum peperiksaan.   

Kajian terhadap 200 pelajar sebuah sekolah di Twickenham telah membuktikan pelajar yang terlibat memakan petai dapat meningkatkan kuasa otak mereka dan membantu mereka lebih segar, bertenaga dan memberi tumpuan dalam pembelajaran.  

Sembelit 

Petai juga dapat mengatasi masalah sembelit. Petai mengandungi tinggi serat dan boleh membantu penghadaman dan menggalakkan pembuangan air besar tanpa menggunakan julat.  P
etai boleh membantu memulihkan tindakan usus yang normal.

Keletihan 
Cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat jus petai dicampur dengan dengan madu.

Pedih ulu hati  

Petai mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan, jadi jika anda mengalami pedih ulu hati, cuba makan petai untuk mengurangkan kesan kesakitan.

Gigitan nyamuk  

Satu amalan yang biasanya dilakukan orang kampung ialah menggunakan kulit petai untuk mengurangkan kesan gatal gigitan serangga dan nyamuk. Kulit petai digosok pada bahagian yang kena gigit.  Insyaalah, rasa gatal, sakit, bengkak, kerengsaan atau lebam akan beransur kurang. 

Saraf  
Petai yang tinggi vitamin B yang membantu menenangkan sistem saraf.

Berat badan yang berlebihan

Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi punca pengambilan makanan berlebihan. Dengan memakan petai, kita dapat mengawal badan daripada ketagih mengambil makanan berkarbohidrat tinggi.  Dengan cara itu dapat mengatasi masalah berat badan berlebihan.

Ulser 
Petai mampu meneutralkan lebihan asid dan mengurangkan kerengsaan oleh salutan lapisan perut. Jadi, ia dapat membantu mengatasi penyakit ulser.

Kawalan suhu

Petai dianggap "penyejuk"  dan boleh menurunkan suhu fizikal dan emosi, termasuk kepada ibu-ibu mengandung. Di Belanda, sebagai contoh, wanita hamil makan petai untuk memastikan bayi yang dilahirkan dengan suhu yang sejuk.

Merokok 

Petai juga boleh membantu orang yang cuba untuk berhenti merokok. Petai yang kaya dengan kandungan vitamin B6, B12, serta kalium dan magnesium dapat membantu badan pulih daripada kesan-kesan nikotin terhadap tubuh.
Kalium (potasium) dan magnesium dalam petai boleh mengurangkan keinginan untuk merokok. Merokok adalah membahayakan kesihatan. Biar mulut berbau petai daripada berbau rokok.

Tekanan perasaan (stres) 
Potassium atau kalium merupakan bahan mineral untuk kesihatan vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam badan anda. Apabila kita tertekan, kadar metabolisme kita meningkat, sekali gus mengurangkan kadar potassium. Ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek petai yang tinggi potassium.

Mengatai masalah cacing dalam badan
Petai juga dapat membunuh cacing di dalam perut dan usus di mana ia akan keluar bersama najis.

Merawat deman kuning.
Bahagian daun petai boleh digunakan untuk merawat demam kuning. Caranya ialah dengan merebus daun petai di mana kemudian airnya diminum dan ulang beberapa kali.

Strok 
Menurut kajian dalam "The New England Journal of Medicine" makan petai sebagai sebahagian daripada diet yang teratur dapat mengurangkan risiko kematian oleh strok sebanyak 40% ".

Ketuat 

Mereka yang ada ketuat pada badan, boleh mencuba untuk menghilangkannya dengan meletakkan biji petai pada bahagian yang berkenaan. Gunakan plaster atau kain untuk melekatkan biji petai di bahagian ketuat itu.

Mengurang kemabukan
Terdapat petua yang mengesyorkan adunan petai bersama susu dan madu, adunan ini dipercayai dapat mengurangkan masalah kemabukan, kerana herba petai, madu dan susu dapat memperbaiki aras glukosa dan mengembalikan aras cecair badan ke tahap seimbang.

TANAM PETAI SECARA LADANG

Petani disaran menanam pokok petai secara skala lebih besar untuk memenuhi permintaan semakin tinggi. Ativiti menanam petai masih kurang dipromosikan walau pun kini terdapat petani yang telah menanam secara monokrop atau bercampur di kebun mereka. 

