Friday 23 February 2018

UMPAMA KACANG LUPAKAN KULIT

Setiap rakyat Malaysia tidak mengira bangsa bebas untuk mencari rezeki dan memiliki kekayaan tanpa batasan. Peluang ini boleh direbut sesiapa sahaja. Sebab itu, orang Cina mampu menjadi golongan kaya kaya di Malaysia. Individu terkaya di Malaysia adalah Cina.

Dengan kata lain, tiada sekatan untuk mencari kekayaan. Kerajaan menyediakan peluang dan kemudahan seluas-luasnya kepada setiap rakyat tanpa mengira bangsa.

Biarpun terdapat yang disebut hak keistimewaan orang Melayu seperti mana Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, ia tidak menghalang hak kaum lain.

Sistem ekonomi dan sosial yang wajud di Malaysia telah diamalkan sejak negara mula mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Amalan inilah yang menjadikan Malaysia negara aman dan makmur dengan semua rakyat menikmati kehidupan selesa mengikut kadar masing-masing.

Perniagaan dan meraih kekayaan adalah hasil kemakmuran negara apabila rakyat hidup saling menghormati biarpun berlainan kaum dan agama.

Jika keadaan rakyat tidak saling memahami, negara akan menuju kepada kehancuran. Pada ketika itu perniagaan atau apa-apa usaha untuk mencari kekayaan tidak lagi menjadi kenyataan.

Bersyukurlah menjadi rakyat Malaysia dan menerima dengan hati terbuka sistem yang diamalkan negara sekarang. 

Jangan jadi seperti pepatah umpama kacang lupakan kulit. Peribahasa itu bermaksud orang yang lupakan jasa orang lain atau lupa asal usul.  

Wednesday 21 February 2018

SUAMI TERTEKAN TIDAK YAKIN LAYAN ISTERI


Lelaki ingin jadi hebat dan dapat melaksanakan tuntutan seks isteri. Namun, banyak suami dibelanggun masalah lemah tenaga batin yang kronik yang menyebabkan kesan psikologi teruk termasuk perasaan malu, hilang harga diri atau rendah diri.

Keadaan tertekan dengan masalah dihadapi akan menyebakan kesan buruk semakin teruk. Suami jadi hilang kayakinan untuk layan keperluan seks isteri.

Suami mengalami masalah tenaga batin biasanya malu untuk mendapatkan rawatan. Mungkin juga kerana tidak mengetahui ada cara rawatan yang boleh dilakukan. Yang menanggung derita akibat keadaan itu adalah isteri.

Masalah seks boleh menyebabkan perceraian atau hubungan sentiasa tegang. Ada isteri mengambil langkah menjalin hubungan dengan lelaki lain. Masalah semakin kompleks dan sukar diuraikan lagi.

Masalah hilang keyakinan diri pesakit lemah tenaga batin tidak patut terjadi.  Usaha rawatan lemah tenaga batin banyak berjaya.

Pesakit lemah tenaga batin boleh kembali normal selepas mendapat rawatan. Bahkan ada yang mengalami pengalaman prestasi tenaga kelelakian terbaik sepanjang hidup yang telah dilalui.  

Pergi jumpa doktor sakit tuan dan bincang cara untuk mengubatinya. Banyak cara selamat boleh dilakukan untuk memulih tenaga batin. Kosnya berbaloi dan tidak melibatkan prosedur rumit. Hidup kembali ceria dan bermakna.

Perlu diingatkan agar jangan ambil jalan mudah dengan menggunakan ubat kuat yang tidak selamat. Banyak kesan buruk akibat ubat perangsang yang mengandungi bahan kawalan berjadual yang diambil tanpa nasihat pakar. Kesannya ada sehingga membawa maut.

Dengan kata lain, peluang sembuh dan kembali bertenaga masih terbuka kepada mereka mengalami masalah tenaga lelaki. Apa yang penting ialah dapatkan rawatan sewajarnya.

Jangan mudah menekan butang panik apabila berdepan situasi lemah kuasa kelelakian.

Thursday 15 February 2018

JAGA IMEJ PIMPINAN ISLAM


Pemimpin parti politik sepatutnya menumpukan perhatian kepada perkara berkaitan hal ehwal kenegaraan dan pentadbiran secara berhemah.

Tindakan me­ngutuk, mengherdik dan menghina sesama sendiri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan seumpamanya perlu dielak demi menjaga keharmonian negara dan imej Islam.

Sikap memperkecilkan kebolehan, kepakaran dan jasa pemimpin parti berlawanan tidak sepatutnya dizahirkan dalam bentuk serangan peribadi. Islam melarang mendedahkan keaiban orang lain, lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin. Jika ingin menegur pemimpin ada saluran atau kaedah ditetapkan Islam.

