Friday 26 January 2018

RASA HEBAT DAPAT HINA ORANG LAIN

Timbul di laman sosial status atau posting bertujuan menghina atau mengaibkan seeorang. Kesannya amat besar kerana media sosial dicapai tau dilihat oleh orang lain. Dalam tempoh masa singkat sahaja ia menjadi tular apabila turut dikongsi oleh orang lain.

Menghina termasuk perbuatan melampaui batas. Mereka berasa megah dan kuat menindas orang lain, sedangkan apa dilakukan itu bakal menerima pembalasan di akhirat. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)

Iyad bin Himar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)

Ada kala tanpa kita sedar perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa iri hati.

Sebagai hamba beriman, setiap nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Sebaiknya, kita sentiasa merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana yang hebat hanya Allah SWT.

Kehidupan hari ini memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa.

Sebenarnya, banyak perkara dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi menjaga kemaslahatan manusia.

Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan. Sepatutnya kita menambah rakan di laman sosial dan bukannya mencipta musuh.

Oleh itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi masalah kepada orang lain.

Tuesday 23 January 2018

CARA TANGKAP KETAM NIPAH

Khasiat ketam nipah dipercayai mampu mengubati deman denggi untuk meningkatkan bilangan platlet darah. Ketam nipah mengandungi khasiat vitain A, B, Bm dan B 12 serta mineral zink dan tembaga.

Isi ketam nipah segar memang sedap. Selain dibakar, ketam nipah sedap dimasak gulai lemak cili api, tomyam dan sup. Kalau direbus ‘kosong’ dan dicicah dengan sambal kicap memang terangkat.

Dinamakan ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla olivacea kerana habitat ketam ini banyak hidup di kawasan banyak pokok nipah dan hutan bakau di tepi sungai berlumpur.

Ketam nipah juga dikenali ketam bakau atau ketam lumpur.

Dalam persekitaran semula jadi, ketam nipah hidup di muka muara sungai yang berlumpur. Keluar mencari makam terdiri ikan dan hidup air lain termasuk siput.

Ketam nipah membiak secara bertelur. Ketam nipah adalah dari spesis "carnivor' atau ganas. Sebab itu, ketam nipah sukar ditangkap. Ketam nipah yang telah ditangkap perlu diikat sepitnya dengan tali raffia.

Ketam nipah spesies bersembunyi di lubuk dan sukar untuk menangkapnya. Perlu ada kemahiran untuk menangkap ketam nipah dengan menggunakan alat tangkul atau dipanggil juga bento.

Tangkul akan diletakkan umpan menggunakan ikan segar biasanya tenggiri, tamban atau kembung. Umpan ikan segar akan menarik ketam nipah keluar dari lubuknya.

Ketam nipah akan masuk ke dalam tangkul dan terperangkap. Setiap tangkul boleh memerangkap beberapa ketam nipah pada satu-satu masa.

KHASIAT KETAM NIPAH

Ketam nipah hidup di air payau dan separuh masim. Dinamakan ketam nipah atau nama saintifik Scylla olivacea kerana habitat ketam ini banyak hidup di kawasan banyak pokok nipah dan hutan bakau di tepi sungai berlumpur.

Disebabkan mendapat permintaan tinggi dan harga tinggi, kini ketam nipah telah diternak, namun masih mengekalkan persekitaran semula jadi.

Dalam persekitaran semula jadi, ketam nipah hidup di muka muara sungai yang berlumpur. Keluar mencari makan terdiri ikan dan hidup air lain termasuk siput.

Ketam nipah spesies bersembunyi di lubuk dan sukar untuk menangkapnya. Jadi, perlu ada kemahiran untuk menangkap ketam nipah.

Ketam nipah biasanya ditanggap dengan menggunakan alat tangkul atau bento yang diletakkan umpan menggunakan ikan segar biasanya tenggiri, tamban atau kembung untuk menarik ketam nipah keluar dari lubuknya. Ketam nipah akan masuk ke dalam tangkul dan terperangkap.

Ketam nipah mengandungi khasiat vitain A, B, Bm dan B 12 serta mineral zink dan tembaga. 