Buah petai terdapat dalam deretan panjang dan nipis yang dikenali sebagai "papan". Setiap papan buah mempunyai antara 12 hingga 15 biji benih tersusun memanjang sepanjang buah. Buah ini, yang panjangnya sehingga 50 sentimeter apabila cukup tua, mempunyai kulit yang tebal tetapi lembut, benih dan licin berwarna kemerah-merahan.

Pokok petai mula berbunga ketika berusia lima tahun. Pedebungan pokok ini adalah melalui spisies kelawar. Pokok petai biasanya ditanam menggunakan biji benih.

Di Malaysia dahulu hanya orang Melayu yang memakan petai, sesuai ia ulam tradisi masyarakat Melayu di kampung. Tetapi kini pelbagai bangsa turut menikmati kelazatan dan keistimewaan khasiat petai. Kaum Cina, India dan pelancong asing turut menggemari petai.

Biarpun, rakyat Malaysia penggemar petai, tetapi Indonesia dilaporkan pemakan petai terbanyak di dunia. Di negara tersebut, penanaman petai dilakukan secara dusun atau lebih meluas. 

Di Indonesia pengeluaran petai secara skala besar dilakukan untuk tujuan eksport dalam bentuk biji ke negara di mana banyak warganegara Indoseia bekerja, terutama di negara-negara Timur Tengah. 

Keistimewaan petai ialah ia mengandungi tiga gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa. Digabungkan dengan serat, petai memberikan, meningkatkan kadar segera dan berterusan tenaga.

Mungkin banyak yang tidak percaya, jika dibandingkan dengan apel, petai menyediakan protein 4 kali lebih banyak, karbohidrat dua kali lebih banyak, tiga kali ganda fosfor, lima kali lebih Vitamin A dan zat besi, dan dua kali ganda jumlah vitamin dan mineral lainnya.

Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protin dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8 peratus, 11 peratus karbohidrat, 71%  air, banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1 dan C.

Kajian yang dibuat di makmal secara saintifik mendapati, petai mengandungi 0.8183 %  lemak, 5.2% protin, 2.06% karbohiderat, 36,647 kalori, 4.18335 vitamin C, 25.38%  air, 0.95% abu, 22.30 serat kasar, 0.916 gula, 1.35 ppm kalsium, 842.45 ppm kalium, 7.8 ppm magnesium dan lain-lain jenis asid lagi.

Sebenarnya kandungan pemakanan biji petai berbeza mengikut umur dan kesegaran bijinya. Buah petai yang kecut ataupun bijinya tidak membulat mempunyai kandungan khasiatnya kurang.

Dalam perubatan tradisional Melayu, biji petai dipercayai berkesan untuk merawat penyakit jantung dan penyakit kencing manis, mencuci buah pinggang serta untuk mengeluarkan cacing. 

Kandungan klorofil dalam biji-biji petai berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit, memastikan kesegaran tubuh. 

Namun begitu memakan petai pada kuantiti yang banyak juga tidak baik kerana mempunyai kadar asid amino yang tinggi yang dapat mengakibatkan komplikasi pada ginjal

PETAI MENDAPAT PERMINTAAN TINGGI

Petai kini bernilai tinggi. Harga petai dianggap tinggi. Puncanya bekalan petai kini berkurangan, sedangkan permintaan meningkat dan masih tinggi. Petai mendapat permintaan tinggi disebabkan ada peminat setia yang menjadikan petai sebahagian menu hidangan sekeluarga.

Petai adalah tumbuhan semulajadi yang tumbuh meliar. Petai tumbuh di hutan mahupun di kawasan kampung. Mudah kata, petai tubuh sendiri tanpa ditanam. Namun, banyak kawasan hutan telah diteroka. Turut menjadi mangsa adalah pokok petai. Biarpun ada petani mula menanam petai dan dikomersilkan, bekalan petai masih belum mencukupi disebabkan permintaan yang tinggi.

Petai atau nama sainstifiknya parkia speciosa tergolonga sejenis tumbuhan dalam famili fabaceae yang berasal dari kawasan Asia Tenggara yang beriklim panas lembap. Petai juga di sesetengah tempat di panggil kacang pahit atau pete di Indonesia. Buah petai mempunyai salut berbentuk papan yang panjang, dengan isi kacangnya yang berwarna hijau terang serta saiz dan bentuk seperti kacang almond. 