Kematangan dan kewibawaan pemimpin politik boleh dinilai secara mudah oleh masyarakat masa kini melalui ucapan dan tindak tanduk mereka.

Jika ucapan dan tingkah laku pemimpin parti politik boleh menyebabkan rakyat bosan dan benci, maka nasib mereka untuk menjadi pemimpin rakyat akan berkubur dalam pilihan raya umum nanti.

Apabila rakyat berdiam diri dan tidak bertindak bukan bererti mereka tidak mempedulikan pergolakan parti politik. Kemarahan dan kebencian se­cara mendiamkan diri boleh diibaratkan sebagai ‘api di dalam sekam’.

Jika asyik memperlekeh orang lain dan mendabik dada menunjukkan kehebatan diri, rakyat akan mempersoalkan kemampuan pemimpin berkenaan. Rakyat akan bertanya dan menilai apakah ke­lebihannya dalam aspek kepimpinan yang telah berjaya dilakukan sehingga dirasakan dirinya berasa lebih hebat berbanding orang lain.

Dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran, muhasabah diri amat penting. Jangan hanya ghairah untuk mendapat jawatan. Sebaliknya, mushabah diri untuk menilai kebolehan dan kepakaran diri.

Jawatan bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya satu amanah dan tangungjawab besar yang perlu dipikul. Kalau tidak benar-benar mampu, elok berundur diri dan beri laluan kepada orang yang lebih layak.

Rakyat tentu tidak mahu corak kepimpinan dan pentadbiran yang dipertontonkan kepada rakyat boleh diibaratkan seperti ‘tikus memperbaiki labu’ lantaran terlalu gemar dan rakus untuk memegang kuasa tanpa melihat kemampuan diri.

Umat Islam sepatutnya amat berhati-hati dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara kerana kejahilan dan kurang kepakaran dalam aspek ini boleh menyebabkan umat Islam hilang kuasa dan kewibawaan diri dan agama.

Kritikan yang bernas dan berdasarkan kepada fakta adalah senjata utama yang boleh ­me­yakinkan rakyat mengenai sesuatu isu yang diperdebatkan.

Corak pemikiran pemimpin parti politik begini amat diharapkan oleh rak­yat dalam negara membangun dan maju.

Oleh itu, fahamilah tuduhan atau cemuhan yang merendahkan maruah antara satu sama lain bukan sahaja boleh menjatuhkan kewibawaan parti politik malah ia juga boleh menjejaskan maruah agama dan umat Islam.

PENERIMA DARJAH KEBESARAN

Darjah kebesaran adalah satu penghormatan yang boleh dilihat, dikurniakan oleh sesebuah kerajaan, kerabat diraja, negara berdaulat atau organisasi kepada seseorang individu. Penerima darjah kebesaran adalah individu terpilih berdasarkan atas penilaian tertentu.  

Amalan penganugerahan darjah kebesaran menjadi amalan di seluruh dunia sejak tamadun manusia membentuk lapisan masyarakat yang berbeza kedudukan.

Darjah kebesaran membawa bersama-sama gelaran kepada penerimanya. Sedangkan penerima pingat pula tidak membawa gelaran. Darjah kebesaran dan pingat mempunyai pelbagai kelas yang membezakan pengiktirafan terhadap penerimanya.

Penganugerahan darjah kebesaran kepada seseorang individu dinilai berdasarkan sumbangannya terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Namun, dalam mesyarakat yang bergantung kepada persepsi dan impresi orang lain, penerima anugerah yang membawa kepada gelaran tertentu bukan lagi dilihat sebagai jasa yang telah disumbangkan, tetapi tetapi apa gelaran yang dibawa bersama dengan anugerah itu.

Gelaran itu dijadikan asat atau kelebihan untuk penyandang menggunakan gelaran itu untuk keuntungan peribadi, terutama dalam bentuk kewangan dan pengaruh.

Maka, untuk mendapat gelaran itu, individu sanggup melobi mendapatkan gelaran daripada Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Dalam keghairahan itu, ada pihak mengambil kesempatan untuk menawarkan darjah yang sebenarnya tidak wujud atau dari pertubuhan yang tidak layak menganugerahkannya.

Fenomena ini menyebabkan individu yang mengaku menerima darjah kebesaran bertambah. Masing-masing menggunakan gelaran yang membawa kepada individu berkenaan menerima penghormatan dari masyarakat.

Mereka dipandang tinggi dalam masyarakat disebabkan gelaran yang disandang. Seseorang yang mempunyai sosial strata yang tinggi secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pengembangan karier sama ada dalam urusan perniagaan, pertubuhan atau politik.