Khasiat ketam nipah dipercayai mampu mengubati deman denggi untuk meningkatkan bilangan platlet darah.

Friday 19 January 2018

QURAN ANUGERAH TERHEBAT

Al-Quran adalah anugerah terbesar Allah kepada Nabi Muhammad dan umat baginda.  Ia adalah mukjizat teragung yang tiada tandingannya. 

Mukjizat nabi-nabi terdahulu hanya wujud ketika nabi berkenaan masih hidup, sedangkan al-Quran digunakan sepanjang zaman sehingga ke hari kiamat.

Keaslian isi kandungannya sedikitpun tidak pernah berubah, walaupun pelbagai pihak yang ingin merosakkan Islam cubamelakukannya.  Percubaan untuk merubahnya dapat dikesan dan diperbetulkan segera.  Sebab itu tidak ada perbezaan perkara pokok dalam Islam. 

Bentuk isi kandungan al-Quran meliputi perintah-perintah Allah kepada manusia, hukum-hukum, cerita-cerita sejarah untuk dijadikan pedomen hidup, asas-asas ilmu pengetahuan dan segala macam panduan berguna untuk manusia.

Ayat-ayat al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah melalui perantaraan Jibril. Sebanyak 6,666 ayat diturunkan dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah.  Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.

Al-Quran diturunkan pada malam Lailatulqadar.  Firman-Nya dalam surah al-Qadr, ayat pertama bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan.”

Dikatakan al-Quran diturunkan pada malam Lialatulqadar ialah merujuk kepada penurunan dari Lohmahfuz ke Bait al-Izaah di langit dunia secara keseluruhan kandungan al-Quran.

Dari al-Bait al-Izaah, ayat al-Quran diturunkan secara beransur-ansur mengikut satu-satu peristiwa atau perkara yang berkaitan.  Cara ini memudahkan orang Islam menerimanya, menghafalnya dan mengamalkannya.

Firman Allah bermaksud: “Dan al-Quran ini Kami turunkan secara berpisah-pisah supaya dapat engkau bacakan kepada orang-orang dengan tenang, dan Kami turunkan secara beransur-ansur.” – (Surah al-Isra, ayat 106).

Dalam firman-Nya lagi bermaksud: “Berkata orang-orang  kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya dengan sekali gus sahaja?  Demikianlah, Kami bertujuan supaya meneguhkan hati engkau kerana itu dan Kami turunkan secara beransur-ansur.” – (Surah al-Furqan, ayat 32).

Rasulullah menerima wahyu pertama disampaikan oleh Jibril di Gua Hira sebagai permulaan turunnya al-Quran. Bagaimanapun, selepas ayat pertama itu, Rasulullah tidak menerima sebarang wahyu selama kira-kira dua tahun. 

Wahyu kedua turun merupakan ayat pertama hingga enam surah al-Muddatstsir.  Ayat itu menjelaskan tentang tugas kerasulan Baginda. 

Setiap wahyu diterima oleh Baginda dihafal dan kemudian dibacakan pula kepada para sahabat.  Sahabat menghafalnya dan setengahnya pula dituliskan di atas ‘kertas’ berupa tulang-tulang binatang, kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah tamar.

Ayat-ayat al-Quran diturunkan di Makkah sebelum Hijrah Rasulullah dikenali ayat Makiyah.  Manakala ayat-ayat diturunkan selepas Hijrah Rasulullah ke Madinah dinamakan Madaniyah, biarpun ada di antara ayat tersebut diturunkan di Makkah selepas pembukaan semula Makkah.

Ayat Makiyah pada umumnya berkaitan menimbulkan rasa keimanan dan tauhid, mengakui kekuasaan Allah da mementang pemujaan berhala.  Surah-surah Makiyah pendek-pendek dan ayat-ayatnya ringkas.

Manakala ayat-ayat Madaniyah pula lebih menumpukan kepada soal persaudaraan, pemerintahan, kehidupan, perang dan damai, hukum-hukum dan asas-asas ilmu.  Ayat-ayat dan surahnya lebih panjang.