Rasanya agak pahit jika dimakan mentah. Namun, pengemarnya tahu bagaimana hendak jadikan petai jadi sedap dimakan secara mentah, dibakar, rebus atau celur atau dijadikan jeruk. Buah petai sering dimakan sebagai ulam. 

Biasanya, petai dicicah dengan sambal untuk dimakan bersama nasi. Biji-biji petai yang dikupas, biasa juga dimasak sambal tumis bersama udang, ikan bilis dan kerang atau mengikut kreativiti pengemarnya. Ia juga dicampur dengan sayur untuk digoreng, masak lemak dan sebagainya.

Petai sama ada ia dimakan mentah, segar sebagai ulam atau dibuat masakan seperti sambal dan sayuran, ia tetap akan menaikkan selera kepada peminat petai. Petai elok dimakan bersama kulitnya untuk mendapat khasiat yang turut terdapat di dalam kulitnya.

Soal rasa tidak timbul masalah sangat bagi penggemarnya biarpun sedikit pahit.  Malah itulah satu keistimewaan dan kelebihannya. Masalah besar ialah kesan akibat makan petai. 

Orang makan petai akan berdepan masalah bau air kencing dan najis yang amat busuk yang luar biasa. Tidak kena gaya, satu rumah mendapat bau tidak menyenangkan. 

Bau busuk yang agak kuat yang keluar dari petai adalah bau gas metana semula jadi yang tersimpan dalam isi kekacangnya.


Tuesday 29 May 2018

IBADAT RITUAL TIDAK DITERIMA

Ritual bermaksud tatacara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya. Amalan ritual lahir dari satu kebiasaan yang diterima dan dilakukan dalam masyarakat. Walaupun berkaitan dengan ibadat, sedangkan niat sebenarnya dilakukan kerana satu kebiasan. Maka, ibadat itu tidak diterima oleh Allah sebagai satu ibadat.

Termasuk dalam yang banyak dianggap ritual dalam masyarakat kita ialah ibadat puasa. Dalam masyarakat mengamalkan konsep ritual, sesiapa tidak ikut serta program yang diadakan sepanjang Ramadan dipandang serong.   

Maka atas semangat ritual, ramailah yang memenuhi masjid dan surau menunaikan tarawaih. Disebabkan sembahyang tarawaih telah diterima sebagai ritual, ada orang bersembahyang tarawaih, tetapi tidak menunaikan sembahyang fardu lain. Mereka hanya menunaikan sembahyang fardu Isyak yang dilakukan sebelum sembahyang tarawaih. 

Masjid dan surau biasanya penuh hanya pada awal bulan Ramadan. Sebaliknya hal itu semakin berkurangan apabila penghujung bulan Ramadan. Pada ketika itu, masing-masing sibuk pula kepada sambutan Aidilfitri, yang lebih jelas ritualnya.  

Masih ramai tidak faham mengenai tarawaih. Buktinya, ada yang mengatakan tarawih itu mesti dilakukan di masjid secara jemaah. Sebabnya, sejak dari kecil sehinggalah dewasa, kita hanya melihat orang bertarawih di masjid. Maka, jika ada orang bertarawaih di rumah bersama ahli keluarga, dituduh pula melanggar kebiasaan.  

Sebenarnya sembahyang tarawaih boleh dilakukan berseorangan dan berjamaah di mana-mana sahaja. Masa tarawaih bukan juga mesti ditunaikan sebaik selesai sembahyang Isyak. Masa untuk sembahyang boleh dilakukan sehingga sebelum masuk waktu subuh.

Masyarakat masih tidak dapat membezakan antara hukum dan kebiasaan. Mana yang wajib dan mana yang sunat. Justeru, amat penting guru agama dan pak imam memberi penjelasan mengenai perkara ini. Kaedah hanya menyuruh dan tidak mendidik adalah antara punca berlaku amalan ribual dalam ibadat. 

Sebenarnya konsep puasa ritual ini disebabkan kejahilan ilmu agama dan tahap keimanan. Ramai beranggapan sudah memadai jika berpuasa sekadar menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa. 