Individu mengguna gelaran, tidak kira yang sah mahupun palsu, perlu mematuhi etika dan norma-norma yang sepatutnya. Sekarang, terlalu kerap penyandang gelaran yang dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan yang melambangkan kerendahan budi pekerti dan kedudukan mereka.

Berita penangkapan, tahanan reman, pertuduhan di mahkamah sehinggalah kepada dijatuhi hukuman, individu bergelar mendapat liputan meluas di media massa.

Sekarang ini seperti tiada hari yang bebas dari liputan mengenai individu bergelar dikaitakan dengan jenayah. Kekerapan itu secara tidak langsung ia mengikis nilai eksklusif darjah kebesaran tersebut.

Saturday 10 February 2018

GUNA BATU KISAR HASILKAN TEPUNG BUAT KUIH

Batu kisar adalah pengisar yang diguna untuk mengisar beras yang telah direndam untuk dijadikan sebagai cecair beras. Komponen item batu kisar ialah ibu dan anak. 

Bahagian anak mempunyai lubang untuk mengisi bahan kisar. Kayu pemegang dipasang pada anak batu kisar untuk memudahkan memusing anak di atas ibu ketika proses mengisar.

Bahagian ibu pula mempunyai alur dan muncung untuk mengalirkan cecair kisaran. Batu kisar biasanya digunakan untuk mengisar bahan-bahan seperti beras, pulut, kacang hijau dan sebagainya bagi menghasilkan cecair tepung untuk membuat kuih-muih.

Dalam keadaan yang mana bahan dikisar tidak mahu dijadikan cecair, maka proses mengisar tidak melibatkan penambahan air atau beras atau sebagainya tidak akan direndam.

Sebelum dikisar, bahan yang hendak dikisar itu direndam untuk melembutkannya dan memudahkan untuk dikisar. Seterusnya bahan yang hendak dikisar itu bersama air dimasukkan sesudu demi sesudu kedalam lubang yang terdapat pada anak kisar.

Anak kisar akan dipusing berterusan sehingga dirasakan semua bahan yang hendak dikisar telah keluar dari lubang dan telah menjadi cecair mengalir di bahagian bawah memasuki alur yang ada di sekeliling ibu kisar.

Cecair itu akan mengalir ke arah musung dan seterusnya mengalir keluar mengikut satu alur ke bawah. Di bahgian bawah disediakan besen atau bekas untuk menadah dan mengumpulkan cecair itu.

Setelah tamat proses mengisar, cecair yang dikumpul itu akan 'diproses' mengikut jenis kuih yang ingin dibuat. Jika cecair itu ingin digunakan untuk membuat kuih yang perlu ia dalam bentuk cair, maka ia sudah tersedia untuk dimasak.

Sebaliknya , jika kuih yang ingin dibuat itu memerlukan keadaan beras dikisar itu dalam keadaan pejal, maka cecair itu akan dimasukkan kedalam kain atau guni gandum (yang dibuat dari kain tebal) untuk membuang air.

Setelah separuh atau cecair itu telah menjadi agak pekat, guni gandum itu akan diletakkan di atas ibu kisar dan ditindih menggunakan anak kisar. Ia bagi memastikan kesemua air keluar dan beras yang dikisar itu betul-betul berbentuk satu adunan pejal.

Dengan kata lain, proses menyediakan bahan membuat kuih mengambil masa lama. Sebab itu, jika hendak dibuat kuih persediaan berbuka puasa, 'keputusan' membuat jenis kuih perlu dilakukan seawal pagi.

Tidak seperti sekarang, asal ada bahan yang berkenaan, terus dibuat apa yang diingini. Contohnya jika ingin dibuat ondeh-ondeh, hanya perlu ada debu beras pulut dan terus dicampurkan dengan air secukupnya. Kemudian diuli.

Tetapi, mengapa surirumah sekarang lebih suka memberi di pasar berbanding membuatnya sendiri, sedangkan proses menyediakan bahan amat mudah berbanding dahulu.  

Tuesday 6 February 2018

CARA MEMBUAT KETUPAT SOTONG

Ketupat sotong menu terkenal di Kelantan. Mengapa ‘ketupat’ dan ‘sotong’.  Mengikut Kamus Dewan Bahasa, ‘ketupat’ ialah nasi atau pulut yang dimasukkan ke dalam sarang daun kelapa yang dianyam.

Jadi, maksud ketupa sotong adalah nasi atau pulut diisi di dalam sotong. Mudah untuk difahami dan tentu sekali sedap untuk dimakan.

Membuat ketupat sotong dikira ringkas dan mudah asal ada beras pulut dan sotong. Sotong dicabut kepala (jangan potong). Dicuci bersih untuk menghilangkan warna hitam.

Lubang badan sotong itu diisikan  dengan beras pulut yang sebelum itu telah direndam terlebih dahulu. Jangan isi penuh kerana pulut akan mengembang apabila dimasak. 

Masukkan semula kepala sotong seperti kedudukan asal dan dicucuk dengan lidi bagi mengetatkan kedudukan agar tidak tercabut. 

Kalau kepala sudah tiada, tidak kisah. Hanya nampak tidak cantik aje. Yang penting pulut dan badan sotong. Kalau badan sotong tiada, kira tidak dipanggil ketupat sotong pula.

Masukkan ke dalam periuk. Masukkan santan dan gula melaka, serta sedikit garam. Kalau nak rasa manis lebih, masukkan gula pasir atau lebihkan gula melaka.

Masukkan daun pandan untuk aroma lebih memikat. Masak hingga mendidih dan pulut masak. Biar pecah minyak. 

Sunday 4 February 2018

Pindah kem tentera ke lokasi baharu


Isu perpindahan Kem Lapangan Terbang Sungai Besi sengaja disensasikan. Hakikatnya, rancangan perpindahan bukan perkara baru. Telah lama sejak zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri lagi.

Bukan Kem Lapangan Terbang Sungai Besi sahaja yang dirancang untuk dipindahkan, bahkan berpuluh-puluh kem lain yang berada di tengah bandar.

Hakikatnya, kem tentera memang tidak sesuai berada di dalam bandar. Aspek keselamatan dan keperluan tanah yang luas untuk aktiviti menyebabkan ia perlu dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai. 

Kem tentera di bandar kebanyakannya dibina sebelum merdeka atau selepas negara baru mencapai kemerdekaan. Kebanyakannya dalam keadaan uzur yang bukan sahaja tidak selesa untuk digunakan, bahkan boleh mengundang bahaya.

Walaupun rancangan memindahkan kem tentera ke kawasan lain telah lama dibuat, namun disebabkan kekangan ekonomi ia tidak menjadi kenyataan. Yang mampu kerajaan lakukan ialah pembinaan kem baru untuk kegunaan unit baru.

Seperti sedia maklum, banyak kelengkapan ketenteraan kita bertambah yang mana pada masa sama ditubuhkan unit atau formasi baru. Sekaligus memerlukan penempatan kem baru.

Contohnya, dahulu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak memiliki persenjataan arteleri pertahanan udara. Namun kini, kita memilikinya selaras dengan keperluan semasa. Maka itu, kem khusus diperlukan untuk penempatan persenjataan dan operasi,

Begitu juga kini ATM memiliki sejumlah kenderaan kereta kebal. Selain dimiliki Kor Amor, kereta kebal juga dikendalikan sendiri oleh Batalion Infantri. Semua itu memelukan penempatan kem baharu.

ATM juga telah membina beberapa buah pengkalan baharu untuk tentera laut. Semua ini melibatkan perbelanjaan yang besar yang sekali gus membantutkan rancangan awal untuk memindahkan kem sedia ada.

Justeru, kem sedia ada masih kekal digunakan, kecuali beberapa kem yang dilihat kritikal jika tidak dipindahkan. Pada masa saja, ada pihak sanggup membayar ganti rugi dan membina kem baharu.

Selain Kem Lapangan Terbang Sungai Besi, kem lain yang telah dipindahkan ialah Kem Tebrau/Kem Majidi yang kini dipindahkan ke Batu Pahat.

Saturday 3 February 2018

KISAH AHLI SUFI DAN SEBIJI TEMBIKAI


Pada suatu hari seorang ahli sufi membeli sebiji tembikai. Beliau membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya.
Apabila isterinya membelah tembikai itu, ternyata tembikai itu tidak elok. Isterinya marah-marah. Keadaan itu dilihat oleh si ahli sufi.
Lalu si ahli sufi bertanya kepada isterinya, “Kepada siapa kau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu,”
Terdiam isterinya apabila mendengar pertanyaan tersebut. 

Kata si ahli sufi lagi: “Si penjual sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik, si pembeli juga mahu membeli barang yang terbaik, bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik. Ternyatalah marahmu ini engkau tujukan kepada Pencipta buah tembikai ini, maka bertakwalah engkau keada Allah dan redalah dengan segala ketentuanNya.”
Oleh itu menangislah isteri si ahli sufi. Lalu diapun bertaubat dan redalah dia dengan apa yang sudah ditentukan Allah.
Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki. Terimalah seadanya. Berusahalah untuk memperbaiki keadaan kepada lebih baik.