Orang jahil melakukan puasa sekadar mengikut apa yang orang kebanyakan lakukan. Orang lain berpuasa, dia juga berpuasa. Memang tidak sukar melakukan puasa sebab ia telah dilakukan sejak ketika sekolah rendah lagi. Apabila telah dewasa, ibadat puasa sudah menjadi kebiasaan. Hal yang sama diturunkan kepada anak dan begitulah dari satu generasi ke satu generasi.

Kesempurnaan melakukan sesuatu ibadat tidak hanya apabila cukup syarat sah dan batal. Sebaliknya nilai ibadat bergantung kepada kefahaman, keimanan dan ketakwaan orang yang melakukannya.

Orang yang berpuasa bukan diasaskan rasa keikhlasan dan ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang yang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga.

Sunday 27 May 2018

CARA MUDAH MEMBUAT JUS BUAH

Malaysia kaya pelbagai jenis buah-buahan yang kaya khasiat dan enak dimakan. Selain dimakan terus, buah-buahan sesuai dijadikan jus buah. 

Jus buah boleh dicampur dengan perisa seperti susu, memberikan variasi rasa lebih memikat dan menyelerakan. Jus buah juga boleh menggunakan campuran dengan pelbagai jenis buah. 

Penyediaan jus buah tidak sukar. Pilih buah yang sesuai, biasanya yang sudah masak ranum. Basuh dan buang kulitnya. 

Potong kecil-kecil agar mudah hendak dimasukkan ke dalam pengisar. Buang biji dan mempulur jika perlu. 

Masukkan buah ke dalam pengisar dan dicampur dengan air secukup rasa. Terdapat buah-buahan yang tidak perlu dicampur dengan air seperti tembikai untuk mendapat adunan rasa semula jadi. Terdapat buah yang tidak perlu dikisar sebaliknya digunakan alat pemerah khas.

Hasil kisaran perlu ditapis untuk mendapat jus tanpa hampas. Namun, jika ingin mendapat serat yang lebih banyak, elok jus tidak ditapis. Terus diminum atau menjadi bahan untuk membuat kuih dan sebagainya.

Penyediaan jus membolehkan menikmati rasa buah-buahan secara lebih mudah dan sesuai untuk dinikmati oleh pelbagai lapisan umur, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Friday 25 May 2018

PULAU MAJLIS ADA UNSUR MAKSIAT

Islam membenarkan hubungan atau kerjasama dengan bukan Islam dengan syarat memberi kebaikan kepada umat Islam dan tidak terperangkap dengan agenda buruk mereka. Jangan pula terikut-ikut dengan budaya dan cara hidup mereka yang diwarnai maksiat.

Firman Allah: "Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka." (Surah an-Nisa, ayat 140).

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini: “Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti reda dengan perbuatan mereka”.

Orang bukan Islam bebas melakukan cara hidup sendiri. Apa yang ditegaskan, jangan orang Islam terikut-ikut dengan apa dilakukan bukan Islam.

Kebebasan dalam masyarakat berbilang kaum bukan perkara mutlak. Sikap saling menghormati perlu dijadikan terus dalam hubungan berbilang kaum. Bukan Islam sedar dan tahu orang Islam haram minum arak dan menu mengandungi babi, maka mana-mana majlis yang dijemput orang Islam bersama, kedua-dua hidangan itu mesti dielakkan.

Kedegilan bukan Islam menghidangkan arak dan menu babi dalam majlis dihadiri orang Islam bukan isu hak kebebasan, tetapi satu provokasi dan tidak menghormati sensitiviti agama lain.

Untuk bukti kuasa dan kedudukan Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan, orang Islam perlu memulau atau tidak menghadiri mana-mana majlis yang terang-terang mencabar sensitiviti amalan selalu umat Islam.

Pemimpin Islam perlu tegas dalam soal ini dan tidak terikut-ikut budaya bukan Islam. Jika, bukan Islam ingin hidup dalam budaya mereka, biarkan perkara itu diteruskan selagi tidak menyalahi undang-undang, tetapi tindakan perlu diambil pemimpin Islam ialah tidak menghadiri majlis-majlis yang nyata mengandungi aktiviti kemaksiatan.